Amah Cabut Lari, Bayi Mati Terbiar

KUALA LUMPUR: Seorang ibu hampir pengsan apabila mendapati bayinya mati, manakala pembantu rumah yang menjaga anak bongsunya itu pula lari dari rumahnya di Pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 5.30 petang, Masnita Mokhtar, 29, seorang pekerja swasta, pulang kerja lebih awal dari biasa sebelum mendapati anaknya, Mohd Nabel Aqil yang berusia satu tahun dua bulan, dalam keadaan kaku dalam buaian.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Saya tidak sangka anak saya yang ditinggalkan di bawah jagaan pembantu rumah tiba-tiba kaku dan seluruh badannya menjadi biru.

“Saya cuba menggerakkannya tapi dia tidak bangun sebelum mendapati dia betul-betul dah mati, kemudian saya dapati pembantu rumah saya dah lari dan beg pakaiannya semua dibawa lari,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, malam tadi.

Masnita mendakwa, dia baru saja dua minggu mengambil pembantu rumah warga Indonesia berusia 27 tahun itu bekerja dengannya.



“Sejak saya ambil dia (pembantu rumah) bekerja, kami tidak ada sebarang masalah atau perselisihan faham dan sejak dia mula bekerja, empat anak saya dijaga dengan baik kerana saya dan suami bekerja.

“Kejadian ini menimbulkan tanda tanya pada kami sekeluarga memandangkan anak sulung saya berusia lapan tahun mendakwa dia sudah keluar dari rumah kami sejak jam 11 pagi (semalam),” katanya.

Masnita berkata, pembantu rumahnya turut meminta wang dua juta Rupiah (RM780) daripadanya Sabtu lalu, kerana mahu mengirimkannya kepada bapanya di Surabaya, Indonesia, yang terbabit dengan kemalangan jalan raya.

“Dia (pembantu rumah) kata dia perlukan wang lalu saya memasukkan satu juta Rupiah dalam akaunnya siang tadi (semalam).

“Dia kemudian menelefon saya mengatakan duit yang dimasukkan selamat diterima ibunya di Surabaya pagi tadi (semalam) bagaimanapun tidak memberitahu saya yang anak saya mati dan dia pada ketika itu sebenarnya sudah lari,” katanya.



Bagaimanapun, Masnita berkata, barangan berharga di rumahnya tidak dilarikan amah terbabit walaupun keadaan rumahnya bersepah.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sulaiman Junaidi yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan.

“Kami tiba di tempat kejadian sejurus menerima laporan dan setakat ini kes masih dalam siasatan.

“Setakat ini kami belum mengenal pasti unsur jenayah seperti bunuh dalam kejadian terbabit,” katanya.








No comments: