Amaran Kepada Penulis Blog!

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak malam tadi menegaskan pengendali dan penulis laman blog yang membangkitkan isu berbau perkauman atau menghina agama tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kebebasan menulis atau memberi pandangan ada hadnya dan kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana pihak mengganggu gugat perpaduan negara serta menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat.

“Mereka mesti bertanggungjawab sepenuhnya kepada laman web mereka dan tidak menganggap sikap toleransi kerajaan sebagai lesen untuk menyiarkan apa saja atas nama kebebasan bersuara tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


“Kerajaan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2007 dan majlis penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2006 di sini.

Kelmarin, Umno membuat laporan di Balai Polis Daerah Dang Wangi terhadap laman web Malaysia Today kerana menyiarkan komen sensitif berhubung isu kedaulatan Yang di-Pertuan Agong, Islam dan perkauman.



Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dilaporkan berkata, komen orang ramai yang disiarkan laman web itu pada 11 Julai lalu melanggar undang-undang dan menghina kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

Pada sidang Dewan Negara petang semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, turut memberi jaminan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap penulis laman blog terbabit.

“Kita akan kaji dan lihat tindakan mengikut Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Seksyen 121b Kanun Keseksaan. Seksyen 121b ini membabitkan kesalahan terhadap kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri yang membawa hukuman penjara seumur hidup," katanya.

Najib dalam ucapannya menjelaskan perkembangan mendadak teknologi komunikasi menyebabkan media cetak dan elektronik kini bukan lagi menjadi pembekal tunggal maklumat.

Bagaimanapun, katanya, pengendali dan penulis laman web juga mesti menunjukkan sikap bertanggungjawab, berhati-hati dan teliti serta menghargai hasrat rakyat Malaysia untuk membina sebuah negara yang aman dan stabil.



“Tindakan sesetengah pengendali dan penulis laman web bercanggah dengan profesionalisme pengamal media serta melanggar etika kewartawanan yang mengajar wartawan melapor yang benar, bersikap objektif, saksama dan memperoleh maklumat dari sumber rasmi dan sahih.

“Malah, wartawan mesti mendapat fakta betul, melaporkan dalam konteks yang tepat dan sebarang laporan dan gambar hendaklah menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, media alternatif sebaliknya tidak menunjukkan sikap bertanggungjawab apabila menguruskan ruangan berdasarkan pandangan dan kecenderungan peribadi tanpa mengambil kira kepentingan masyarakat berbilang kaum.

“Atas nama kebebasan, laman web ini membenarkan fitnah, pembohongan, maki hamun, penggunaan kata-kata kesat, keji dan bersifat perkauman disiarkan tanpa mengambil kira kesannya pada pembaca atau pihak yang terbabit.

“Ini satu perkembangan tidak sihat dan boleh mengganggu gugat perpaduan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.



Bagaimanapun, beliau berkata, di sebalik perubahan itu, wartawan kekal sebagai tenaga yang menukar maklumat menjadi laporan berita atau rencana.

Sehubungan itu, penekanan harus diberikan untuk melatih tenaga wartawan supaya profesionalisme mereka kekal pada tahap tinggi, malah ditingkatkan sesuai dengan senario yang berubah.

“Organisasi media negara ini hendaklah membuat pelaburan dalam melatih pekerja berilmu secara bersungguh-sungguh dan berterusan, sama ada sendirian atau kolektif menerusi institusi seperti MPI,” katanya.

Mengenai kerjasama media dan kerajaan, Najib berkata, sebagai rakan kongsi untuk menjayakan agenda nasional, media tidak seharusnya rasa bersalah, malu atau tertekan kerana membantu kerajaan dalam menjayakan kepentingan negara.

“Media hendaklah terus memainkan peranan dengan penuh perasaan tanggungjawab, sentiasa berhati-hati khususnya dalam isu yang boleh menjejas hubungan kaum dan agama,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, media boleh membuat teguran dan mengkritik secara konstruktif, objektif, adil dan berasaskan fakta yang tepat kerana ia boleh membantu kerajaan mengatasi kelemahan dan kepincangan, sistem dan memperkemaskan sistem pentadbiran.







No comments: