Karim Latiff Terlantar Di HKL

Sudah lebih 20 hari Karim menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 28 Julai lalu. Seniman veteran itu disahkan menghidap ulser mata dan dirawat di Wad 17 Oftalmologi (Mata).

Karim, 72, tidak lagi mampu melihat berikutan kedua-dua matanya dikatakan luka dan bernanah akibat dijangkiti kuman. Malah Karim juga menghidapi penyakit kencing manis.

Ketika Harian Metro melawat Karim di HKL, baru-baru ini, pelakon yang pernah membintangi filem Keluarga 69, Ahmad Albab dan Anak Bapak itu ditemani isterinya, Asma Hussain, 63.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Pelakon veteran Karim Latiff 72, yang kini menerima rawatan di HKL ditemani isteri Asma Hussain, 63.


Ditanya mengapa 'merahsiakan' keadaan kesihatannya daripada pengetahuan umum, Karim berkata, dia tidak mahu menyusahkan sanak- saudara dan rakan datang melawatnya di HKL.


“Saya bukan melarang mereka datang melawat tetapi disebabkan kebanyakan sanak-saudara menetap di luar Kuala Lumpur, saya tidak mahu mereka bimbang. Lagipun, saya hanya sakit mata.



“Buat masa ini, isteri setia menemani dan menjaga saya di sini. Anak pun ada datang menjenguk selepas kerja. Saya ini sebenarnya jenis yang tidak suka merisaukan orang.

“Pada saya, apa yang berlaku ke atas diri sekarang ini qada dan qadar daripada Tuhan. Suatu ketika dulu, saya diberi kesihatan yang baik kini berlaku sebaliknya pula,” katanya.

Kata pelakon seangkatan seniman tersohor, Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu lagi, dia reda dengan takdir dirinya dan mengatakan dia dirawat di HKL pun kerana berikhtiar.

“Sejauh mana saya akan sembuh, semuanya diserahkan pada Allah. Apa yang saya tahu, buat masa ini, doktor berusaha sedaya upaya merawat mata saya hingga sembuh semula.

“Malah kata doktor luka dalam mata saya ini mengambil masa lama untuk sembuh kerana dijangkiti kuman dan bernanah. Penglihatan saya kini kabur dan hanya nampak bayangan saja.



“Setakat ini saya tidak tahu sampai bila akan dirawat di HKL. Bagaimanapun, ia perkara biasa bagi orang berusia seperti saya. Apa-apa penyakit mudah datang,” katanya.

Bapa kepada lima anak ini berkata, dia juga tidak mahu menghebohkan kesakitan dihadapinya kerana enggan dipandang serong masyarakat. Katanya, anak wayang sering dikaitkan dengan bantuan apabila sakit.

“Alhamdulillah, saya tidak perlukan sebarang bantuan. Bukan menyombong tetapi lebih selesa begini. Saya juga tidak merungut kalau tiada sesiapa datang melawat.

“Masing-masing tentu ada komitmen kerja dan keluarga. Jadi saya amat memahaminya. Saya mahu kalau mereka datang pun biarlah kerana ada kelapangan tapi tidak memaksa diri,” katanya.

Karim yang sudah 20 tahun menghidap kencing manis berkata, dia bukan pesakit yang suka berpantang. Kalau ada orang sanggup pantang makan, Karim pula 'pantang' berjumpa terus makan.

Selain Yusoff Kelana, antara rakan artis yang pernah melawat Karim di HKL ialah seniwati Mariani, Aisyah (isteri Allahyarham A R Jaafar), Abas dan Eizlan Yusof. Seniman juga menghulurkan bantuan RM500 untuk meringankan beban Karim.










No comments: