101 Petua Murah Rezeki & Dijauhi Hutang

PERJALANAN hidup manusia di atas muka bumi ini tertakluk kepada hukum alam yang juga dipanggil sunnatullah. Yang muda akan tua. Yang sihat akan sakit. Yang hidup akan mati. Tetapi darjah kemerosotan tahap kesihatan seseorang bergantung bagaimana seseorang itu menangani kehidupan.

Misalnya orang yang tidak menjaga kesihatan tentulah akan sakit lebih awal daripada usianya. Ini bermakna orang yang malas berusaha, sudah tentu Allah akan tarik rezeki yang telah ditetapkan kepadanya.

Sebaliknya jika seseorang itu berusaha dengan lebih gigih, tentulah Allah tidak menzalimi hamba-Nya dan akan menganugerahkan kebaikan kepadanya. Sedangkan usia seseorang yang Allah tetapkan sejak azali lagi boleh diubah oleh Allah hanya dengan berdoa semata-mata.



Lebih-lebih lagi jika disertakan dengan menjaga kesihatan, berbuat baik dengan semua manusia, menjaga keselamatan diri dan langkah-langkah laim, maka sudah tentu ia akan hidup lebih lama dengan anugerah Allah s.w.t.

Soalnya kita sendiri tidak tahu setakat mana usia yang telah Allah tetapkan sejak azali itu. Kita juga tidak tahu setakat mana rezeki yang telah Allah tetapkan untuk kita sejak azali lagi. Kalau begitu, kita terus sahajalah bekerja keras untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam segenap bidang kehidupan ketika tubuh badan masih sihat dan usia masih muda.

Allah menyerahkan kekuasaan di atas muka bumi ini kepada bangsa-bangsa yang bertamadun lebih lama dan berusaha lebih kuat. Sedangkan orang-orang yang tidak beriman pun dianugerahkan Allah dengan kekayaan dan kemurahan rezeki yang melimpah ruah di atas sifat Allah yang al-Rahman iaitu maha pemurah.

Betapa kita umat Muhammad yang beriman dan beramal soleh, sudah mesti Allah akan menganugerahkan rezeki yang lebih berkat dan lebih baik kerana sifatnya yang al-Rahim iaitu maha penyayang.

Kemudian kita persoalkan pula soal ‘hutang’. Ada 3 senario di sini:

1. Orang yang perlu berhutang

2. Orang yang sudi memberi hutang, dan

3. Kesusahan membayar balik hutang.

Photobucket - Video and Image Hosting

Sebelum kita berhutang kita hendaklah memikirkan semasak-masaknya keperluan tersebut. Bagaimana kemampuan kita untuk membayar balik? Apa risikonya jika kita kecundang?

Tetapi jika terpaksa juga, maka kelembutan hati orang yang memberi hutang adalah suatu sifat yang sangat mulia. Melepaskan sahabat yang susah termasuk sifat mahmudah.

Jangan sekali-kali mengambil kesempatan di atas kesusahan sahabat kita itu untuk membuat untung dengan mengenakan bayaran balik yang lebih kerana ia melibatkan riba.



Dan akhirnya untuk membayar balik hutang, kita memerlukan strategi perancangan yang rapi untuk menggunakan kelegaan setelah dapat berhutang untuk merancang bagaimana untuk menjelaskannya. Sekali kecundang, jangan terus kecundang. Sekali berhutang cukuplah sebagai amaran.

Di sinilah perlunya sifat amanah, yakin, kerja keras, bertanggungjawab, menunaikan janji, telus dan berpada-pada dengan apa yang ada. Ia sekali gus menabur benih sifat mahmudah dalam diri seseorang.

Mendalami persoalan rezeki dan membayar hutang di dalam buku ini yang ditulis oleh perunding motivasi yang tidak perlu diperkenalkan lagi iaitu Siti Nor Bahyah Mahamood. Pengarang bersama ialah Zahazan Mohamed, pendidik dan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), penulis buku dan penceramah TV dan radio serta Mahfuzah Omar, editor di Telaga Biru Sdn Bhd.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati www.telagabiru.net.my atau hubungi 03-2692 5671.

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Judul: 101 Petua Murah Rezeki & Jauhi Hutang

Pengarang: Siti Nor Bahyah Mahamood, Zahazan Mohamed & Mahfuzah Omar

Managing Editor: Muhammad Zakaria

Penerbit: Telaga Biru Sdn. Bhd.

Harga: Semenanjung RM19.90 Sabah & Sarawak RM21.90

Tebal: 135 muka surat



No comments: