Buah Hati Norzizi

“KETIKA meletakkan dia di bahu, air mata saya menitis perlahan-lahan. Dalam hati saya berbisik, ya Allah engkaulah yang aku tunggu selama ini. Rasa macam tidak percaya itukah yang duduk di dalam perut saya selama ini,” cerita Norzizi Zulkifli mengenai pengalaman pertamanya menimang cahaya mata.

Muhammad Armada Jiwa hasil perkongsian hidup Zizi, 31, dan Bayu Utomo Radjikin, 38, lahir ke dunia ini tanggal 31 Mac lalu ketika umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul tepat jam 12.59 tengah malam. Bayi seberat 3.35 kilogram adalah anak sulung dan cucu pertama keluarga pelakon Zulkifli Zain dan Normala Omar.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
BAWA KEGEMBIRAAN: Kehadiran Armada Jiwa menceriakan keluarga
Zulkifli Zain dan Normala Omar



Bayi yang dilahirkan lewat seminggu daripada tarikh yang dijangkakan itu sepatutnya dilahirkan secara normal. Jam 9 pagi, Zizi dimasukkan ke wad dan kononnya dijangka bersalin jam 12 tengah hari, bagaimanapun tiada tanda-tanda lagi yang dia bakal melahirkan. Sehingga lewat petang belum lagi ada tanda-tanda dia akan bersalin lalu doktor memecahkan air ketuban.

Sehingga jam 9.30 malam barulah dia dimasukkan ke dalam bilik bersalin, namun tiga jam berada di dalam bilik bersalin masih belum ada lagi tanda Armada akan keluar. Akhirnya doktor terpaksa melakukan pembedahan dan tepat jam 12.59 tengah malam bayi yang dinantikan selama ini lahir.

“Kiranya saya merasa dua cara bersalin iaitu secara normal dan pembedahan. Semasa doktor mengeluarkan Armada, saya berada dalam keadaan sedar kerana saya hanya mengambil ubat pelali separuh badan saja. Mungkin waktu itu saya penat sangat, perasaan tidaklah begitu terharu sehinggalah apabila berada di rumah dan memeluknya, hati saya tiba-tiba menjadi sayu,” imbas Zizi.



Katanya pengalaman melahirkan Armada membuatkan dia serik untuk beranak lagi, namun apabila melihat Armada yang semakin membesar rasa tidak sabar pula untuk menimang cahaya mata lagi. Dek pembedahan, Zizi hanya boleh mengandung lagi selepas dua tahun.

Kehadiran Armada tidak hanya mengubah hidupnya dan suami tetapi seluruh keluarga mereka. Rumah Zizi yang selama ini senyap sunyi kini bagaikan berpesta. Adik beradik akan berpakat beramai-ramai ke rumah Zizi, mujur jarak antara rumah mereka dan Zizi tidak jauh asalkan terfikir pada si comel Armada yang memiliki lesung pipit di pipi kirinya maka akan bergegas mereka ke sana.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Cahaya mata pertama Norzizi Zulkifli, Muhammad Armada Jiwa.


Datuk dan nenek Armada pun begitu juga, asal tidak ada sebarang penggambaran drama mereka tidak akan hilang ke mana melainkan rumah Zizi. Bagaimanapun, sampai saat ini pun kedua-duanya masih belum membuat keputusan mahu menggelarkan diri mereka dengan gelaran apa.

“Mama dengan papa sampai sekarang masih tidak tahu hendak menggelarkan diri mereka dengan panggilan apa. Sekejap tok, sekejap tok wan kadang-kadang mama tersasul menggelarkan dirinya mama kepada Armada,” cerita Zizi. Zulkifli Zain yang turut berada di rumah Zizi berkata, dia memang cukup seronok dengan kehadiran Armada.

“Orang lain muda-muda sudah dapat cucu, saya pula umur nak masuk 61 tahun barulah merasa timang cucu. Memang gembira dapat cucu sudahlah cucu pertama, hero pula tu.



“Saya juga yang suruh Zizi tambah Muhammad di depan nama Armada sebab dia dilahirkan pada hari Maulidur Rasul untuk mengambil keberkatan hari berkenaan,” cerita bapa Zizi pula.

Bulan Jun nanti, Zizi akan kembali bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Sehingga kini dia masih belum pasti siapakah yang akan menjaga anak bujangnya. Mahu mengambil orang gaji terasa bimbang pula, mahu dihantar ke rumah orang pun sama juga bimbangnya.

Bagaimanapun, salah seorang adik Zizi bersetuju untuk menjaga anak buahnya dan akan berhenti kerja buat sementara waktu untuk menjaga Armada. Lega juga hati Zizi apabila adiknya sedia berkorban demi anaknya dan jika ibu bapanya tidak ada sebarang penggambaran mereka juga bersedia untuk menjaga Armada.

Ibu mentua Zizi yang berada di Sabah juga bersedia menjaga Armada, namun berat pula hati Zizi untuk berpisah jauh dengan anak sulungnya itu. Sebagai berlaku adil kepada keluarga mentua, Zizi akan mengadakan majlis aqiqah pada Disember nanti sekali gus meraikan Syawal di sana.

Ibu mana yang tidak mahu anak yang dilahirkan membesar menjadi insan berguna. Walau masih awal untuk bertanya apakah impiannya, Zizi sedia menjawab. Mulanya, agak malu-malu juga Zizi menyatakan hasrat hati ibunya namun akhirnya dia beralah.



“Saya tidak kisah apa yang dia ingin jadi bila besar nanti. Sebagai ibu saya mahu lihat dia belajar hingga ke Mesir di Universiti Al Azhar tetapi kalau dia mahu menjadi pelakon pun saya tidak akan menghalang. Saya tidak kisah, terpulanglah pada dia,” kata Zizi.

Agak lama tidak berlakon, Zizi meluahkan kerinduannya pada dunia lakonan. Dia rindukan saat bersama teman-teman dan krew makan bersama-sama. Setakat ini dia masih belum ada sebarang tawaran yang menantinya.

Andai ada, kata Zizi biarlah watak yang diberikan sesuai dengan imejnya yang kini bertudung.









No comments: