"Bukan Gimik!" - Sharifah Amani

IPOH: “Lebih baik saya cipta perkara lain yang lebih dahsyat kalau benar saya mahu buat gimik. Lagipun buat apa saya mahu menyeksa diri jika ia tidak memberikan kebaikan kepada semua pihak.”

Itu komen pelakon, Sharifah Amani Syed Zainal Rashid, 21, atau Nanie mengenai tindakannya membotakkan kepala bagi menjayakan watak sebagai Rohani dalam filem Muallaf.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Keputusan dibuat pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-19 itu dikhuatiri bakal dijadikan bahan kontroversi terbaru sesetengah pihak, apatah lagi pengarahnya, Yasmin Ahmad sebelum ini pernah diselar pengkritik sebagai pencemar budaya.

Sebaik Nanie selesai mencukur kepala sebelum memulakan penggambaran babak terakhir filem itu di sini, semalam, Yasmin yang dikelilingi wartawan tempatan berkata, selepas ini, pasti ada pihak akan menuduhnya sengaja mahu mencipta gimik dengan mahu pelakon utama filem Muallaf itu membotakkan kepala.

Kata Nanie pula: “Saya lakukan ini kerana Yasmin. Saya memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik sewaktu usia mencecah 20 tahun dan sebagai pelakon saya perlu melakukan sesuatu bagi memajukan diri dalam kerjaya.



“Bagi memberikan kelainan dalam setiap lakonan saya perlu melakukan sesuatu yang dirasakan mencabar bakat. Membotakkan kepala menjadi titik tolak kepada perjalanan dan cabaran watak yang saya lakonkan.

“Pada pendapat saya keputusan penyanyi popular Hollywood, Britney Spears yang membotakkan kepala kerana menghadapi tekanan dan masalah peribadi, ia mungkin boleh dikatakan satu gimik yang kurang sihat.

“Bagaimanapun apabila pelakon Natalie Portman membotakkan kepala untuk filem V For Vendetta, ia tidak dijadikan bahan kontroversi atau didakwa sengaja mahu mencari gimik kerana ia berkaitan dengan kerjayanya sebagai pelakon.”

Menurutnya, keputusan membotakkan kepala dianggap penting kepada watak Rohani yang dilakonkannya.

Ia memaparkan situasi trauma yang dihadapi kerana berhadapan dengan sikap bapanya yang bertindak kejam.



“Saya percaya segala cakap belakang ditimbulkan kerana keputusan saya membotakkan kepala akan lenyap selepas penonton menyaksikannya dalam filem Muallaf apabila ditayangkan kelak.

“Babak itu akan ditayangkan beberapa minit. Mungkin orang luar masih memperkatakan sesuatu selepas menontonnya. Terpulanglah kepada mereka untuk membuat andaian sendiri mengenai watak Rohani yang saya lakonkan,” katanya.

Sebaik menjalani penggambaran hari ketiga, rambut Nanie yang panjang mencecah pinggang terlebih dulu dipotong pendek. Sebaik dibotakkan kepalanya, Nanie tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan menangis.

Selain pengarah dan krew, wartawan hiburan yang datang dari Kuala Lumpur turut berkesempatan menyaksikan lakonannya di babak terakhir menyaksikan kepalanya yang sudah digondolkan.

Selain Nanie, filem Muallaf yang menjalani penggambaran selama 11 hari turut dibintangi adiknya, Sharifah Alesya; pendatang baru, Brian Yap; penyanyi popular, Ning Baizura dan Datuk Rahim Razali.

Sepupu, sepapat; Syarifah Amani Botak Kepala?













No comments: