'Haram' Solat Jumaat

KLANG: Kaki ponteng sembahyang tentu 'gembira’ dengan kemunculan ajaran sesat baru yang bukan saja mewajibkan satu solat sehari, malah turut mengharamkan sembahyang Jumaat.

`Tok guru’ ajaran sesat dikenali Kumpulan Islam Jemaah itu berhujah kononnya, satu solat itu mewakili empat solat lain dan pengikut tetap diberi ganjaran pahala penuh lima solat dengan hanya melakukannya sekali dalam sehari.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Selain itu, tok guru terbabit mengeluarkan fakwa mengharamkan sembahyang Jumaat dengan mendakwa solat berkenaan tidak perlu dilakukan kerana pengikutnya adalah golongan terpilih yang dikecualikan daripada melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

Ajaran sesat terbabit yang papa kedana kerana masih kurang pengikut, juga menjadikan sebuah pondok buruk di pinggir bandar ini sebagai lokasi operasi penyebaran pengaruh.

Exco Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil, memberitahu Harian Metro, pondok terbabit dibina serta beroperasi di lokasi sunyi dan jauh daripada pandangan ramai dipercayai kerana bimbang diserbu pihak berkuasa.



“Tok guru ajaran sesat terbabit juga memberi peringatan kepada pengikutnya bahawa apa yang mereka amalkan dan jalankan benar.

“Bagaimanapun, semua yang dilakukan pihak jabatan agama serta kerajaan dalam pelaksanaan ajaran Islam seharian adalah salah dan wajib ditentang. Ia benar-benar tidak masuk akal tetapi pengikut yang terpengaruh tetap percaya kata-kata tok guru bebal terbabit,” katanya, semalam.

Difahamkan, ajaran sesat itu cuba mengembangkan pengaruh selepas mengetahui banyak ajaran sesat lain berjaya ditumpaskan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam pelbagai operasi dijalankan sebelum ini.

Gerak-geri tok guru serta pengikut ajaran sesat itu kini diperhatikan Jais untuk diambil tindakan kerana apa yang dilakukan mereka mampu memecahbelah ummah.

“Mereka masih sorok-sorok dalam menjalankan kegiatan seharian kerana kononnya ‘low profile’ sedangkan hakikatnya, takut diserbu pihak berkuasa.



“Kami sendiri hairan bagaimana pengikut boleh percaya ajaran seperti itu sedangkan sudah banyak ajaran sesat hampir sama diwartakan sesat dan dimusnahkan,” katanya.

Difahamkan, Jais sedang menyiasat latar belakang tok guru ajaran sesat terbabit sama ada dia warga tempatan atau asing, mengumpulkan dana melalui memeras wang daripada pengikut dan sebagainya.

Tindakan akan diambil dalam masa terdekat kerana pihak berkuasa sudah mengenal pasti dalang di sebalik ajaran sesat terbabit.

Sementara itu, Abdul Rahman menasihatkan umat Islam di Selangor supaya tidak terpengaruh dengan ajaran Wahabi yang dikesan sedang digerakkan di negeri ini oleh pihak tertentu.

“Kita mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Mazhab Shafie. Gerakan untuk menyebarkan ajaran Wahabi akan kami tentang sehingga lenyap.



“Fatwa sudah diputuskan majlis agama Islam beberapa negeri dan gerakan mengembangkan fahaman itu tidak wajar dilakukan,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga bersedia mengambil tindakan sekiranya ajaran dalam fahaman berkenaan melanggar fatwa negeri.

Ini kerana, berdasarkan ajaran Wahabi, pengikutnya tidak dibenarkan bertalkin selain berwirid seperti dilakukan pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Kita tidak akan berkompromi dengan ajaran yang boleh memecahbelahkan ummah.

“Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyebaran Wahabi atau ajaran sesat lain memaklumkannya kepada kami,” katanya.

Lagi Cerita Ajaran Sesat; Jin Mat Salih, Lembu Cuci Dosa & 'Mukjizat' Punk!











1 comment:

SAYA said...

Ada ustaz yang jg seorang hafiz dan pernah bekerja di bawah JAIS kini bekerja di seksyen 13 mengamalkan ajaran sesat. dia menyatakan bahawa solat jumaat haram bagi kanak-kanak yang tidak bersunat. selain itu,solat dalam gelap adalah haram. saya juga dapat tahu bahawa dia pernah dikenakan tuduhan rogol dan cabul pada april 2008.