Pengantin Lelaki Tak Muncul

KUALA LUMPUR: “Betapa tebalnya muka saya, tetapi demi ibu dan ayah serta adik-beradik lain, saya gagahkan juga diri untuk kelihatan ceria,” kata Mazuin Ramli, 29, yang terpaksa bersanding sendirian selepas tunangnya tidak muncul pada hari penikahan dan majlis persandingannya pada 30 Ogos dan 1 September lalu.

Lebih menghibakan, bapa Mazuin, Ramli Ismail, 54, yang tertekan dan menanggung aib akibat perbuatan bakal menantunya, terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada malam persandingan kerana serangan jantung.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Pura-pura ceria... Wajah Mazuin pada hari akad nikah di Masjid Taman Sri Rampai, Wangsa Maju.


Biarpun malu dan kecewa dengan tindakan tunangnya, keluarga Mazuin nekad meneruskan juga majlis persandingannya di Dewan Serbaguna Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Taman Ibu Kota, Gombak secara berseorangan sebagai menghormati tetamu yang dijemput sejak sebulan lalu.

“Siapa tidak sedih apabila memakai pakaian pengantin tetapi pengantin lelakinya tidak ada. Saya tidak tahu berapa ratus kali pada hari persandingan itu terpaksa menerangkan kepada hadirin yang bertanyakan mengenai pengantin lelaki,” katanya.

Ditanya mengapa tunangnya tidak muncul pada hari pernikahan dan perkahwinannya, Mazuin, jurujual sebuah butik di Menara Berkembar Petronas, berkata alasan diberikan tunangnya ialah gagal menyediakan wang hantaran berjumlah RM7,373.73.



“Dua hari sebelum tarikh akad nikah iaitu pada 28 Ogos lalu, dia membawa keluarganya berjumpa keluarga saya dan memaklumkan ingin membatalkan niat berkahwin dengan alasan kononnya kami menjatuhkan maruahnya.

“Namun saya yakin dia membatalkan perkahwinan pada saat akhir kerana dihasut pihak tertentu yang tidak berpuas hati berikutan cinta terlalu mendalam tunang saya terhadap saya.

“Dia anak sulung dan juga lelaki tunggal, manakala dua lagi adik perempuannya kini belajar di universiti. Ayahnya pula ada ‘komitmen lain’, menyebabkan dia jarang ada di rumah.

“Mungkin tindakan kami menyewa dan menghiasi rumah sebulan sebelum tarikh akad nikah sebagai persediaan untuk kehidupan bersuami isteri menimbulkan rasa cemburu dan kurang senang pihak tertentu yang membangkitkan kebenciannya terhadap saya,” katanya.

Ini kejadian kedua pengantin lelaki membatalkan perkahwinan saat akhir. Pada Disember 2004, pemain bola sepak Kedah, Hasmawi Hassan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada tunangnya, Norlida Abdul Rahman, 19 jam sebelum akad nikah mereka bagi memaklumkan yang dia belum sedia berkahwin.



“Kini saya tahu perasaan (dialami Norlida) itu. Bayangkan hari yang sepatutnya paling gembira dalam hidup saya bertukar menjadi hari paling menyedihkan apabila insan yang kita cintai mengkhianati kita,” katanya kepada Metro Ahad.

Mazuin berkata, impian bergelar isteri dan menjadi ibu musnah sehingga dia kini trauma setiap kali melihat lelaki akibat kesan kekecewaan amat sangat yang dialami berikutan perbuatan tunangnya.

Mengimbau semula hubungan dengan tunangnya yang berusia 27 tahun dan berasal dari Flet San Peng di sini, Mazuin berkata, ia bermula kira-kira tiga tahun lalu ketika mereka bekerja di sebuah pasar raya di ibu kota.

“Kami bertunang pada 27 Mei tahun lalu dan sepatutnya berkahwin setahun selepas itu. Namun, akibat masalah kewangan, dia (tunangnya) meminta tarikh perkahwinan dilanjutkan dan bersetuju pada 30 Ogos selepas perbincangan antara keluarga kira-kira tiga bulan lalu.

“Malah, kami mencapai kata sepakat berkongsi kenduri dengan memilih Dewan Serbaguna DBKL Taman Ibu Kota sebagai lokasi. Kami (pihak perempuan) memanggil 700 tetamu, manakala pihak lelaki 500 (tetamu),” kata anak keempat daripada lapan beradik itu.



Sementara itu, Ramli berkata, masalah dilihat berpunca daripada sikap ego bakal menantunya yang enggan menerima bantuan atau nasihat, sekalipun dia tidak mampu menjelaskan wang hantaran perkahwinan.

“Adakah meminta wang hantaran itu satu ‘dosa’? Malah, kami cuba berbincang secara baik jika dia tiada semua wang itu (RM7,373.73), dia boleh membayar separuh. Kalau tidak ada juga, bawa saja cek walaupun duit tidak ada dalam akaun, sekurang-kurangnya sebagai bukti pembayaran untuk ditunjukkan kepada kadi.

“Adakah itu namanya menghina dan menjatuhkan maruahnya sehingga dia bertindak membatalkan perkahwinan?” tanya Ramli.

Menurutnya, berikutan terlalu terkejut, dia pengsan ketika bakal menantu dan keluarganya datang untuk memaklumkan mereka membatalkan perkahwinan dua hari sebelum hari akad nikah.

“Bagaimanapun, sebaik saya pengsan, mereka bukan membantu, sebaliknya melarikan diri dengan bergegas pulang tanpa sebarang keputusan dibuat.



“Pada hari akad nikah itu, saya nekadkan diri menunggu pada jam 4 petang lagi di Masjid Taman Sri Rampai berikutan temujanji dengan kadi selepas Asar.

“Harapan saya ketika itu, bakal menantu akan hadir, seterusnya saya menyuruh keluarga, termasuk Mazuin, membuat persiapan.

“Bagaimanapun, kami menunggu sehingga jam 5.30 petang tetapi dia tidak muncul juga.

“Malah, kadi yang sepatutnya menikahkan anak saya turut menitiskan air mata kerana kesedihan dan meminta semua dokumen berkaitan untuk diserahkan bagi urusan pendakwaan di JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan),” katanya.



Berikutan terlalu sedih dan kecewa, Ramli diserang penyakit jantung pada malam hari persandingan dan terlantar di Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU).

“Ini kali pertama saya terkena serangan jantung. Sebelum ini cuma darah tinggi, tetapi mungkin terlalu tertekan dengan apa yang berlaku ke atas anak perempuan saya, jantung saya terasa macam dipicit pada malam persandingannya.

“Ayah mana tidak sedih melihat anaknya bersanding seorang di atas pelamin,” katanya.



Ambil tindakan undang-undang

“BIAR apapun alasan yang diberikannya, kita akan meneruskan tindakan saman. Kami kerugian lebih RM20,000 untuk persediaan perkahwinan, tetapi yang lebih utama ialah mengembalikan maruah keluarga kami.”

Itulah keputusan nekad kakitangan Pos Malaysia, Ramli Ismail, 54, yang mendapat nasihat peguam syarie untuk tindakan undang-undang ke atas bakal menantunya yang didakwa tidak menghadiri majlis akad nikah dan persandingan tanpa alasan.

Terdahulu, Metro Ahad yang menghubungi pemuda berusia 27 tahun terbabit yang bekerja dengan sebuah koperasi di ibu kota dimaklumkan yang dia belum bersedia untuk membuat sebarang kenyataan pada masa ini.

“Hari ini (semalam) saya akan ke Kuantan untuk promosi pakej pelancongan yang ditawarkan syarikat (koperasi). Esok pagi (pagi ini) pula, saya akan membawa satu rombongan ke Jakarta selama seminggu.

“Saya mungkin membuat kenyataan selepas itu. Namun, cukup saya katakan yang saya juga ada sebab untuk tindakan ini (membatalkan perkahwinan pada saat akhir),” katanya yang enggan mengulas lanjut.



Bagaimanapun, Ramli yang keluarganya membuat laporan polis di Balai Wangsa Maju pada 30 Ogos lalu selepas pemuda berkenaan tidak menghadirkan diri untuk upacara akad nikah berkata, urusan perkahwinan bukan sesuatu yang boleh dibuat seperti permainan.

“Kita tidak boleh berkata ingin berkahwin dan dua hari sebelum perkahwinan, kita ingin membatalkannya. Mungkin dia di pihak lelaki tidak terasa sangat, tetapi kami anak perempuan.

“Semua orang mula mengata dan mengumpat sehingga saya mengambil keputusan nekad untuk berpindah selepas ini kerana terlalu malu. Di mana saya hendak letakkan muka apabila setiap orang yang ditemui bertanya mengenai perkara sama... berbuih mulut saya untuk menjawab,” katanya.

Lebih memalukan, hampir semua rakan sejawat, termasuk ketuanya yang bergelar Datuk, dipanggil untuk majlis kenduri.

“Rakan sejawat banyak yang memberi sokongan, sekali gus memberi kekuatan kepada kami untuk meneruskan tindakan saman ini kerana ia penting untuk memulihkan maruah, terutama apabila mengenangkan cakap-cakap kurang senang yang kami dengar di belakang,” katanya.










No comments: