Cat Farish & Hartini Ramly; Cinta Tiba Di Sisi Dua Jiwa

HUJAN lebat yang membasahi bumi seakan merestui kedua-dua mempelai ini melangkah ke fasa baru dalam kehidupan mereka. Perjalanan yang merubah dua hati yang dulunya berbeza kini bersatu mencari titik persefahaman dalam melayari bahtera rumah tangga.

Cat Farish atau nama sebenarnya, Farish Ramli dan Hartini melestarikan cinta suci mereka dengan lafaz ijab kabul dalam upacara penuh adat di kediaman pengantin perempuan di Mutiara Bangi, Bandar Baru Bangi, Selangor, pada petang 13 Julai lalu.

Sabtu lalu, pasangan pengantin baru itu sekali lagi diraikan pada majlis persandingan penuh meriah yang diadakan di kediaman keluarga mempelai lelaki di Jalan Lembah Ledang, Kuala Lumpur.

Dihadiri lebih 2,000 tetamu, kemeriahan majlis persandingan biarpun ditemani rintik hujan yang turun bagaikan titisan doa mengiringi dua insan yang melunaskan cinta tulus mereka dengan ikatan suci - perkahwinan.

Pada acara persandingan yang bertemakan perkahwinan dalam taman itu, Cat Farish dan isterinya menggayakan rekaan moden diilhamkan Estillo.



Kata Cat Farish, biarpun mempunyai masa terhad untuk membuat keseluruhan persiapan dia gembira kerana impian mengumpul semua sanak saudaranya tercapai dengan acara persandingan itu.

“Memang saya ingin menjadikan acara persandingan ini sebagai majlis perjumpaan sanak saudara yang sudah lama tidak bertemu. Alhamdulillah, walaupun agak kelam kabut namun saya sangat gembira kerana impian bersama keluarga tercapai.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
SATU HATI: Pengantin baru memotong kek perkahwinan.



“Secara tidak langsung majlis ini juga mempertemukan sanak saudara saya dengan keluarga baru saya iaitu famili isteri,” katanya yang ditemani isteri tercinta saat ditemui usai majlis persandingan mereka.

Perjalanan baru dalam kehidupan berumahtangga kata Cat, sesungguhnya membawa dirinya dan isteri ke sebuah alam yang sarat perbezaan dan menguji.

“Terlalu banyak perkara baru dalam kehidupan berumahtangga dan kami masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu,” katanya.



Akuinya perasaan kekok masih ada, malah sesekali tersasul memanggil ibu mentuanya dengan panggilan ‘auntie’ kerana sudah terbiasa sebutan itu. Malah kata Cat Farish, kehidupan berumahtangga menyedarkannya akan tanggungjawab berat yang menanti di depan matanya.

Lebih menggembirakan, katanya, apabila ada insan yang penuh setia sentiasa menanti kepulangan setiap kali dia kembali ke rumah selepas menyelesaikan urusan kariernya.

“Pendek katanya, hidup saya lebih sempurna dengan kehadiran isteri yang menjaga saya dengan rapi,” katanya yang kini menetap bersama keluarga mentuanya di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Hartini yang banyak tersenyum tatkala diajukan pertanyaan, berkata dia teruja menjalani kehidupan barunya sebagai seorang isteri. Meskipun antara mereka berdua memiliki perbezaan yang ketara, namun kelainan itu mengikat hatinya untuk mengenali Cat Farish lebih mendalam.

“Dulu saya bebas mengikut kata hati tetapi sekarang saya perlu mengikut cakap suami. Semua itu tidak mudah dan memerlukan sedikit masa. Namun, seronok menjalankan tanggungjawab baru ini lebih lagi untuk memastikan suami sentiasa selesa di rumah,” katanya.



Pasangan mempelai ini bercadang menikmati detik indah dalam perkahwinan mereka di Pulau Tioman sebelum berlepas ke Eropah untuk berbulan madu.

“Insya-Allah sebelum berpuasa kami akan ke Pulau Tioman dulu. Kami akan cuba mencari masa kerana ketika ini saya agak sibuk dengan komitmen di bidang seni, tambahan pula The Fabulous Cats akan tampil dengan album pek semula,” kata Cat Farish.

Mengabadikan cinta tulus mereka, Cat Farish mengilhamkan lagu Cinta Tiba Di Sisi yang akan dimuatkan dalam album pek semula kumpulannya.

Awalnya kata Cat, dia bercadang untuk mengedarkan single itu kepada tetamu yang menghadiri majlis persandingannya. Bagaimanapun, hasratnya itu tidak menjadi kenyataan lantaran terlalu sibuk pada saat akhir.






No comments: