Bila Polis Jadi Bidan

KUALA LUMPUR: Suasana cemas seketika apabila seorang wanita terpaksa berbaring dan melahirkan bayinya di depan pintu rumah dengan hanya dibantu suami serta dua anggota polis - semuanya akibat ambulans dipanggil tidak kunjung tiba walaupun selepas hampir dua jam menunggu!

Dengan bantuan tiga ‘bidan terjun’ iaitu suaminya, Muhammad Shahril Daud, 30, dan dua anggota polis termasuk seorang anggota lelaki, ibu muda itu, Rossdiana Faddly, 28, selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.31 kilogram walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Insiden cemas itu didakwa berpunca daripada sikap petugas dua hospital swasta terkenal yang enggan melayan panggilan kecemasan daripada Shahril yang meminta dihantar sebuah ambulans sebaik menyedari Rossdiana sakit hendak bersalin, kira-kira jam 4.30 pagi.

Difahamkan, Shahril menghubungi sebuah hospital swasta di Ampang berikutan isterinya sering mendapatkan rawatan di situ.

Malangnya, kakitangan hospital itu memberi alasan rumah Shahril di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, terlalu jauh lalu meminta dia menghubungi hospital lain berhampiran.


Berikutan itu, Shahril berusaha menghubungi sebuah lagi hospital swasta di Jalan Pahang, namun turut ditolak dengan alasan ambulans milik hospital berkenaan tidak beroperasi ketika itu.

Petugas hospital berkenaan kemudian menyuruh Shahril menghubungi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sumber polis berkata, dalam kejadian hujung minggu lalu, suami mangsa segera menghubungi HKL sebelum pihak hospital berjanji menghantar ambulans secepat mungkin.

“Namun, sehingga jam 6.30 pagi, ambulans yang ditunggu tidak muncul, menyebabkan Shahril bertambah panik apabila mendapati keadaan isterinya semakin genting.

“Pada masa sama, suami wanita itu segera menghubungi Balai Polis Wangsa Maju untuk mendapatkan bantuan terakhir. Seorang anggota polis yang baru selesai mengadakan sekatan jalan raya diarah bergegas ke rumah itu bersama seorang anggota polis wanita,” katanya.



Difahamkan, Konstabel Mohd Zahri Ramzan yang juga bekas penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) segera menghubungi ambulans JPA3 sebelum bergegas ke rumah mangsa bersama rakannya, Konstabel Dzulaiha Mohd Nahapiah.

“Sebaik tiba di rumah mangsa dengan menaiki kereta peronda polis, mereka terkejut apabila mendapati wanita berusia sekitar 30-an itu hampir melahirkan anak di depan pintu rumah.

“Difahamkan, wanita itu dan suaminya yang menunggu ketibaan ambulans di pintu rumahnya tidak sempat berbuat apa-apa apabila bayi mereka mula keluar dari rahim,” katanya.

Sejurus kemudian, dua jiran wanita dipanggil untuk membantu memegang bayi perempuan yang baru dilahirkan itu.

“Situasi itu menyebabkan si suami panik dan cemas, apatah lagi apabila melihat darah berlumuran dan membasahi lantai rumah.



“Ketika itu, tali pusat bayi masih bersambung pada uri yang masih belum keluar dari rahim ibunya. Melihat keadaan itu, anggota polis lelaki terbabit yang berpengalaman melakukan tugas menyelamat segera meminta si suami menyediakan air panas, kain bersih, span dan sebagainya,” katanya.

Barang-barang itu diperlukan bagi memastikan nyawa bayi berkenaan dan ibunya dapat diselamatkan sementara menanti ketibaan ambulans.

“Selepas bayi itu mula menangis menunjukkan dia bernafas dengan sempurna dan tali pusatnya diklip, tiga penyelamat JPA3 tiba dan segera memberi bantuan kecemasan. Wanita itu kemudian dibawa dengan ambulans JPA3 ke hospital swasta di Ampang untuk rawatan sekitar jam 6.45 pagi,” katanya.

Sementara itu, Shahril ke Balai Polis Wangsa Maju malam semalam untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada ketua balai itu, Ketua Inspektor Hanyan Ramlan dan anggota bawahannya kerana membantu isterinya.

Ketika ditemui, dia berkata tidak dapat melupakan saat cemas sewaktu melihat isterinya menahan kesakitan ketika melahirkan bayi pada pagi kejadian.

“Saya tergamam apabila melihat ubun-ubun bayi hampir terkeluar dari rahim isteri menyebabkan saya tiada pilihan selain berusaha mengeluarkannya secepat mungkin.



“Bayi perempuan kami akhirnya selamat dilahirkan dengan bantuan anggota polis dari balai ini (Wangsa Maju) yang datang membantu. Saya bersyukur kerana isteri dan anak saya kini sihat dan sudah dibenarkan keluar hospital,” katanya.

Menurutnya, bayinya diberi nama Nur Aleeya Jasmine.



No comments: