Amuk Mat Rempit

GOMBAK: Suasana di perkarangan Wad Kecemasan Hospital Selayang di sini, kelam-kabut apabila sekumpulan kira-kira 20 Mat Rempit bersenjatakan parang mengamuk dengan mengejar beberapa lelaki tanpa mempedulikan kakitangan dan pengunjung hospital itu, pagi semalam.

Kumpulan Mat Rempit yang meniru lagak filem aksi Hong Kong itu seolah-olah tidak menghiraukan orang ramai yang berada di situ dengan mengejar lelaki buruan mereka menggunakan parang.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Malah, pengunjung yang ketakutan hanya mampu melihat aksi itu kerana tidak berani membantu apabila melihat tindakan Mat Rempit terbabit yang seolah-olah dirasuk hantu.

Lelaki yang dikejar itu bagaimanapun terselamat apabila kejadian itu disedari beberapa anggota polis yang bertugas di hospital berkenaan.

Melihat tindakan kumpulan lelaki terbabit bertindak keterlaluan, anggota polis terpaksa melepaskan dua das tembakan amaran bagi mengawal keadaan menyebabkan kumpulan Mat Rempit terbabit tersentak.



Kumpulan Mat Rempit terbabit sebelum itu bertempur dengan musuh mereka menggunakan senjata tajam dipercayai berpunca daripada perebutan perempuan hingga seorang daripada mereka koma akibat ditetak di kepala di Taman Intan Baiduri, Kepong.

Pertempuran kira-kira jam 2.30 pagi itu menyebabkan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an parah ditetak dipercayai menggunakan parang sebelum dia dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan.

Bagaimanapun, perkelahian itu berulang sekali lagi di hadapan Wad Kecemasan Hospital Selayang kira-kira jam 8.30 pagi apabila kumpulan Mat Rempit terbabit dikatakan masih tidak puas hati.

Difahamkan, pergaduhan itu berlaku membabitkan dua kumpulan Mat Rempit iaitu dari Taman Wira Damai di sini, dan Taman Intan Baiduri, Kepong, kira-kira tiga kilometer dari hospital itu.

Berikutan situasi kelam-kabut, anggota polis terpaksa melepaskan dua das tembakan amaran ke udara bagi meleraikan pergaduhan antara kedua-dua kumpulan pelumba motosikal haram itu.



Polis terpaksa bertindak demikian apabila 20 anggota kumpulan Mat Rempit terbabit bertindak ganas, malah mengacukan parang ke leher seorang pengawal keselamatan yang cuba meleraikan pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Mohamad Abdullah, berkata kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu membabitkan Mat Rempit dipercayai daripada kumpulan berlainan.

Menurutnya, dalam pergaduhan itu, seorang lelaki parah akibat ditetak di kepala menggunakan parang dan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan.

“Pergaduhan itu bagaimanapun berlarutan sehingga ke Hospital Selayang,” katanya.

Difahamkan, seorang lelaki berparang cedera terkena senjata tajam yang dibawanya dan menerima rawatan di hospital sama.



Mohamad berkata, susulan kejadian itu, polis menahan 14 Mat Rempit berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan itu disebabkan perebutan seorang perempuan.

“Polis akan mengambil keterangan daripada beberapa saksi dan suspek yang ditahan untuk mengetahui lebih lanjut punca kejadian,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.

Lagi; Mat Rempit Biadap!










No comments: