Olympus µ 790SW : Kamera Kalis Beku, Tahan Gegaran

AKTIVITI lasak bagai tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan majoriti anak muda ketika ini, terutama dengan percambahan pelbagai bentuk sukan ekstrem yang bermula daripada aktiviti sedemikian.

Bagi anda yang gemarkan aktiviti lasak dan pada masa sama turut berminat dengan bidang fotografi, pasti sebuah kamera yang tahan lasak diperlukan memandangkan lokasi aktiviti yang tidak menentu.

Menyedari terdapat pasaran bagi segmen berkenaan, Olympus memperkenalkan model Olympus µ 790SW yang menggabungkan elemen tahan lasak tetapi tidak mengenepikan sentuhan elegan sesuai dengan selera pengguna muda.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Rekabentuk elegan sesuai dengan selera pengguna muda.



Sebelum ini, Olympus terkenal kerana mengeluarkan model kamera yang sesuai digunakan bagi kerja-kerja profesional, tetapi dengan pengenalan model Olympus µ 790SW, mereka mula memasuki segmen pengguna amatur.

Sebaik berpeluang menggunakan model ini, tidak dapat dinafikan model ini dikeluarkan Olympus kerana mahu memikat segmen pengguna muda disebabkan reka bentuknya yang kasual dan mudah dibawa.



Model ini menggunakan lensa rakaman imej CCD dengan ketepatan 7.1 megapiksel, dengan rangka badannya ditampilkan bagi memenuhi penggunaan rakaman lasak atau formal.

Bagi memenuhi keperluan rakaman fotografi secara lasak, model Olympus µ 790SW menggabungkan gaya elegan dengan binaan luar yang kalis debu, kalis gegaran, kalis beku (sehingga -10°C) dan kalis air (sehingga kedalaman 10 kaki).

Justeru, anda boleh membayangkan tahap ketahanan model ini apabila dibawa ketika melakukan aktiviti pendakian gunung atau penyelaman laut dalam kerana ia memang ditampilkan khusus dengan reka bentuk yang tahan lasak.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Olympus µ 790SW melakukan rakaman sehingga kedalaman 40 meter di dalam laut.



Sebagai contoh, bagi anda yang meminati fotografi laut dalam, model ini mampu melakukan rakaman sehingga kedalaman 40 meter di dalam laut kerana ia dilengkapi pilihan Bekas Bawah Air PT-041 yang menyediakan perlindungan kalis air tambahan.

Tidak melupakan elemen kepuasan bagi mereka yang mementingkan kualiti rakaman imej, model ini menggunakan lensa zoom optikal 3x yang berkuasa tinggi dan pemprosesan imej Olympus TruePic III yang baru.



Selain itu, ia turut berkeupayaan untuk mengecam wajah manusia sebagai subjek utama rakaman melalui pelaksanaan Teknologi Pengesan Wajah yang dibangunkan bagi mendapatkan fokus optimum dan pendedahan di kawasan rakaman yang anda ingini.

Bagi anda yang memiliki daya kreativiti tinggi, Olympus µ 790SW menggunakan teknologi inovatif yang membolehkan penggunanya mendapatkan hasil rakaman menakjubkan melalui teknik pembayangan.

Melalui teknologi ini, anda berpeluang memberi sentuhan tambahan kepada rakaman imej terdahulu dengan melakukan
touch up, terutama dalam bentuk pencahayaan terhadap imej berkenaan bagi menghasilkan imej lebih realistik.

Bagi memudahkan pemiliknya melakukan rakaman pada sudut yang esktrem, model ini menggunakan LCD HyperCrystal sehingga 230,000 piksel yang menampilkan paparan unggul walaupun pada tahap kecerahan luar biasa.

Dalam pada itu, sekiranya anda mahu melakukan rakaman imej bergerak, model ini menggunakan teknologi rakaman dengan resolusi VGA 30fps bagi membolehkan detik-detik menarik ketika melakukan aktiviti mencabar dirakam.



Tambah menarik kerana sistem bunyi yang ditampilkan model ini adalah tidak menghampakan dan anda boleh menikmati gegaran bass yang sememangnya sinonim apabila melakukan aktiviti lasak.

Dihasilkan bagi tujuan rakaman lasak, model ini memberikan pilihan rakaman pada 23 mode situasi, sebagai contoh lokasi pantai, salji, bawah laut dan makro bagi memberikan impak terbaik kepada imej yang mahu dirakam.

Secara keseluruhan, model ini berada pada kelasnya yang tersendiri bagi segmen pengguna lasak di sebalik usaha Olympus untuk memecah monopoli jenama lain.

Mula berada di pasaran tempatan baru-baru ini, dengan harga tawaran kira-kira RM800, anda yang tidak mahu terlepas merakam detik-detik mencemaskan semasa melakukan aktiviti lasak perlu segera mendapatkannya.



Spesifikasi Olympus µ 790SW

Pengesan imej: 1/2.3 CCD sensor 7.1 megapiksel

Lensa: Zoom optikal 3x

LCD: HyperCrystal LCD 230,000 piksel

Memori: 14.7MB

Format fail: AVI, JPEG, WAV

Dimensi: 93.6 x 60.9 x 21.3 mm

Berat: 136 gram

Ciri tambahan: Kalis debu, beku, gegaran, air
















No comments: