Linda Rafar Dipukau!

KUALA LUMPUR: Pelakon Linda Rafar mendakwa dipukau seorang lelaki berlagak baik ketika mengeluarkan wang dari mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Ampang, di sini, malam kelmarin.

Dia yang kini trauma berikutan kejadian itu, mendakwa lelaki tidak dikenali itu menepuk bahunya ketika dia sedang mengeluarkan wang dari mesin ATM menyebabkannya ‘mamai’ sebelum menyerahkan RM3,000 kepada penjenayah terbabit.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Linda memberitahu Harian Metro, kejadian berlaku jam 8.40 malam ketika dia beratur berhampiran mesin ATM untuk mengeluarkan duit yang baru dimasukkan pihak produksi sebagai bayaran lakonan untuk sebuah drama.

Ketika itu, katanya, dia beratur di belakang lelaki terbabit yang kemudian memberi laluan kepadanya untuk mengeluarkan wang terlebih dahulu.

“Saya ke mesin ATM di stesen minyak itu untuk mengeluarkan wang perbelanjaan anak-anak kerana kebetulan saya ada mesyuarat di sebuah restoran berhampiran. Ketika itu ada seorang lelaki berdiri berhampiran mesin ATM itu dan saya beratur di belakangnya.



“Namun, dia dengan ‘baik hati’ memberi laluan kepada saya untuk menggunakan mesin ATM terlebih dulu. Ketika saya sedang menekan butang pada mesin ATM, dia menepuk belakang bahu saya seperti mahu menegur.

“Sebaik menoleh ke arahnya, saya seperti hilang ingatan seketika dan tidak ingat apa-apa termasuk ketika menyerah duit sebanyak RM3,000 kepadanya.

“Jumlah itu had pengeluaran wang dibenarkan dalam sehari. Beberapa minit selepas itu, saya sedar semula dan apabila memeriksa baki wang dalam akaun, saya dapati RM3,000 sudah lesap,” katanya sambil menangis.

Menurut Linda, lelaki yang mengambil duitnya itu berusia lingkungan 30-an, bermisai nipis dan tinggi kira-kira 170 sentimeter.

Bagaimanapun, sehingga semalam, pelakon itu belum membuat laporan polis kerana terlalu sibuk di lokasi penggambaran drama.


“Saya harap sangat dia memulangkan duit itu, tapi yang lebih penting, pengalaman saya dapat membuatkan orang lain lebih berhati-hati ketika mengeluarkan duit di mesin ATM di kawasan itu,” katanya.








No comments: