Aksi Ranjang Fasha Sandha

SEBAIK selesai prebiu filem Badai Pasti Berlalu arahan pengarah Indonesia, Teddy Soeriaatmadya, Fasha Sandha kelihatan begitu bersedia untuk ditemubual media.

Jauh di sudut hatinya, dia sudah menduga pertanyaan yang akan diajukan kepadanya. Dan Fasha nyata sudah bersedia dengan jawapannya sendiri. Dibidas namun senyuman manis masih terukir.

“Saya ada alasan tersendiri mengapa menerima tawaran itu walaupun wataknya kecil,” kata Fasha tenang biarpun ditalu dengan persoalan yang bertimpa.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
“Saya ada alasan tersendiri mengapa menerima tawaran itu walaupun wataknya kecil,” - Fasha Sandha


Melontar jauh persepsi negatif dia terlalu ghairah mengejar tawaran hingga sanggup beraksi untuk babak kecil, itu pun di atas ranjang, Fasha berkata, watak Puteri sebenarnya penting kerana dia menjadi punca kepada perpisahan Siska (lakonan Raihannun) dan tunangannya.

Jujurnya, kata gadis berusia 23 tahun itu, dia tidak kesal menerima tawaran itu kerana ia memberi peluang untuk dirinya membina tapak dan melebarkan legasi seninya di negara seberang.



“Tidak mudah untuk penerbit di sana memanggil orang luar beraksi dalam filem mereka. Tetapi, saya sudah memperoleh peluang itu. Watak saya mungkin kecil tetapi saya kena realistik.

“Saya memang dikenali di sini tetapi siapa mengenali Fasha Sandha di Indonesia? Disebabkan itu, saya tidak kisah walaupun watak yang diberikan kecil kerana saya percaya ada sesuatu yang besar akan menanti jika berjaya memecah masuk pasaran di sana,” katanya positif.

Sudah maklum watak Puteri sekadar imbasan kepahitan yang terpaksa dilalui Siska serta tiada dialog, Fasha tidak pernah berasa bakat besarnya diperlekehkan oleh orang luar.

Bagi aktres yang digelar ‘primadona’ baru dunia perfileman Melayu selepas Erra Fazira itu, pengalaman yang diterima sepanjang penggambaran itu sewajarnya disyukuri.

Lagipun katanya, senario itu tidak hanya berlaku di sini. Bintang besar seperti Marlon Brando juga pernah beraksi untuk watak kecil, justeru Fasha melihat tiada sebab pembabitannya dan Que Haidar dalam filem itu dipersoalkan.



“Saya perlu melihat semua itu untuk jangka masa panjang. Selesai membintangi filem itu, saya dihampiri Garnier yang ingin melantik saya sebagai jurucakap produk mereka.

“Sebab utama saya dipilih kerana nama saya sudah melebar di Indonesia. Justeru, mengapa perlu saya kesal kerana Tuhan memberikan saya rezeki yang lebih besar selepas itu,” katanya.

Anak kedua empat beradik itu juga difahamkan menerima bayaran yang cukup lumayan, mencecah lima angka, setimpal dengan keringat yang dicurahkan walaupun penggambaran hanya memakan masa sehari.

“Kerana itu saya tidak kisah apa orang nak cakap. Saya positif dan akan tetap memberi komitmen untuk mempromosikan filem ini. Biarlah saya diasak kerana yang penting saya menimba pengalaman yang cukup menarik,” katanya.

Selesai berlakon Badai Pasti Berlalu, Fasha juga pernah dilamar tawaran membintangi sebuah sinetron untuk stesen televisyen di sana tetapi terpaksa ditolak kerana penggambarannya agak panjang.



Biarpun percubaannya dihimpit kontroversi, malah isu remeh itu diperbesarkan hingga menjadi isu sedikit masa lalu, Fasha tidak pernah melatah.

“Mungkin pihak itu prihatin kerana tidak gembira dengan karakter yang diberikan, tetapi saya tidak rasa apa-apa. Untuk apa saya marah, melenting atau melatah kerana saya tahu apa yang saya buat.

“Lagipun ketika penggambaran saya tidak keseorangan. Beberapa wartawan tempatan juga ada di lokasi dan babak itu tidaklah seteruk apa yang diperkatakan.

“Saya terima kerana wataknya yang tidak melampaui batas. Saya tidak akan mengambil tawaran yang boleh menjatuhkan nama baik saya dan keluarga,” katanya.

Fasha juga berharap tiada pihak mendebatkan watak hitam yang dibawanya dalam filem itu. Baginya, itu semua hanya lakonan dan sewajarnya dia mencuba pelbagai karektor untuk mempelbagaikan peranan.








No comments: