Air Mata Di Korea

MAK, mak ingat lagi tak? Ini Jelani ni, anak mak,” itulah ayat pertama diungkapkan Jelani Sonni, 70, sebaik bertemu ibunya, Mariam Johari, 86, selepas terpisah 64 tahun lalu akibat Perang Dunia Kedua.

Pertanyaan sayu itu diikuti pelukan dan ciuman kepada warga emas berkenaan, sambil diiringi air mata hampir semua kira-kira 50 penonton yang menyaksikan sesi rakaman program ‘Love In Asia’, satu rancangan ala ‘Jejak Kasih’ yang diadakan di studio Korean Broadcasting System (KBS) di sini, semalam.

Rakaman itu berlangsung selama sejam 30 minit bermula jam 3.30 waktu tempatan (2.30 petang Malaysia) hingga jam 5 petang (4 petang waktu Malaysia).

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Terdahulu, Jelani dan kakaknya, Ramlah, 72, diasingkan di sebuah bilik khas sebelum Mariam diminta menjerit memanggil nama dua beradik itu sebelum mereka menuruni tangga khas ke pentas terbabit di penghujung rancangan.

Berikut antara perbualan Jelani dan kakaknya, Ramlah, 72, dengan ibu mereka dalam program berkenaan yang diterjemahkan pelajar Malaysia di sini, Yen Mun Wah.



JELANI: Mak, mak ingat lagi tak? Ini Jelani ni, anak mak?

MARIAM: Jelani?

JELANI: Mak, Jelani rindukan mak. (diikuti pelukan dan ciuman manakala Ramlah menuruni tangga mendapatkan ibunya)

MARIAM: Jamnah? Jamnah?”

RAMLAH: Bukan mak, ini Ramlah anak sulung mak. (diikuti pelukan dan ciuman)



MARIAM: Ramlah...

RAMLAH: Mak nak ikut Ramlah balik tak? Mak ikut ye mak. Ketika itu, Mariam hanya tersenyum dan seolah-olah tidak percaya sambil dipeluk dua anaknya, sebelum bertanyakan Jamnah yang tiada di lokasi.

MARIAM: Jamnah? Jamnah?

RAMLAH: Jamnah sakit, dia tak dapat datang. Dia ada di rumah di Kota Tinggi. Mak, raya nanti datang rumah ya... Jumpa saudara-mara, kami tidak pernah sambut hari raya dengan mak.

MARIAM: Mohammad? Mohammad?

JELANI: Mak, adik mak (Ahmad Tapri) dah meninggal. Mak balik ye mak.



Rombongan keluarga Mariam dari Malaysia yang lain mula menaiki pentas didahului isteri Jelani, Suriah Anwar, 52, anak Ramlah, Ahmad Onn, 41, dan menantu Jamnah, Siti Zainab Noor, 35, sebelum diperkenalkan.

Pertemuan yang ditunggu-tunggu itu diaturkan produser rancangan berkenaan, Park Keon Young yang turut datang ke Malaysia, bulan lalu.

Dalam pertemuan itu, rombongan keluarga Mariam dari Malaysia, Jelani, Ramlah, Suriah, Ahmad dan Siti Zainab, pada mulanya ditempatkan di sebuah bilik sambil menyaksikan rakaman dokumentari perjalanan hidup Mariam.

Mariam pula menyaksikannya rakaman bersama anak tirinya, Ji Yong Un, 51.

Laluan berliku hidup Mariam dimulai dengan visual aktiviti Mariam dan Ji di rumahnya, sebelum Mariam membelek gambar-gambar lama yang disimpan di dalam almari.



Kehidupan ceria Mariam disulami temuramah bersama Park yang menyaksikan Mariam menceritakan keinginannya berjumpa tiga anaknya di Malaysia, selain masalahnya mendapatkan hak kerakyatan berikutan ketiadaan sebarang pengenalan diri.

Dokumentari itu kemudian menunjukkan gambar Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu, manakala perjalanan hidup Mariam bersama seorang lelaki Korea, Cho Se Won ke pekan Hampyong, Korea Selatan.

Visual disambung kepada kehidupan Mariam di rumah Cho dan perkahwinan mereka, sebelum Cho terpaksa meninggalkan Mariam disebabkan Perang Korea pada 1950 hingga 1953.

Bagaimanapun, penantian kepulangan Cho sebenarnya membawa bala kepadanya apabila Mariam mendapati Cho pulang bersama seorang janda beranak tiga dan terpaksa berkongsi bilik dengan madunya itu.

Penonton di studio mula sebak apabila visual Mariam yang melarikan diri ke Seoul menulis surat kepada keluarganya di Tanah Melayu, malangnya surat itu dikembalikan kepadanya.



Dokumentari itu kemudian memaparkan pencarian tiga anak Mariam oleh Park di Singapura, sebelum datang ke Plentong, Johor Bahru, dengan pelbagai usaha dilakukan bagi mengesan tiga beradik berkenaan.

Mariam yang tekun menonton dokumentari itu mulai sebak dan beberapa kali mengesat air matanya apabila visual penemuan keluarganya dipaparkan termasuk tangisan dan rayuan Ramlah, Jelani dan Ramlah supaya dia pulang ke Malaysia.

Pengacara dan penonton yang tidak dapat menahan air mata, menyaksikan Mariam dan Ji menziarahi pusara Cho di Hampyong, disusuli penggambaran keluarga Mariam, termasuk dua adiknya, Khadijah dan Fatimah yang dijejakinya di Kampung Sungai Tengkorak, Plentong.

Selepas selesai tayangan dokumentari dan temuramah itu, Mariam diminta berdiri dan menjerit memanggil nama Jelani dan Ramlah, tanpa mengetahui dua anaknya itu sebenarnya berada di tangga khas studio berkenaan.

Cerita Yang Dulu ; 'Bawa Ibu Pulang'










No comments: