Pertama Di Dunia: Buku Panduan Ibadat Di Angkasa

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menerbitkan sebuah buku mengenai garis panduan bagi umat Islam melaksanakan ibadah di angkasa lepas.

Buku yang pertama seumpamanya di dunia itu diterbitkan seiring dengan penghantaran angkasawan negara ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Oktober nanti.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaludin Jarjis memberitahu sidang akhbar di sini bahawa buku bertajuk "Pelaksanaan Ibadah di International Space Station, ISS" itu bakal dijadikan panduan oleh angkasawan negara bagi mengerjakan ibadah di sana nanti.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman, yang turut hadir pada sidang akhbar itu, berkata beberapa aspek yang perlu diambil kira dalam melaksanakan ibadah di angkasa lepas, dimuatkan dalam buku itu, antaranya cara beristinjak, menentukan waktu solat dan qiblat serta menentukan waktu puasa.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman.


Mustafa berkata penerbitan buku itu adalah hasil rumusan seminar Islam dan Kehidupan di Angkasa anjuran Agensi Angkasa Negara dan Jakim pada April tahun lepas selain perbincangan dengan 14 mufti seluruh negara.



Beliau berkata buku panduan juga akan diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan Arab, serta bahasa-bahasa lain bergantung kepada permintaan.

Kedua-dua calon angkawasan negara, Kapt Dr Faiz Khaleed dan Dr Sheikh Muszaphar Shukor, yang turut hadir pada sidang akhbar itu, menyambut baik penerbitan buku itu.

Dr Faiz, pakar bedah pergigian Angkatan Tentera Malaysia, menyifatkan penerbitan buku itu sebagai satu lagi pencapaian negara seiring dengan sejarah yang bakal dicipta dengan penghantaran angkasawan Malaysia ke angkasa lepas.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kapt Dr Faiz Khaleed.


Dr Sheikh Muszaphar, pegawai perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, pula berkata buku itu merupakan panduan yang berguna kepada mereka dan umat Islam lain yang akan menerokai angkasa lepas.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Dr Sheikh Muszaphar Shukor.


Seorang daripada mereka akan dipilih sebagai angkawasan Malaysia yang pertama yang akan berlepas ke ISS pada 10 Okt nanti.







No comments: