Jual Anak RM1,500

PASIR GUDANG: Seorang lelaki didakwa sanggup menjual anak bongsunya berusia setahun, disyaki hasil bersekedudukan dengan seorang wanita Indonesia, dengan harga RM1,500 bagi membolehkannya berfoya-foya dengan teman wanita yang tinggal di kawasan perumahan sama dengan mereka.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu turut meninggalkan lima anak dan wanita warga Indonesia itu kelaparan di sebuah rumah di Taman Cendana di sini, sedangkan dia bermalam di rumah teman wanitanya sejak lebih setahun lalu, menyebabkan tiga anak lelakinya bukan saja menjadi pencuri, malah mula berjinak-jinak menghidu gam.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Selain ditinggalkan tanpa makanan, rumah yang diduduki sejak kira-kira lapan tahun lalu tiada bekalan elektrik dan air menyebabkan tandas rumah itu dipenuhi najis, sekali gus menyebabkannya berbau busuk.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, disebabkan sikap lelaki itu, semua lima anak yang tinggal bersama ibu mereka terbiar dan tidak bersekolah, malah mengharapkan ihsan jiran untuk mendapatkan makanan.

Anak pertama wanita itu berusia 13 tahun, kedua (12 tahun) dan ketiga (10 tahun) adalah lelaki, manakala keempat (tujuh), kelima (lima) dan keenam (setahun) adalah perempuan.



Anak bongsunya dijual kepada satu keluarga dengan harga RM1,500.

“Mungkin disebabkan daif, dia menjual anak bongsunya, malangnya wang itu tidak digunakan untuk membaiki taraf hidup keluarga, sebaliknya dia menghilangkan diri dan hanya pulang kira-kira dua minggu sekali.

“Wanita dipercayai warga Indonesia itu serta lima anaknya tidak mendapat makanan. Wanita yang hanya dikenali sebagai Martini berusia lingkungan 30-an itu selalu dilihat pengsan di tangga atau tempat letak kereta kerana tidak makan.

“Selain itu, dua anak perempuannya sering meminta makanan di rumah jiran. Kami bukan tak mahu bantu, tapi jika lelaki itu tahu dia akan marah dan memaki jiran yang membantu anak-anaknya, sedangkan dia jarang berada di rumah,” katanya.

Status rumah itu sendiri, katanya, diragui sama ada diduduki secara sah atau tidak kerana sebelum ini, pihak berkuasa pernah mengunci rumah berkenaan, namun lelaki itu memecahkan kunci bagi membolehkan keluarganya tinggal di sana.



Sebelum ini, kata jiran itu, tiga anak lelaki wanita yang dipercayai menghidap kanser kepala itu sering menjual besi dan tin minuman untuk membeli makanan kepada ibu dan adik mereka.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini tiga beradik itu dilihat mula menghidu gam, selain mencuri barangan dan pakaian jiran untuk dijual bagi mendapatkan wang.

“Penduduk percaya semua anaknya tiada sijil kelahiran dan kad pengenalan kerana pernah satu ketika, seorang guru cuba membantu mereka belajar di sekolah tapi permohonan ditolak berikutan tiada sebarang dokumen sah.

“Sebelum 2003, kehidupan lelaki itu agak mewah dan turut mempunyai kereta, nasib keluarganya agak terbela walaupun lelaki itu jarang berada di rumah. Ketika itu, dia mempunyai isteri warga Malaysia dan bersekedudukan dengan wanita Indonesia itu.

“Bagaimanapun, semuanya berubah apabila lelaki itu menjalani hukuman penjara enam bulan selepas memecah masuk sebuah gudang di sini, menyebabkan isterinya melarikan diri dan tinggallah wanita Indonesia itu bersama lima anaknya,” katanya.



Menurutnya, sebagai jiran mereka kasihankan kanak-kanak dan wanita itu yang sentiasa kelaparan hingga ada ketikanya, terpaksa membuang air besar dan kecil di tangga pangsapuri sedangkan bapa mereka tinggal bersama wanita lain di kawasan berhampiran.

Berikutan itu, pihak berkuasa diminta menghulurkan bantuan bagi memastikan nasib kanak-kanak itu terbela dan mendapat pendidikan secukupnya, manakala wanita itu mendapat rawatan sewajarnya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di rumah berkenaan mendapati terdapat dua katil masing-masing diletakkan di ruang tamu dan bilik utama di rumah tiga bilik itu.

Bagaimanapun, keadaan dapurnya amat daif dengan pinggan yang pernah digunakan tidak dicuci dan dibiarkan dalam sinki hingga ditutupi sarang labah-labah, manakala tandasnya dipenuhi najis.

Selain itu, rumah berkenaan dipenuhi himpunan baju dipercayai sumbangan orang ramai. Mereka dikatakan membuang pakaian berkenaan selepas dipakai kerana tiada air untuk membasuh.

Wanita berkenaan pula tidak fasih bertutur kecuali ‘tidak tahu’ dan menyebut nama anak-anaknya, dipercayai akibat tekanan disebabkan keadaan hidup yang ditinggalkan tanpa sebarang keperluan asas sejak lebih setahun lalu.










No comments: