Jac Tak Lupa Diri

RUPA-rupanya perjalanan hidup penyanyi bervokal mantap, Jaclyn Victor tidaklah seindah yang disangka. Sebelum mengecapi kejayaan seperti yang dinikmatinya hari ini, banyak duri dan ranjau yang terpaksa diharungi wanita berusia 29 tahun ini.

Namun pengalaman itulah yang banyak mengajarnya untuk lebih berdikari dalam hidup. Kesusahan yang pernah menimpanya sekeluarga suatu masa dulu menjadikan penyanyi yang cukup akrab disapa Jac ini cukup sedar di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung.

Lantaran itu, berkat kesabarannya bertahun-tahun mengharungi kepayahan hidup, Jac kini sudah mampu tersenyum bangga apabila rezekinya dalam bidang seni semakin melimpah ruah. Selepas dinobatkan sebagai bintang Malaysian Idol musim pertama, tuah penyanyi ini semakin menyerlah dengan pelbagai anugerah hebat diterimanya termasuk anugerah Persembahan Vokal Wanita Terbaik Wanita AIM ke-14.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Dan kini, nama Jac turut berdiri sebaris dengan selebriti popular tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain dan Maya Karin apabila tersenarai sebagai duta produk syampu terkenal Rejoice. Dan pada sidang media pengumumannya sebagai jurucakap kepada produk pencuci rambut terkenal itu baru-baru ini, Jac menyifatkan tawaran yang diterimanya itu ibarat bulan jatuh ke riba.

“Sejak dulu lagi saya menggunakan produk ini dan pernah menyimpan angan-angan untuk menjadi jurucakapnya. Apabila dimaklumkan pihak pengurusan bahawa saya terpilih untuk menjadi duta pertama Rejoice, memang gembira sangat kerana tak sangka impian akhirnya menjadi kenyataan,” kata Jac teruja.



Namun, nada suaranya yang ceria itu bertukar menjadi sayu saat mengimbas kembali kisah silamnya yang cukup memilukan.

“Mungkin apa yang saya kecapi kini adalah anugerah di atas segala kepayahan hidup kami sekeluarga. Kami pernah hidup melarat dan kerana itulah saya menyimpul azam untuk memajukan diri supaya kesusahan dan kedaifan tidak berterusan membelenggu hidup kami,” luah si pelantun lagu Gemilang ini.

Mengimbau peristiwa lalu, Jac berkata segala-galanya bermula apabila bapa, yang selama ini menjadi ketua rumah meninggal dunia secara tiba-tiba. Sebagai anak sulung yang berusia 10 tahun, Jac sendiri dapat melihat betapa sengsaranya kehidupan ibu yang kehilangan arah gara-gara kehilangan suami.

“Saya sangat sedih melihat keadaan ibu ketika itu. Bayangkan, bagaimana keadaan ibu apabila orang yang selama ini menjadi tempat bergantung harap pergi secara tiba-tiba.

“Dia tidak makan, tidur dan duduk saja di sebelah keranda sambil menangis sehinggalah jiran tetangga yang datang menziarah memanggil doktor memberi suntikan agar keadaannya kembali terkawal. Paling menyedihkan apabila kami terpaksa meneruskan hidup dengan duit yang didermakan jiran yang datang melawat mendiang ayah.



“Namun menyedari bahawa dia perlu menyara anak-anak, ibu berubah sikap dan hidup berdikari dengan melakukan dua atau tiga kerja dalam sehari bagi membesarkan kami semua,” luah Jac menceritakan situasi sebenar.

Sambil mengakui kehidupannya semasa kecil tidak sebertuah anak-anak lain, Jac berkata sepanjang menjalani alam persekolahan, dia dan adik-adiknya terpaksa hidup berjimat.

“Waktu itu duit belanja diberi hanya sekadar cukup untuk membeli makanan di sekolah. Jadi kami harus membuat pilihan sekiranya mahu makan kami terpaksa berjalan kaki ke sekolah dan sekiranya mahu senang ke sekolah menaiki bas kami terpaksa berlapar.

“Dek kerana peristiwa itu juga, saya amat menghargai setiap sen yang saya peroleh apabila mula bekerja sebagai penyanyi di kelab,” ujar Jac yang pernah menjadi vokalis kumpulan JJEDS sebelum ini.

Bagaimanapun, apa yang didedahkan Jac itu bukanlah dengan niat untuk meraih simpati sebaliknya ia sebagai pembakar semangat untuk terus gigih berusaha, cekal dan kuat dalam menghadapi dugaan hidup. Dan secara kebetulan, lirik lagu Satu Harapan yang dirakamkannya sempena perlantikannya sebagai duta Rejoice itu ada kena mengena dengan kehidupan silamnya.



“Tidak terniat untuk saya membuka pekung di dada apatah lagi untuk meraih simpati apabila bercerita hal sebegini. Tetapi ia sekadar menjelaskan kedudukan sebenar mengapa saya katakan lagu yang dimuatkan dalam album edisi khas Satu Harapan punya persamaan dengan perjalanan hidup pernah saya lalui,” katanya.

Kesusahan masa lalu banyak mengajar penyanyi ini untuk lebih realistik dalam menghadapi kehidupan.

“Saya pernah susah dan saya tidak mahu susah lagi. Apapun kesenangan yang saya nikmati kini tidak akan membuatkan saya lupa diri. Saya masih berpijak di bumi nyata dan saya percaya apa yang dinikmati kini tidak akan kekal lama. Percayalah, saya tidak akan membiarkan perkara buruk memusnahkan kehidupan saya,” janji Jac.

Sepanjang bergelar duta Rejoice, Jac bakal mengadakan persembahan di beberapa lokasi terpilih dan bertemu peminat. Selain itu dia juga akan menjayakan satu program Impian Hangat iaitu satu sesi uji bakat mencari bintang yang bakal tampil dalam klip video Satu Harapan untuk versi kedua.

Mereka yang berminat menyertainya boleh mendengar radio Hot FM atau bertemu krew promosi di pusat beli-belah di Kuantan, Pahang; Johor Bahru, Johor dan sekitar Lembah Klang sepanjang Jun ini.





Info Jaclyn Victor

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Jaclyn Victor atau Jac, 29, dilahirkan pada 4 Disember 1978 dan berasal dari Kuala Lumpur. Anak sulung daripada empat beradik ini mendapat pendidikan terakhirnya di Sekolah Menengah Taman Ehsan, Kepong.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Sebelum menyertai pertandingan nyanyian Malaysian Idol (MI), Jac pernah menjadi penyanyi di kelab dan hotel seluruh Malaysia selama lapan tahun, sekali gus dia menganggap pengalaman itu sebagai kolej muziknya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Menyertai MI pada 2004 sekali gus dinobatkan sebagai juara pertama program realiti TV berkenaan. Lagu Gemilang pernah menjadi juara Carta Hits 1 musim kedua pada 2005 dan Jac pula memenangi kategori Persembahan Terbaik.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Memenangi anugerah emas ketika menyertai Shanghai Music Festival pada 2005 dan mengungguli Anugerah Juara Lagu ke-20 (AJL20) dan menang kategori Balada, kedua-duanya menerusi lagu Gemilang. Dia juga pernah bergelar Penyanyi Wanita Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2006 di Singapura.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Menerusi AIM'13, Jac memenangi empat kategori sekali gus iaitu Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu kesemuanya menerusi lagu dan album Gemilang.









No comments: