Krisis Minyak Masak

KUALA LUMPUR: Selepas krisis bekalan gula pasir ditangani kerajaan tahun lalu, pengguna di seluruh negara terutama di Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan dan utara kini berdepan masalah kesukaran mendapatkan minyak masak terutama dalam bentuk paket.

Pengguna dan pekedai runcit di kawasan terbabit merungut gagal mendapat bekalan minyak masak paket daripada pemborong, sejak dua minggu lalu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Peniaga dan pengguna mendakwa kekurangan bekalan itu berpunca daripada sikap pengeluar dan pemborong cuba mendesak kerajaan menaikkan harga.

Masalah itu dilaporkan semakin ketara apabila bekalan minyak masak dalam botol turut berkurangan terutama di pasar raya besar di sekitar ibu negara, sejak beberapa hari lalu.

Malah, bekalan minyak masak di utara Semenanjung terutama di Pulau Pinang, kini dilaporkan serius manakala masalah sama semakin dirasai peniaga dan pengguna di Melaka dan Negeri Sembilan.



Tinjauan Harian Metro di beberapa kedai runcit di sekitar Jalan Klang Lama, Puchong, Balakong dan Cheras di sini, semalam mendapati peruncit menghadapi masalah mendapatkan bekalan minyak masak paket.

Ada antara mereka mendakwa terpaksa ke pasar raya besar untuk mendapatkan stok.

Selain kedai runcit, pasar raya besar turut tiada stok sejak seminggu lalu tanpa diketahui punca utamanya.

Difahamkan, keadaan itu berikutan sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang didakwa sengaja menyorokkan minyak masak paket dan botol bagi mendesak kerajaan menaikkan harga.

Keadaan itu tidak ubah seperti krisis kekurangan bekalan gula pasir tahun lalu apabila pemborong menyorok barang kawalan itu di gudang masing-masing.



Lebih memeranjatkan apabila pengguna kelihatan cemas dengan khabar angin mengenai kenaikan harga minyak masak sehingga sanggup memenuhi pasar raya untuk mendapatkannya.

Ini terbukti melalui pemerhatian di sebuah pasar raya besar di Puchong, apabila minyak masak yang menggunakan jenama pasar raya itu dalam botol tiga dan lima kilogram laku bagai pisang goreng panas.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S M Mohamed Idris, berkata pemeriksaan pihaknya mendapati ramai peruncit di Pulau Pinang sukar memperoleh bekalan minyak masak dalam paket satu kilogram.

Menurutnya, pihaknya hairan bagaimana masalah itu berlaku sedangkan minyak masak barang kawalan dan Malaysia negara pengeskport bahan berkenaan.

"CAP mengesyaki ini disebabkan pengeluar lebih berminat mengeskport kerana lebih menguntungkan dari segi kadar tukaran wang," katanya dalam satu kenyataan di Georgetown, Pulau Pinang, semalam.



Sehubungan itu, Mohamed Idris menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menangani masalah itu dengan segera bagi memastikan bekalan mencukupi dan tiada peningkatan harga.

Mengulas perkembangan itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Domestik, Serantau Asean dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Lau Chiek Tuan, berkata ketiadaan bekalan di negeri itu bersifat sementara dan KPDNHEP negeri berusaha menangani masalah berkenaan.

Menurutnya, masalah itu timbul berikutan keengganan syarikat pembungkusan memasarkan minyak masak paket kerana mendakwa kerugian agak besar.

Katanya, pihaknya memahami masalah itu tetapi berharap pengguna tidak menjadi mangsa sehingga sukar memperoleh bekalan.

"Hal ini dibawa kepada KPDNHEP negeri yang akan membuat pengumuman dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi di Pulau Pinang, semalam.



Sementara itu, pekedai runcit di Jalan Klang Lama, di sini, Piroz Ahmad, 56, berkata dia sukar mendapatkan bekalan minyak masak paket sejak dua minggu lalu.

“Mahu atau tidak, kami terpaksa mendapatkan bekalan daripada pemborong berdekatan atau pasar raya besar sungguh pun pembeliannya terhad.

“Kami tidak mahu kehilangan pelanggan. Walaupun untung hanya 10 sen tak mengapa,” katanya.

Peniaga di Puchong, dekat sini, Norizan Mohd Noor, 38, berkata dia tidak mampu berbuat apa-apa apabila pelanggan merungut sukar mendapatkan minyak masak paket.

“Saya percaya ini komplot pemborong atau pengeluar untuk mendapatkan keuntungan cepat. Perkara ini menimbulkan masalah kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya.



Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal menafikan laporan media berhubung masalah kekurangan bekalan minyak masak di utara Semenanjung.



No comments: