Kaedah Merawat Pesakit Guna Ayat Al-Quran Harus

BAGI mereka yang prihatin terhadap penjagaan kesihatan diri, mereka akan sanggup mengeluarkan belanja besar untuk memastikan diri sentiasa sihat. Ada yang berusaha mencegah atau merawat penyakit secara moden dan ada juga menggunakan cara tradisional.

Orang Islam yang berusaha mencegah atau merawat penyakit perlu sedar siapa yang memberinya penyakit dan siapa pula yang berupaya menyembuhkannya. Mereka juga perlu mengetahui hukum kepada kaedah dan rawatan digunakan, sama ada menepati kehendak syarak dan sunnah Rasulullah SAW.

Rawatan secara Islam semakin mendapat tempat di kalangan orang Islam dan dianggap kaedah alternatif kepada perubatan moden. Tetapi, adakah 'kaedah rawatan Islam' itu menepati rawatan Rasulullah yang dikenali al-Tibb al-Nabawi?

Pensyarah Fakulti Usuludin Universiti Malaya, Dr Mohd Muhiden Abd Rahman, berkata konsep penyakit datang daripada Allah dan Allah juga yang mampu menyembuh perlu ditanam dalam hati nurani umat Islam sebaik saja mereka ditimpa penyakit.

Beliau yang melakukan kajian mengenai hukum al-Nusyrah mengikut perspektif al-Sunnah menyatakan Ibn Qayyim membahagikan al-Nusyrah kepada dua, iaitu:



Pertama, al-Nusyrah atau rawatan ke atas orang yang terkena sihir dengan menggunakan sihir juga. Inilah sebenarnya bentuk al-Nusyrah yang dikatakan daripada amalan syaitan seperti pendapat al-Hasan al-Basri.

Kedua, al-Nusyrah atau rawatan dengan menggunakan jampi pelindung, ubat-ubatan dan doa harus. Inilah bentuk al-Nusyrah yang diharuskan oleh sebahagian ulama.

Dr Mohd Muhiden berkata, al-Bayhaqi menyatakan hukum al-Nusyrah sama seperti hukum jampi, iaitu harus diamalkan sekiranya menggunakan ayat al-Quran, nama Allah, sifat-Nya serta doa dan sabit dengan Rasulullah SAW.

Selain itu, pengamalnya tidak boleh beriktiqad bahawa al-Nusyrah boleh memberi manfaat sendiri tanpa keizinan Allah SWT.

Beliau berkata, al-Nusyrah secara amnya berbeza dengan tangkal dan azimat. Namun, Al-Nusyrah, tangkal dan azimat termasuk dalam kategori rawatan yang berunsurkan metafizik dan berasaskan jampi. Ulama memberi takrif yang berbeza-beza mengenai al-Nusyrah.



Menurut al-Qurtubi, “kalimah al-Nusyrah ibarat satu benda yang ditulis padanya nama-nama Allah atau ayat al-Quran, kemudian dibasuh dengan air dan disapu atau diberi minum kepada pesakit.

Dr Mohd Muhiden berkata, Ibn al-Athir berpendapat al-Nusyrah adalah sebahagian daripada kaedah jampi dan rawatan bagi merawat orang yang terkena sentuhan jin.

Katanya, Ibnu Ruslan pula berpendapat al-Nusyrah ialah sejenis jampi dan rawatan dengan memandikan (pesakit) dalam bentuk atau keadaan tertentu yang tidak mungkin diterima oleh kaedah perubatan biasa melalui hukum qiyas melainkan dengan percubaan.

Kaedah itu dilakukan bagi merawat orang yang terkena sentuhan syaitan atau jin. Bentuk rawatan ini dinamakan al-Nusyrah kerana pesakit sendiri cuba menyebar atau menghapuskan penyakit berkenaan.

Katanya, al-Dhahabi menyatakan bahawa al-Nusyrah ialah air yang dijampi dan dibiarkan seketika di tengah udara, kemudian dimandikan pesakit dengannya.



Beliau berkata, walaupun ada perbezaan pendapat mengenai al-Nusyrah, perbezaan itu hanya dari sudut teknikal dan kaedah.

Sudut prinsipnya sama saja kerana ulama sependapat al-Nusyrah adalah sebahagian daripada jampi, sama ada ditulis di atas sesuatu benda, kemudian direndam atau dijampi terus ke dalam air dan diberi minum atau disapu ke atas pesakit atau dimandi.

“Al-Nawawi pernah memetik pendapat al-Qadi 'Iyad yang menyatakan ada hadis mengatakan Rasulullah SAW ditanya mengenai al-Nusyrah. Lalu baginda menjawab, “Al-Nusyrah adalah daripada amalan syaitan”.

Seterusnya, al-Qadi 'Iyad menyatakan “Bahawa al-Nusyrah adalah amalan yang diketahui umum dan masyhur di sisi pengamal azimat dan dinamakan demikian kerana ia disebar oleh pengamalnya.

“Hadis itu diriwayatkan oleh Jabir ibn 'Abdilah,” katanya.



Dr Mohd Muhiden berkata, Abu al-Tayyib Syams al-Haq 'Abadi menyatakan “apa yang dimaksudkan sebagai amalan syaitan ialah al-Nusyrah yang diamalkan oleh masyarakat jahiliah dan dipercayai mempunyai kuasanya sendiri.

“Al-Nusyrah yang mengandungi ayat al-Quran, nama Allah dan sifatnya atau doa yang sabit daripada Rasulullah SAW, hukumnya harus.”

Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, tidak salah bagi umat Islam mengamalkan konsep perubatan al-Nusyrah, asalnya kaedah itu menggunakan ayat al-Quran.

Katanya, tiada fatwa pada peringkat kebangsaan atau mana-mana negeri yang membenarkan al-Nusyrah secara ayat al-Quran tetapi hal itu sudah dibincang dalam kitab lama.

Beliau berkata, pada zaman nabi sudah ada jampi menggunakan ayat al-Quran, iaitu ketika seorang sahabat digigit kala jengking ketika berkhemah di padang pasir.



Katanya, seorang sahabat lain menjampi pesakit dengan al-Fatihah dan pesakit itu terselamat daripada maut (akibat gigitan kala jengking), lalu dihadiah seekor kambing.

“Nabi mengatakan boleh makan kambing itu. Tiada masalah," katanya.

Pengarah Urusan Annusyrah Marketing Sdn Bhd (Annusyrah Marketing), Abdullah Mohd Yusoff, berkata al-Quran adalah penyembuh kerana di dalamnya terdapat enam ayat penyembuh atau ayat syifa.

Ayat berkenaan ialah Surah At-Taubah: Ayat 14, Surah Yunus: Ayat 57, Surah An-Nahl: Ayat 69, Surah Al-Israa': Ayat 82, Surah Asy-Syu'araa': Ayat 80 dan Surah Fussilat: Ayat 44.

Katanya, Annusyrah Marketing menggunakan keenam-enam ayat syifa dalam perubatan al-Nusyrah bagi mengeluarkan produk syarikat itu dengan ditilawah (dibaca pada air) dan ditulis pada pinggan putih.



Tulisan pada pinggan menggunakan dakwat khas diperoleh daripada pokok kuma-kuma atau dalam bahasa Inggeris dinamakan Saffron.

“Kaedah al-Nusyrah yang digunakan oleh syarikat ini bukan seperti pawang yang menghembus ayat tertentu pada air atau meludah dalam air. Kita juga tidak mengamalkan al-Nusyrah seperti zaman jahiliah, iaitu sihir orang Arab dengan membaca ayat tertentu yang tidak difahami.

“Produk Annusyrah Marketing ditilawah dan ditulis dengan ayat syifa daripada al-Quran,” katanya.








No comments: