Raja Azmi Kenduri Jika Haru Biru Kutip RM1 juta

BARANGKALI ketika ini penerbit dan penulis sensasi Raja Azmi Raja Sulaiman sudah mampu menarik nafas lega apabila filem terbitan syarikatnya JAS Sdn Bhd, Haru Biru meraih kutipan tiket menghampiri RM400,000 selepas lima hari ditayangkan di pawagam. Jika sebelum ini Raja Azmi pernah mengeluarkan kenyataan bahawa filem arahan Shahdan Baba ini mungkin filemnya yang terakhir sekiranya ia gagal mendapat sambutan, mungkin kenyataan itu tidak akan menjadi realiti.

“Saya baru saja mendapat laporan dari panggung yang menyatakan sehingga kini, selepas menjengah pawagam Khamis lalu, kutipannya kini menghampiri RM400,000. Biarpun pada peringkat awal, jumlah kutipan agak perlahan namun selepas cuti hujung minggu, jumlah kutipan kembali meningkat. Jumlah itu cukup melegakan saya dan cukup membuatkan jantung saya berhenti berdegup kencang gara-gara terlalu bimbang memikirkan bagaimanakah sambutan penonton terhadap filem keempat saya itu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Berdasarkan nasihat yang diberikan pengedar filem ini, David Teo dia juga yakin yang filem ini mampu balik modal dan meraih sedikit keuntungan sekiranya promosi yang betul dilakukan serta sokongan pihak media secara keseluruhannya,” ujar Raja Azmi dalam nada teruja ketika dihubungi Hip, petang Selasa lalu. Filem Haru Biru ini ditayangkan di 28 buah pawagam di seluruh negara dan dua panggung di Brunei.

Ditanya apakah dia akan meneruskan niatnya untuk tidak mahu lagi membuat filem selepas Haru Biru mencapai kutipan sedemikian seperti apa yang pernah dilafazkannya sebelum ini, Raja Azmi berkata nampaknya perkara itu tidak mungkin menjadi kenyataan.

“Nampak gayanya saya kena teruskan juga usaha untuk menerbitkan filem selepas ini. Apapun saya bersyukur dan harapan saya filem ini mampu mendapat kutipan yang lebih tinggi. Jika mencapai angka RM1 juta saya akan buat kenduri,” katanya yang melaburkan RM600,000 sebagai modal menerbitkan filem ini.



Mengulas komitmen pelakon terhadap rangka promosi filem ini, Raja Azmi berkata setakat ini mereka tidak pernah menimbulkan masalah dan sedia memberi kerjasama mereka.

“Promosi pertama filem ini akan dijalankan di dua buah panggung di Pulau Pinang sempena berlangsungnya Festival Filem Malaysia ke-20. Saya rasa terharu kerana kebanyakan pelakon filem ini bersedia untuk mengadakan promosi di mana saja. Cuma kalau mereka terbabit dalam hal lain saja baru mereka minta dikecualikan contohnya macam Dynaz yang terbabit dengan penggambaran lain di Thailand.Namun, saya puji komitmen yang mereka tunjukkan selama ini.

Saya juga berpuas hati dengan laporan media cetak dan elektronik terhadap filem ini. Selepas Pulau Pinang, kami akan menjelajah Sungai Petani pada 5 Ogos depan untuk mempromosikan filem ini di pusat membeli-belah Central Square. Saya harap orang ramai akan datang kerana semua pelakon filem ini akan berada di sana untuk sesi beramah mesra,” jelas Raja Azmi lagi.

Ditanya apakah maklum balas yang diterimanya sebaik saja filem ini ditayangkan kepada umum, Raja Azmi berkata kebanyakan penonton yang terdiri dari golongan remaja beranggapan filem ini berbeza dengan apa yang pernah syarikatnya hidangkan sebelum ini.

“Dua buah filem saya sebelum ini kebanyakannya memaparkan kisah cinta yang entah apa-apa. Ala Hindustan seperti yang dipaparkan dalam filem Cinta 200 Ela. Jadi selepas mereka menyaksikan filem ini, mereka tak sangka yang saya boleh menghasilkan filem bertemakan remaja seperti ini yang barangkali dekat dengan jiwa mereka,” cerita isteri kepada bekas pemain badminton negara, Jailani Datuk Sidek ini.



Mengenai perancangannya selepas ini, Raja Azmi berkata besar kemungkinan dia akan menghasilkan filem bergenre seram kerana filem seperti itu amat diminatinya.

“Selera filem saya sentiasa berubah-ubah kerana saya tidak mahu dilabelkan sebagai penerbit yang hanya mampu menghasilkan satu genre filem saja. Tapi, kalau awak tanya filem apa yang saya suka, saya lebih berminat menghasilkan filem berunsur cemas, seram dan juga thriller.

“Filem berunsur sains fiksyen dan yang membabitkan banyak kesan khas, saya tak berminat,” katanya.










No comments: