Warga Emas ‘Mati’ Sejam

KUALA NERANG: Penduduk Kampung Bukit Endin dekat sini, gempar apabila seorang warga emas, Othman Ismail, 70, yang disangka sudah mati tiba-tiba hidup semula sejam selepas itu.

Dalam tempoh ‘kematiannya’, lebih 100 penduduk kampung terbabit, termasuk tujuh anak petani terbabit tiba untuk menziarahi ‘jenazahnya.’

Beberapa penduduk kampung juga sudah memulakan persiapan untuk menguruskan ‘jenazah’ warga emas itu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Dalam kejadian Ahad lalu, Othman dikatakan meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi selepas sakit pinggang ketika hendak keluar bekerja jam 6.30 pagi.

“Tubuhnya sejuk seperti ketulan ais. Malah nadinya tak bergerak dan dia tak bernafas langsung,” kata menantunya, Mustafa Ismail, 62.



Othman ketika ditemui di rumahnya, semalam, berkata pada awalnya dia terasa sakit pada pinggang sebelum melarat ke dada hingga menyukarkannya bernafas.

“Saya kemudian memanggil Mustafa yang tinggal berdekatan. Dia mengurut pinggang saya hingga rasa sakit itu berkurangan.

“Bagaimanapun, sakit itu datang semula sejam kemudian,” katanya.

Othman dibawa isterinya, Mahton Shafie, 65, dan anak, Che Nah, 46, ke klinik di Pokok Sena sebelum doktor memaklumkan dia hanya mengalami masalah angin.

Ketika dalam perjalanan pulang kira-kira jam 9 pagi, Othman mengadu sakit dan sukar bernafas serta terus tidak sedarkan diri.



“Saya panik waktu itu. Suami saya tak bernafas langsung dan tubuhnya terlalu sejuk hingga kami menyangka dia sudah meninggal dunia,” kata Mahton.

Sebaik tiba di rumah, Mustafa cuba memberi bantuan dengan menekan dada Othman, tetapi tiada sebarang tindak balas.

Ini menyebabkan rumahnya dikunjungi kira-kira 100 ahli keluarga termasuk tujuh anaknya dan penduduk kampung untuk menziarahinya.

Beberapa penduduk juga memulakan persiapan untuk menguruskan ‘jenazah’ warga emas itu.

Bagaimanapun, dia dibawa ke Hospital Kuala Nerang apabila ambulans yang dihubungi tiba kira-kira jam 9.15 pagi.



Mustafa berkata, sebaik tiba di hospital, bapa mentuanya itu diberi bantuan pernafasan sebelum sedar semula kira-kira jam 10 pagi.

“Beliau dimasukkan ke wad kecemasan sebelum dibenarkan pulang kira-kira dua jam kemudian. Doktor tidak memaklumkan Othman menghidap apa-apa penyakit, tetapi dia akan menjalani pemeriksaan sekali lagi Khamis ini (esok),” katanya.

Othman berkata, setakat ini, dia tidak menghidap apa-apa penyakit kronik kecuali sering sakit pinggang sejak dua tahun lalu.

“Saya tidak mengalami apa-apa mimpi atau petanda pelik sepanjang saya tidak sedarkan diri itu.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana Allah s.w.t masih panjangkan usia saya. Apa yang pasti, kejadian itu pasti ada hikmahnya tersendiri,” katanya.








No comments: