Mengaku Dirinya Tuhan!

KUALA LUMPUR: Seorang pakar motivasi terkenal dan isterinya, dikenal pasti sebagai ketua kumpulan sesat mirip ajaran Ayah Pin yang mencerca agama lain dan mendakwa dirinya Tuhan.

Lelaki keturunan India berusia dalam lingkungan 40-an dan berasal dari Johor itu, dikatakan mahu mewujudkan ajaran baru kerana mendakwa agama lain termasuk Hindu, Kristian dan Islam, tidak sempurna.

Dalam beberapa ceramahnya, pakar motivasi itu antara lain mempertikaikan amalan berkhatan dalam Islam, jubah paderi Kristian serta pakaian sami Hindu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Berdasarkan cakera padat (CD) rakaman ceramahnya yang diperoleh Berita Harian semalam, pengikutnya daripada pelbagai keturunan, termasuk seorang wanita dipercayai kerabat diraja.

Malah, menurut sumber, ahli perniagaan dan profesional Melayu, termasuk seorang bergelar Datuk juga sering mengikuti ceramah dan kursus motivasi anjuran kumpulan itu.



Ceramah dan kursus motivasi itu dimulakan dengan alunan muzik yang kuat dengan pengikut menari sehingga tidak sedar diri. Upacara penerimaan ahli turut diadakan bagi mendapat restu lelaki terbabit yang digelar sebagai ‘master’.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika mendedahkan kegiatan kumpulan itu Selasa lalu, berkata polis menerima 131 laporan berhubung kegiatan kumpulan terbabit, termasuk tindakan mereka mengugut penganut agama lain.

Kegiatan kumpulan itu sedang disiasat Polis Selangor mengikut Seksyen 298 A dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Seksyen 298 A antara lain menyatakan perbuatan atas alasan agama yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, benci membenci yang boleh memudaratkan keharmonian atau perpaduan. Seksyen 506 pula mengenai hukuman bagi kesalahan menakutkan secara jenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Ismail Omar ketika dihubungi semalam mengesahkan dalang yang mengetuai kumpulan itu berasal dari Johor.



Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana polis masih menjalankan siasatan berhubung kegiatan kumpulan itu.

Sumber memberitahu Berita Harian, lelaki itu serta isterinya dipercayai sudah melarikan diri ke luar negara, tetapi pusat motivasi milik pasangan itu di Kota Damansara di sini masih beroperasi dan diuruskan pengikut kumpulan berkenaan.

Beliau berkata, lelaki itu turut menghasilkan beberapa buku motivasi yang masih dijual di pasaran tempatan dan Singapura.

Dalam satu bukunya, lelaki itu menggelar dirinya Tuhan dan mendakwa lebih berkuasa daripada alam semesta.

Pakar motivasi terbabit juga pernah menjalankan kegiatan sama di India, tetapi sudah diharamkan pihak berkuasa negara itu.




No comments: