Dato' Siti Promosi Ubat Seks?

Iklan pil kuat seks guna foto Siti 


KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin akan mengambil tindakan undang-undang kepada peniaga ubat perangsang seks yang sanggup mengaibkan beliau dan suaminya menerusi sebuah iklan di laman Instagram yang mendakwa pasangan itu menggunakan produk berkenaan. 

 photo Dato Siti Nurhaliza  iklan ubat perangsang seks_zpstxjvnlpm.jpg

Promosi tersebut yang muncul dalam bentuk iklan di laman Instagram pengguna kemudiannya dipautkan dengan satu artikel yang memfitnah dan memalukan pasangan tersebut apabila dikaitkan dengan masalah mati pucuk. 



Siti Nurhaliza, 38, yang turut terkejut dengan penyebaran iklan itu menegaskan tindakan peniaga yang menggunakan nama dan gambar mereka berdua tanpa kebenaran demi melariskan produk adalah satu kesalahan besar. 



"Saya beri amaran keras kepada peniaga terbabit supaya berhenti menggunakan nama serta gambar saya dan suami (Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa) kerana kami berdua langsung tidak pernah terbabit dengan produk tersebut. 



"Jika pihak peniaga tersebut tidak memadamkan gambar serta iklan yang menggunakan nama kami, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang," kata Siti Nurhaliza ketika dihubungi Kosmo! semalam. 



Kosmo! yang mendapat aduan peminat mengenai iklan tersebut semalam mendapati artikel yang kononnya diterbitkan oleh sebuah majalah kesihatan lelaki dipenuhi dengan dakwaan mengaibkan menyentuh hubungan intim pasangan itu. 




Pada penghujung artikel itu juga turut tertera promosi produk berkenaan yang jika diklik akan dipautkan pula kepada laman web sebenar produk itu. 



Harga produk tersebut yang turut dijual di luar negara ialah antara RM150 hingga RM200 sebotol yang mengandungi 90 biji pil. 



Dalam pada itu, Kosmo! difahamkan majalah kesihatan lelaki berkenaan telah beberapa kali menyiarkan penafian bahawa mereka pernah menerbit dan mengesyorkan pelbagai ubat seks di laman web mereka. 



Sementara itu, penyanyi yang popular dengan lagu Dirgahyu itu, menegaskan peniaga dan penjual produk tidak seharusnya menggunakan gambar orang lain sewenang-wenangnya semata-mata mahu melariskan produk serta menipu pengguna. 



Pada tahun 2014, Siti Nurhaliza turut pernah dieksploitasi dalam iklan haram berkaitan kecantikan.


 photo iklan haram guna gambar artis_zpsep0kjokc.jpg


Sumber : Kosmo! Edisi 09-01-2017 bersamaan 10 Rabiulakhir 1438H   
 

No comments: