Najib Tidak Takut Dikait Isu Altantuya

IJOK: Datuk Seri Najib Razak (gambar) berkata beliau tidak bimbang dengan tindakan pembangkang yang mengaitkannya dengan kes kematian rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Kalau nak mengaitkan saya dengan Altantuya, tuduhlah...saya tidak takut. Polis, AG (Peguam Negara) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) tahu perkara sebenar,” katanya ketika berucap merasmikan jentera Pilihan raya Barisan Nasional (BN) di sini, malam tadi.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
"Kalau nak mengaitkan saya dengan Altantuya, tuduhlah...saya tidak takut." - Datuk Seri Najib Razak


Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak suka menyerang (balas) peribadi seseorang kerana tidak mahu mengaibkan anak dan isteri orang yang melemparkan pelbagai fitnah terhadapnya.

“Jangan tipu rakyat. Saya tidak sentuh soal peribadi dia. Kalau nak sentuh, saya boleh... tapi saya tidak mahu aibkan dia lagi kerana kita tahu dia ada anak bini.

”Tapi jangan tuduh sewenang-wenangnya, (kerana) kita lawan ikut cara politik,” katanya.



Dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Cif Inspektor Azilah Hadri, 30 dan Korporal Sirul Azhar Umar, 35, dituduh membunuh Altantuya, manakala penganalisis politik terkenal tempatan, Abdul Razak Baginda, 46, dituduh bersubahat dalam pembunuhan itu.

Ketiga-tiga mereka dituduh berpakat melakukan pembunuhan itu di Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang di sini, antara jam 9.45 pagi dan 11.05 pagi, 18 Oktober lalu.

Abdul Razak kini ditahan di penjara sementara menunggu perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, 4 Jun ini.

Mengikut laporan, Altantuya tiba di negara ini bersama dua saudaranya pada 6 Oktober tahun lalu untuk menemui Abdul Razak yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengannya.

Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, ketika krisis ekonomi (1997), bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu juga Menteri Kewangan, terlalu mengikut telunjuk Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) sehingga hampir menyebabkan negara mengalami krisis kewangan yang teruk.



Terdahulu, Najib berkata, tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan calon Melayu pada pilihan raya kecil DUN Ijok membuktikan parti itu bukan memperjuangkan kepentingan semua kaum, sebaliknya mementingkan satu kaum saja.

“Jadi memanglah berpatutan kita letak calon MIC di sini. Ini menunjukkan kita meletakkan kepentingan semua kaum,” katanya.


No comments: