Budak Atas Peti Ais

GEORGETOWN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun 10 bulan yang dikatakan hiperaktif diikat kedua-dua kakinya dengan riben sebelum ditinggalkan di atas peti sejuk seorang diri di rumahnya di sini, kelmarin.

Kejadian itu disedari seorang jiran apabila terdengar tangisan kanak-kanak itu di rumahnya di Taman Sri Wonder, Lebuh Perak, Jelutong di sini, kira-kira jam 8.20 malam.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Budak itu tinggal bersama ibu tiri yang berkahwin baru serta anak perempuannya berusia 14 tahun selepas bapa kandungnya berpisah dengan wanita terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abd Hamid, berkata kanak-kanak itu yang sering memanjat pintu jeriji besi di rumahnya ditinggalkan ibu dan kakak tirinya bersendirian.

Dia berkata, mungkin kerana bimbangkan keselamatan kanak-kanak itu yang agak nakal, kakak tirinya mengikat kaki menggunakan riben plastik dan meletakkannya di atas peti sejuk.



“Berdasarkan siasatan awal, tujuan kanak-kanak itu diletakkan di atas peti sejuk untuk mengelak dia turun ke bawah kerana kakak dan ibu tirinya ke klinik berhampiran.

“Ketika itulah dia menangis dipercayai lapar dan dahaga sebelum tangisannya didengar jiran yang kemudian membuat laporan polis kerana menyangka dia mungkin didera,” katanya.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kanak-kanak itu menangis sambil duduk di atas peti sejuk berdekatan kotak suis dengan kakinya diikat.

Kanak-kanak itu berjaya diselamatkan selepas polis memecah masuk ke dalam rumah berkenaan.

Dia dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) untuk pemeriksaan lanjut sebelum ibu tiri mangsa berusia 44 tahun dipanggil untuk membantu siasatan.



“Polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu dan pemeriksaan awal tidak menunjukkan wujudnya sebarang unsur penderaan terhadap mangsa.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31 (i) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Azam berkata, polis belum melakukan sebarang tangkapan berhubung kejadian itu.

Sementara itu, sumber berkata, ibu tiri mangsa dan suaminya yang tinggal di situ sejak tiga bulan lalu tidak bertegur sapa dengan jiran berdekatan.

Menurutnya, beberapa jiran sering mendakwa terdengar bunyi bising seperti tangisan kanak-kanak dan suara orang bergaduh, namun mereka enggan mencampuri urusan pasangan terbabit.

Bagaimanapun, tangisan kanak-kanak berkenaan kelmarin menyebabkan jiran mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku.



No comments: