Fazura Kalah Saman RM500,000

KUALA LUMPUR - Aktres Nur Fazura Sharifudin atau Fazura gagal dalam tuntutan saman fitnah berjumlah RM500,000 terhadap akhbar tabloid, Mingguan Warta Perdana berhubung penyiaran artikel yang didakwa berunsur fitnah bertajuk 'Fazura Rela Dipenjara' bertarikh 29 Mei 2005.


Hakim Datuk Balia Yusof ketika memutuskan perkara itu turut menolak dengan kos tuntutan saman tersebut selepas hujah penggulungan kedua-dua belah pihak selesai didengar di Mahkamah Tinggi di sini semalam.


Tuntutan ganti rugi sebanyak RM500,000 ditolak kerana tidak wujud unsur fitnah dalam penyiaran artikel tersebut.


Balia dalam penghakiman secara lisan berkata, Fazura, 26, yang diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan gagal membuktikan bahawa pernyataan yang dikeluarkan dalam artikel tersebut berunsurkan fitnah, memalukan dan mengaibkan Fazura.

Photobucket

Fazura (kanan) dan peguamnya Fakhrul Azman selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak saman fitnahnya terhadap akhbar tabloid, Mingguan Warta Perdana semalam.


Fazura memfailkan saman pada 30 Ogos 2005 terhadap syarikat Perdana Production House yang menerbitkan Mingguan Warta Perdana dan wartawannya, Haslinda Hashim yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.


Plaintif (Fazura) mendakwa pihak defendan telah menyiarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya di muka depan akhbar itu bertajuk, 'Fazura Rela Dipenjara' dan pernyataan 'Saya tidak takut dengan hukuman sekiranya saya didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut'.


Artikel berkenaan mempunyai kaitan dengan kes Fazura yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencederakan suri rumah, Geraldine Marianne Wong di sebuah bar di ibu negara pada 2005.


Namun heroin filem Pisau Cukur itu kemudian dibebaskan daripada tuduhan tersebut pada 22 September 2008.




No comments: