Jee Kembali Solo

SEKIAN lama berteka-teki, penyanyi popular, Fauziah Latiff akhirnya membuat pengakuan bahawa dia telah bercerai kira-kira tiga bulan yang lalu. Dan edahnya akan berakhir hari ini 27 Julai.

"Tempoh edah saya akan tamat 27 Julai....," ujar penyanyi yang popular dengan lagu Teratai Layu di Tasik Madu dan Kau Merubah Segalanya mengenai tempoh edah 3 bulannya.

Fauziah atau lebih mesra dengan panggilan Jee ini ternyata tidak mampu lagi menyimpan erat rahsia dan status perkahwinannya yang begitu hangat diperkatakan sejak awal tahun ini.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Jee kini solo dan mahu memberi fokus kepada kerjayanya.


Bukan sedikit yang memberi perkhabaran Jee sudah tidak tinggal sebumbung dengan bekas suaminya Johan Indot, sekaligus memberi gambaran yang dia sudah berstatus janda.

Namun penyanyi jelita ini bijak menangkis segala 'tohmahan' dan tetap berpendirian isu rumahtangga terlalu peribadi.



Mungkin Jee mempunyai alasan sendiri kenapa dia merahsiakan status peribadinya dan ada kebenarannya apabila Jee berkata, pihak media tidak menanyakan statusnya sejak tiga bulan kebelakangan ini justru itu dia tidak memberitahu keadaan sebenarnya.

"Bukan niat hendak berbohong dengan sesiapa. Sebetulnya ketika ditanya beberapa bulan yang lalu, saya masih isteri orang dan saya tidak pandai menipu sebab itu kalau boleh, saya cuba mengelak isu peribadi begini," jelas penyanyi kelahiran Pontian, Johor ini.

Menurut Jee dia enggan mendedahkan perkara tersebut sebelum ini kerana merasakan perkara itu terlalu peribadi walaupun khabar angin keretakan rumahtangga mereka hangat diperkatakan.

"Saya sudah melakukan apa yang termampu untuk menyelamatkan rumahtangga kami. Cukuplah, saya tidak mahu menceritakan lebih lagi melainkan "off the record". Saya terpaksa menjaga hati banyak pihak dan kami juga berpisah secara baik.

"Tak payahlah diungkit dan dibesarkan kes penceraian saya," kata Jee yang mendirikan rumahtangga kedua bersama Johan Indot, 43 di London pada tahun 1997. Pasangan Jee-Johan mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Jeffri Joaquim Indot, 8, dan Jeremy Jay Indot, 6.



Sebelum ini Jee pernah mendirikan rumahtangga bersama-sama Syed Budriz Putra Syed Amir Zainal Abidin Jamalullail di sekitar tahun 1992 tetapi bercerai tiga tahun kemudian.

"Seperti yang dilaporkan dalam akhbar, saya sudahpun memberitahu kepada semua kawan-kawan media mengenai status saya kini, iaitu saya sudah pun bercerai. Selebihnya terlalu peribadi," kata Jee ketika diwawancara menerusi telefon hari ini.

"Memang perkara ini menjadi bahan bualan orang bukan sahaja baru-baru ini tetapi sejak lima tahun yang lalu. Maaf, saya tidak dapat memberitahu terperinci apa sebenarnya yang berlaku. Apa yang dapat saya katakan kita tidak boleh menghalang sesuatu daripada berlaku," ujarnya lagi.

Namun, penyanyi yang popular dengan lagu Dia ini kini mengaku dia lebih tenang menghadapi kehidupan sebagai seorang ibu tunggal dan berstatuskan solo.

"Saya tenang sekarang. Malah saya amat berterima kasih kepada keluarga saya serta kawan-kawan yang berada di sisi saya selama ini.




"Tidak lupa juga kawan-kawan saya dalam industri hiburan yang turut memberi sokongan moral kepada saya," ujarnya.

Walau bagaimanapun, Jee tidak mahu isu penceraiannya diperbesarkan atau berlarutan sehingga fokus tumpuan lebih diberikan kepada cerita peribadi dan bukan karier.

"Perkara ini sudahpun selesai dan kalau boleh saya tidak mahu memperbesar-besarkan isu ini lagi," tegasnya.

"Buat masa ini, saya mahu memberi fokus terhadap kerjaya saya. Tambahan pula saya kini sibuk dengan proses memilih lagu untuk album baru nanti. Saya berharap agar peminat-peminat saya dapat menerima saya dengan seadanya," ujar Jee lagi mengenai rancangan masa depannya.



Anak Menjadi Keutamaan

Harapan Jee anak-anaknya akan menjalani kehidupan secara normal walaupun dia dan bapa mereka sudah tidak bersama lagi.

"Kami akan bersama-sama membesarkan mereka dan memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Mereka adalah keutamaan kami," ujarnya mengenai hak penjagaan anak-anaknya.

"Lagipun saya dan Johan masih berkawan baik," tegas Jee lagi yang enggan mengulas tentang soal penjagaan anak.

Bagi Jee, apa saja yang dilakukan kini adalah untuk anak-anaknya.

"Sedih tu memanglah sedih tapi banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan. Tidak perlulah Jee menjelaskan satu persatu apa yang Jee telah lakukan. Orang hanya melihat secara luaran saja.

"Yang menginsafkan, baru kini Jee sedar pengorbanan seorang ibu tunggal....," katanya mengakhiri perbualan petang itu.








No comments: