Wanita Asing Jual Bayi Luar Nikah

KUALA LUMPUR: Segelintir wanita warga asing yang hamil akibat terlanjur kini menjadi ‘modal’ kepada sindiket penjualan bayi yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi urusan jual beli kepada pasangan tempatan.

Sindiket itu yang bergiat aktif sekitar Lembah Klang dan dianggotai warga tempatan serta asing mengetahui beberapa klinik swasta menjadi tempat wanita asing terbabit melahirkan bayi.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Selain menanggung segala kos bersalin termasuk pembedahan dan perubatan, sindiket itu akan mendapatkan sijil beranak sah selepas menerima wang daripada pasangan tempatan.

Antara punca wanita warga asing terbabit menjual bayi mereka ialah kerana ditinggalkan selepas terjerat dengan cinta palsu teman lelaki yang juga pendatang asing.

Difahamkan, harga bagi seorang bayi luar nikah itu mencecah hampir RM30,000 dan jumlah wang diterima si ibu bergantung kepada kewarganegaraan mereka, antaranya warga Filipina RM5,000, diikuti Myanmar serta Vietnam (RM3,000) dan Indonesia (RM2,500).



Kegiatan sindiket itu didedahkan Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) melalui 35 aduan yang diterima daripada mangsa dan hasil siasatannya sejak lapan bulan lalu.

Dalam kes terbaru, seorang wanita Indonesia berusia 27 tahun yang mahu dikenali sebagai Sandra, kini hamil tujuh bulan dan terpaksa menghubungi sindiket terbabit selepas terpedaya dengan teman lelaki.

“Segalanya berubah selepas saya kehilangan pasport beberapa tahun lalu dan hidup sebagai pelarian. Saya kemudian bertemu dengan lelaki warga Pakistan yang banyak membantu dan kami bercinta.

“Bagaimanapun, selepas mengetahui saya hamil, dia meninggalkan saya dan membiarkan hidup saya melarat sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, dia didatangi anggota sindiket penjualan bayi dan ditawarkan RM2,500 untuk membeli bayi yang dikandungnya.



“Saya kini buntu dan terpaksa bersetuju dengan tawaran itu kerana kesempitan hidup dan perlu memberi wang kepada keluarga di kampung di Jawa Tengah,” katanya.

Dalam kes kedua, seorang wanita Filipina berusia 24 tahun yang mahu dikenali sebagai Cristina, mendakwa menjual bayinya dan mendapat RM5,000 daripada sindiket terbabit, tiga bulan lalu.

“Saya masuk ke negara ini menggunakan pas sosial beberapa tahun lalu. Saya terpaksa menjual bayi itu selepas tak tahu siapa ayahnya sebenar kerana mempunyai terlalu banyak teman lelaki ketika bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah kelab malam suatu ketika dulu.

“Namun, kini saya insaf dan berharap wanita senasib dengan saya supaya tidak melakukan perkara sama serta terjebak dengan sindiket terbabit,” katanya.

Mengulas kes itu, Presiden Cassa, Datuk Dr Jacob George, berkata pihaknya memandang serius kegiatan sindiket itu dan mencadangkan hukuman berat terhadap teman lelaki warga asing yang ‘lepas tangan’ selepas membuntingkan wanita terbabit.



“Kami juga bimbang sindiket terbabit menjual organ bayi berkenaan, termasuk mengeksportnya ke pasaran luar negara,” katanya.

Bagi membantu wanita warga asing yang menghadapi masalah, katanya, Cassa boleh dihubungi melalui talian hotline di 016-2917001 untuk sesi kaunseling.








No comments: