Pakar Syabu

KLANG: Walaupun menjalankan `perniagaan’ bernilai puluhan juta ringgit, seorang wanita anggota sindiket pemprosesan dadah yang ditahan di sebuah rumah dijadikan makmal memproses bahan itu di Bandar Botanic, di sini, kedekut dan enggan membayar yuran kawalan keselamatan RM40 sebulan sejak kira-kira enam bulan lalu.

Wanita berperwatakan ‘tomboi’ terbabit bukan saja enggan membayar wang itu, malah dengan sombong mendakwa kediamannya tidak memerlukan kawalan keselamatan kerana ia sangat selamat.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Sumber keselamatan di kawasan perumahan itu memberitahu, wanita terbabit hidup mewah dan sering keluar masuk dengan memandu BMW.

“Wanita terbabit berambut pendek selain berbadan agak gempal. Dia kelihatan seperti lelaki tetapi apabila diamati, nyata dia wanita.

“Dia berpindah ke sini antara lima hingga enam bulan lalu. Saya sering melihatnya keluar masuk sama ada berseorangan atau ditemani seorang hingga dua lelaki,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di taman berkenaan, semalam.



Kegiatan tomboy sombong terbabit yang sentiasa menunjukkan kemewahan hidupnya, bagaimanapun terdedah selepas puluhan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menyerbu kediamannya, kelmarin, sebelum merampas 1.139 kilogram dadah jenis syabu bernilai lebih RM200,000.

Dalam serbuan itu, dua lelaki dipercayai anggota sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah terbabit, turut ditahan untuk membantu siasatan.

Menurut sumber keselamatan itu, dia turut berasakan sesuatu yang tidak kena selepas wanita dan kedua-dua lelaki terbabit berpindah ke taman perumahan itu.

“Tingkap di bahagian atas dan bawah rumah teres dua tingkat itu terus ditampal pelekat hitam tidak seperti penghuni lain.

“Bagaimanapun, kami tidak menghiraukannya kerana beranggapan mereka mahukan ‘privacy’ kerana rumah di sini berharga ratusan ribu ringgit seunit,” katanya.



Sumber itu bagaimanapun terkejut apabila puluhan polis menyerbu kediaman terbabit dan menahan ketiga-tiga penghuninya sebelum penduduk di situ dimaklumkan, penghuninya terbabit dengan kegiatan haram.

Katanya, kediaman terbabit disewa pada kadar RM400 hingga RM500 sebulan tetapi dia tidak mengenali pemilik sebenar rumah itu.

“Mereka tidak bergaul dengan jiran tetapi sering menggunakan khidmat tukang urut yang dipanggil untuk mengurut tubuh.

“Saya lega mereka ditahan kerana tidak menyangka ada penjenayah besar tinggal di sini dan jika dibiarkan, pasti mereka mampu membawa banyak keburukan pada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di kediaman terbabit petang semalam mendapati, ia dikawal ketat 24 jam dengan kehadiran beberapa anggota polis berpakaian biasa.



Mereka dipercayai akan berada di sana untuk tempoh tidak dinyatakan bagi mengawal beberapa bahan bukti yang masih tersimpan.

Dipercayai, bahan terbabit akan diambil dalam waktu terdekat untuk dijadikan bukti perbicaraan.

Kediaman juga sudah dipagar dengan pita polis dipasang di sekelilingnya.

Pemerhatian mendapati, anggota polis yang mengawal kediaman itu sentiasa bersedia dan mengawasi setiap kenderaan yang kelihatan mencurigakan lalu di depan rumah terbabit.

Bagaimanapun, aktiviti penduduk di situ berjalan seperti biasa dan tiada yang ‘menyibuk’ atau berkumpul di depan kediaman terbabit.





Sumber : Harian Metro Edisi 10-04-2007




Kata Izalsyah; "Siapa kata Malaysia kekurangan pakar?"



No comments: