Cara Terbaik Khatam Al-Quran Pada Ramadan

Soalan ;

SAYA selalu mendengar ceramah mengenai Ramadan adalah bulan al-Quran dan kita digalakkan khatam al-Quran sebanyak mungkin sepanjang Ramadan ini. Boleh berikan panduan bagaimana cara supaya saya mampu khatam al-Quran pada Ramadan dan cara terbaik berinteraksi dengan al-Quran.

Jawapan ;

RAMADAN adalah satu-satunya bulan disebut namanya dalam al-Quran dan pada bulan itu diturunkan al-Quran.

Cara paling mudah khatam al-Quran ialah dengan membaca al-Quran secara konsisten sebanyak empat setengah muka setiap kali selepas solat lima waktu. Dengan izin Allah akan khatam dalam masa sebulan. Membaca empat setengah muka hanya mengambil masa lima minit saja.

Memang benar amalan utama pada Ramadan selain berpuasa ialah berinteraksi dengan al-Quran. Berinteraksi dengan al-Quran boleh dilakukan pelbagai cara. Antaranya;



Belajar & Mengajar

Mereka yang tidak tahu membaca al-Quran atau tidak memahami maknanya wajib berusaha mengatasinya. Sebaik-baik waktu memulakan usaha itu adalah pada Ramadan kerana pahalanya akan berlipat kali ganda berbanding bulan lain.


Mereka yang dianugerah ilmu mengenai al-Quran hendaklah mengajarnya kepada mereka yang memerlukan. Kedua-dua golongan ini adalah orang yang terbaik di sisi Allah seperti sabda Nabi SAW bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Belajar dan mengajar al-Quran bukan setakat belajar dan mengajar membacanya saja. Ia meliputi belajar dan mengajar maksud serta tafsiran ayatnya.



Membaca Al-Quran Sama Ada Siang Atau Malam

Allah memuji mereka yang rajin membaca al-Quran dan menyediakan untuk mereka ganjaran besar.


Allah berfirman bermaksud: "Ahli-ahli kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (sudah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (al-Quran) pada waktu malam, ketika mereka sujud (mengerjakan sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah daripada orang yang salih." (Surah ali-Imran, ayat 113-114)

Pakej Web Jualan

Menghayati Titah perintah-Nya

Al-Quran diturunkan untuk membawa petunjuk, membimbing kepada kebaikan, menjelaskan jalan benar serta jalan yang menyesatkan. Justeru, tidak cukup bagi kita sekadar membaca tanpa cuba memahami dan menghayati isi kandungannya. Allah mencela orang yang tidak mengambil pengajaran daripada kitab suci diturunkan-Nya.


Firman Allah bermaksud: "Belum sampaikah lagi masanya bagi orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka). Janganlah pula mereka menjadi seperti orang yang sudah diberikan kitab sebelum mereka, selepas orang itu melalui masa yang lanjut, maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang fasik." (Surah al-Hadid, ayat 16)



Jadikan Al-Quran Sebagai Penawar

Allah berfirman bermaksud: "Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian juga." (Surah al-Isra', ayat 82)


Abu Saed al-Khudri meriwayatkan bahawa seorang sahabat menjampi dengan surah al-Fatihah untuk merawat seorang Arab Badwi yang pengsan kerana disengat binatang berbisa. menerusi jampi itu Badwi berkenan sembuh lalu menghadiahkannya 30 ekor kambing dan memberinya serta ahli rombongannya minum susu segar." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)



Hafal Sebahagian Surah Atau Ayat-Ayatnya

Cara terbaik adalah menghafal keseluruhan al-Quran daripada awal hingga akhir. Bagi yang tidak berkesempatan atau tidak berkemampuan, hafal sebahagian daripadanya, khususnya ayat atau surah digalakkan membacanya setiap hari.


Ibn Abbas berkata Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam dadanya sedikitpun daripada al-Quran seperti rumah usang yang tidak berpenghuni." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Antara surah yang sangat besar kelebihan menghafalnya ialah surah al-Mulk. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Di dalam al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, memberi syafaat kepada seseorang (yang membacanya) sehingga diampunkan dosanya, iaitu surah al-Mulk." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dilayari di http://www.bicarakalbu.blogspot.com









No comments: