Pengarah Khayal Di Lokasi

KUALA LUMPUR: Segelintir penolong pengarah dan pengarah didakwa sering mengambil dadah, terutama ganja dan pil khayal hingga berperangai ‘lalok’ ketika melakukan tugas menyebabkan perjalanan sesebuah produksi filem atau drama terjejas.

Malah, ada antara mereka menghilangkan diri walaupun sudah menerima bayaran pendahuluan daripada penerbit.

Gejala mengejutkan itu didedahkan penerbit terkenal, Julie Dahlan yang kerugian ribuan ringgit akibat perbuatan pengarah terbabit.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Pemilik JD Productions Sdn Bhd itu berkata, disebabkan perbuatan seorang pengarah yang mengambil dadah, produksi dramanya hampir terbengkalai berikutan dia gagal mematuhi jadual penggambaran dan melakukan kerja sambil lewa.

Menurutnya, kegagalan pengarah itu menyebabkannya mengalami kerugian kerana terpaksa menanggung kos bayaran kru, lokasi dan pelakon yang sudah ditetapkan jadual penggambaran masing-masing.



“Kesan pembabitan pengarah itu dengan dadah menyebabkan pergaduhan antara dia dengan kru yang melaporkan kejadian itu kepada saya.

“Dia bergaduh dengan kru mungkin kerana marahkan mereka melaporkan kegiatan ‘laloknya’ kepada saya atau mungkin dia malu kerana saya mengetahui tabiat buruk itu,” katanya yang berpengalaman 25 tahun dalam industri penerbitan filem dan drama di negara ini.

Bagaimanapun, Julie memberi peluang kedua kepada pengarah terbabit menyiapkan tugasnya selepas diberi amaran keras.

“Pengarah itu dapat menyiapkan drama itu walaupun kerjanya tunggang-langgang dan timbul beberapa masalah kecil,” katanya.

Julie turut menceritakan pengalaman buruknya terhadap seorang penolong pengarah yang menghilangkan diri akibat ‘lalok’ walaupun sudah menerima bayaran pendahuluan.



Dia kini dalam proses mengambil tindakan mahkamah terhadap penolong pengarah itu bagi menuntut balik wang pendahuluan.

“Saya sudah serahkan segala maklumat kepada peguam supaya tindakan lanjut dapat diambil kerana saya mahu ia menjadi pengajaran kepada orang lain dan memastikan perkara ini juga tidak berlaku kepada penerbit lain,” katanya.

Julie yang menghasilkan sembilan filem dan lebih 50 drama, berkata penolong pengarah itu tidak datang bekerja kerana dipercayai berada di bawah pengaruh dadah hingga terbabit dalam kemalangan jalan raya kecil kerana merempuh pokok.

“Apabila ditanya kenapa sampai jadi macam tu, dia tidak dapat memberikan jawapan munasabah walaupun dia sebenarnya ‘lalok’,” katanya.

Menurutnya, dia membuat pendedahan mengenai segelintir individu terbabit bukan berniat jahat tetapi membantu industri perfileman tanah air daripada terus ‘mati’ akibat gejala dadah.



Ketika mengulas isu sama, Pengarah Urusan Metrowealth Movies Production (MMP), David Teo, mengakui kegiatan segelintir penolong pengarah dan pengarah mengambil dadah sudah lama berlaku cuma ia tidak didedahkan kepada media.

“Masalah itu sukar dibanteras kerana dikatakan terlampau ramai yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah dalam industri hiburan,” katanya.

Menyedari hal itu, katanya, dia membuat pemilihan pengarah filemnya dengan menyelidik latar belakang mereka melalui penerbit lain sebelum menawarkan tugas berkenaan.

Sementara itu, penerbit drama terkenal yang juga Pengarah Urusan Bright Network Sdn Bhd, Raja Alawiyah Idris, berkata sebelum memilih pengarah, dia akan memastikan mereka menjalani ujian air kencing terlebih dahulu.

“Tindakan itu bagi memastikan mereka bebas pengaruh dadah kerana saya tidak mahu kegiatan seperti itu menjejaskan produksi saya,” katanya.


Pakej Web Jualan







No comments: