I Now Pronounce You Chuck and Larry

SELAMA bertahun-tahun dua orang ahli bomba terhebat di Brooklyn, Larry Valentine (Kevin James) dan Chuck Levine (Adam Sandler) bersahabat baik walaupun masing-masing melalui kehidupan peribadi berbeza.

Di luar waktu kerja, Chuck seorang kaki perempuan serta tidak menunjukkan minat untuk menamatkan zaman bujangnya manakala Larry, seorang duda kematian isteri yang begitu prihatin terhadap kebajikan dua orang anaknya, Eric dan Tori.

Biarpun berbeza ideologi dan pendirian namun sepasang sahabat ini begitu komited terhadap nilai persahabatan serta berjanji akan berada di sisi masing-masing ketika diri ditimpa kesusahan.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
PASANGAN BAHAGIA : James dan Sandler terpaksa berpura-pura menjadi pasangan 2007 gay dalam I Now Pronounce You Chuck and Larry.



Dan Larry membuktikan kata-katanya itu bukan sekadar cakap kosong apabila dia sanggup menggadai nyawanya sendiri dengan menyelamatkan nyawa Chuck dari mati terbakar sewaktu menjalankan tugas.

Kerana terhutang budi, Chuck berjanji kepada Larry bahawa dia sanggup melakukan apa saja untuk membalas budi Larry tanpa menyedari apa yang dilafazkannya itu bakal teruji tidak lama lagi.



Lalu apabila Larry berdepan dengan kerenah birokrasi yang membuatkan dia tidak dapat meninggalkan polisi insurans kepada anak-anaknya kecuali dia berkahwin lain atau mencari teman domestik atau dengan lain perkataan, perkahwinan sejenis, dia meminta Chuck menunaikan janjinya sebelum ini dengan menandatangani dokumen menyatakan mereka adalah pasangan gay.

Bermula dari saat itu, pelbagai peristiwa melucukan berlaku apabila jabatan pengesan pemalsuan Brooklyn membuat siasatan apakah mereka memang benar pasangan gay ataupun sekadar lakonan.

Kemunculan inspektor penyibuk dan menjengkelkan, Fitzer lakonan Steve Buscemi secara tiba-tiba di rumah Larry dan Chuck membuatkan pasangan itu terpaksa berpura-pura melakukan aksi stereotaip pasangan sebegitu semata-mata untuk meyakinkan pegawai penyiasat terbabit.

Gaya selamba Chuck dan Larry ketika berdepan dengan situasi itu mampu membuatkan penonton tidak kering gusi menyaksikannya. Keadaan menjadi bertambah parah apabila Chuck jatuh cinta dengan peguam yang ingin membantu kes mereka.

Bayangkan bagaimana keadaan Chuck berdepan peguam berkenaan yang menyangkakan dirinya tidak mempunyai perasaan terhadap wanita. Terpaksalah dia menahan perasaan sendiri.



Di sinilah terujinya persahabatan dua lelaki ini. Seorang terpaksa menipu diri sendiri semata-mata kerana kawan manakala seorang lagi mengharapkan toleransi seorang teman ketika dirinya dalam keadaan terdesak.

Filem ini menyerlahkan humornya yang tersendiri. Diakui, Sandler dan James memang serasi untuk digandingkan bersama. Filem ini mempunyai perspektif yang meluas. Terserah kepada penonton untuk menilainya.

Walaupun ia memaparkan situasi yang cukup sensitif dengan budaya kita namun masih ada perkara yang positif yang boleh diambil di sebalik kelucuan yang ditampilkannya itu.

Paling penting, filem ini mengajar kita mengenai sejauh mana seorang sahabat itu mampu berkorban untuk sahabatnya serta sifat mementingkan diri sebenarnya adalah jambatan untuk menghancurkan nilai persahabatan yang sekian lama terjalin.









No comments: