Erma Fatima; "Saya Nak Menang Besar"

Tema kesengsaraan, gelap, penuh noda, kotor dan masalah sosial di Lorong Haji Taib, Chow Kit, Kuala Lumpur yang ditonjolkan dalam drama Tersasar Di Jalanmu arahan Erma Fatima, 41, meraih enam anugerah pada malam kemuncak Anugerah Skrin 2009 (ASK2009), Jumaat lalu.


Bermula dengan kategori Lakon TV Terbaik, drama terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd milik Erma itu disiarkan di RTM tahun lalu bersempena Kempen Sosial Remaja. Drama itu juga menang kategori baru, Videografi Terbaik.


Diikuti, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama yang dimenangi Norish Ismail; Pelakon Wanita Terbaik Drama, Rosnah Mat Aris; Pengarah Terbaik Drama dan Drama Terbaik. Secara tidak langsung, ini kemenangan paling besar pernah diperoleh Erma.

Photobucket

Menurut Erma, kedatangannya ke ASK2009 bertemakan Malam Arab - Hikayat Seribu Satu Malam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu sememangnya untuk menang. Katanya ini kali pertama dia berharap seperti itu.


"Jika sebelum ini, saya hadir ke majlis anugerah sekadar untuk memeriahkan suasana, tetapi malam ini (kelmarin), saya datang dengan harapan mahu menang 'besar'. Ini kerana Tersasar Di Jalanmu yang judul asalnya, Lorong Neraka itu adalah kisah realiti masyarakat.


"Ia kisah yang membelenggu Lorong Haji Taib yang sedia maklum diketahui penuh dengan masalah sosial remaja seperti dadah, pelacuran dan kongsi gelap. Namun, saya sangat sedih apabila mengenang nasib kanak-kanak yang membesar di kawasan itu.


"Pada usia mentah yang tidak memahami apa-apa, mereka membesar dengan melihat apa yang tidak sepatutnya. Jadi, saya terfikir bagaimana hala tuju mereka ini nanti. Apakah masa depan mereka terjamin atau menjadi sebahagian daripadanya.


"Saya mendapat ilham menulis skrip untuk kisah ini ketika hendak mencari lokasi drama. Ketika itu jam 2 pagi dan saya bersua dengan kanak-kanak yang bermain. Bayangkan, pada waktu begitu, masih ada kanak-kanak berkeliaran," katanya.


Menurut pengarah teater Natrah ini, dia terfikir apa yang akan dihadapi kanak-kanak itu apabila dewasa. Lalu dia mengangkat karakter kanak-kanak itu dengan cita-cita menjadi 'menteri' untuk membersihkan Lorong Haji Taib seperti KLCC.


"Jujurnya, saya rasa usaha ini sangat berbaloi apabila kategori Videografi Terbaik dimenangi. Ini kerana bagi mendapatkan kesan terbaik, saya sanggup mengeluarkan bajet lebih untuk menyewa kren. Apapun, bagi saya paling utama ialah warga Lorong Haji Taib.


"Ini hadiah kemenangan buat mereka atas kerjasama diberikan untuk membantu saya dan produksi menyiapkan drama berkenaan. Saya sangat bersyukur kerana sepanjang melakukan sesi penggambaran di kawasan itu, penduduk di sana memberikan sepenuh sokongan," katanya.


Menyentuh soal cabaran, Erma tidak menolak dia harus sedia berhadapan masalah besar. Namun, dengan hubungan baik dijalinkan bersama warga lama di Lorong Haji Taib sejak era 70-an dulu, secara tidak langsung membantunya berhadapan cabaran.


Kata Erma, selepas perbincangan dibuat, dia sekali lagi bersyukur kerana proses penggambaran di kawasan itu berjalan lancar dengan kerjasama baik diberi. Katanya Lorong Haji Taib itu sangat dikenali dengan aktiviti dadah dan pembabitan warga asing.


Selain itu, Erma turut mengakui pelakon yang membintangi Tersasar Di Jalanmu tiada nilai komersial. Boleh dikatakan kebanyakan mereka memang seperti warga Lorong Haji Taib itu. Namun, dengan kemenangan ini membuktikan pelakon terbabit bagus walaupun tiada nama.


"Drama Tersasar Di Jalanmu ini pernah dikata memualkan termasuk pernah ditolak stesen televisyen disebabkan pelakonnya yang tiada nilai komersial. Namun, saya ucap terima kasih pada RTM kerana sudi menyiarkannya sebanyak tiga kali.


"Apapun, memang menjadi kesukaan saya mengarahkan drama yang ditulis skripnya sendiri berbanding karya orang lain. Sehubungan itu, perancangan terbaru saya untuk menghasilkan drama Natrah (26 episod) tahun depan," katanya.




No comments: