Sifat Mudah, Fleksibel Islam Pikat Masyarakat Barat

PERNAHKAH anda berfikir mengapakah di negara maju seperti Eropah dan Amerika Syarikat sekarang ramai manusia yang tergerak hatinya mahu mengkaji agama Islam.

Fenomena ini terjadi selepas peristiwa 11 September. Bangsa yang berjaya dan maju sedang berbondong-bondong masuk agama Islam tetapi sebaliknya di negara mundur dan miskin ramai orang yang mahu murtad daripada Islam? Mengapa fenomena ini terjadi?

Mereka yang mengkaji Islam secara benar menemukan ajarannya bersifat seimbang dan relevan. Islam tidak mengharamkan kemodenan, bahkan menjadi penggerak ke arah kehidupan maju dan moden. Tetapi Islam juga menyediakan ruang untuk mendidik rohani di tengah kehidupan yang serba materialistik.



Islam bersifat mudah dan fleksibel, tata cara ibadatnya diatur oleh disiplin ilmu yang relevan sepanjang zaman. Islam sesuai dengan tabiat manusia yang memerlukan ketenangan dan kedamaian dalam kehidupan.

Islam membawa fahaman universal, tidak jumud dan menolak keras praktik kerahiban. Seorang Muslim apabila dia berdiri sebagai Imam sembahyang, dia juga adalah seorang pemimpin, pentadbir, pejuang dan pekerja yang dedikasi

Seperti mana seorang orientalis terkenal HAR Gibb memuji tanpa segan silu mengenai ajaran Islam. Beliau berkata: “Islam bukanlah semata-mata ajaran ibadat dan upacara, bahkan Islam meliputi politik dan kenegaraan, sosial dan ekonomi, undang-undang dan kekuasaan, perang dan perdamaian. Islam adalah satu sistem hidup.”

Inilah di antara daya tarikan Islam bagi orang Barat yang berfikiran maju. Mereka menemukan keserasian di antara Islam dan gaya hidup moden yang produktif. Islam adalah agama produktif. Ciri-ciri produktiviti dalam Islam antara lain ialah;



Islam adalah agama yang meletakkan ibadat dan bekerja sebagai satu visi dan misi kehidupan

Sebagai mana firman Allah dalam surah Hud ayat 61 yang mana Allah berfirman melalui lisan Nabi Saleh kepada kaumnya yang bermaksud; “Wahai kaumku!, sembahlah Allah yang tiada Tuhan lain bagi kamu selain daripada-Nya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya.”

Ayat itu jelas serta terang menetapkan visi dan misi manusia dicipta iaitu menyembah Allah dan memakmurkan bumi. Dr Yusuf al-Qaradawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Wasta’maru bermaksud: Menuntut supaya kamu membangunkannya. Asal tuntutan ini adalah wajib dan jika dilakukan menurut perintah Allah serta menepati syarak maka bekerja memakmurkan bumi ini menjadi ibadat di sisi Allah SWT.

Begitulah Islam menuntut setiap umatnya menjadi Muslim yang produktif. Melalui lisan Nabi Muhammad baginda bersabda bermaksud: “Jika kiamat hampir sedangkan pada tangan salah seorang dari kamu terdapat biji benih hendak ditanamnya maka jika dia mampu hendaklah dia menanamnya!” - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Imam Ahmad)

Betapa agungnya ajaran agama ini yang mengajarkan kepada kita supaya bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan beribadatlah seakan-akan kamu akan mati esok hari.

Jika umat Islam betul-betul komitmen terhadap ajaran Islam maka tidak akan ada orang Islam yang hidupnya merempat, miskin dan tertinggal. Jika sudah dilanda oleh bencana kemiskinan maka akan menular pula penyakit sosial. Dan kita melihat tidak sedikit orang Islam yang rela anak-anaknya tidak berpelajaran, bodoh dan rosak oleh gejala sosial. Semua ini berpunca dari kemalasan dan gaya hidup yang tidak produktif.



Merancang masa depan adalah wajib di sisi agama

Jabir bin Abdullah berkata, pada suatu ketika kami berada di majlis Rasulullah, tiba-tiba datang seorang lelaki membawa seketul emas seperti sebiji telur, lalu dia berkata: Wahai Rasulullah ambillah ini sebagai sedekah daripadaku, dan demi Allah aku tidak punya harta yang lain daripada ini. Tetapi Rasulullah enggan menerimanya.

Kemudian lelaki itu datang lagi sambil menunjukkan seketul emas itu. Baginda pun bersabda: “Bawalah ke mari! Rasulullah mengambilnya dan dengan bersikap marah lalu dilemparkan ketulan emas itu dengan kuat, jika mengenai lelaki itu pasti terasa sakit.

Kemudian baginda bersabda: “Adakalanya seorang di antara kamu membawa hartanya semua sekali padahal dia tiada memiliki selain dari itu. Kemudian selepas itu dia berkeliling meminta-minta orang. Ingatlah sesungguhnya sedekah itu dikeluarkan dari harta yang lebih. Ambillah kembali ketulan emas ini. Kami tidak memerlukannya.” – (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)



Berhabis-habisan mengeluarkan wang belanja sehingga terpaksa meminta-minta kepada orang lain adalah perbuatan yang dibenci oleh Rasulullah.

Kita sering mendengar orang yang tidak cukup makan gaji selama sebulan dan mempunyai tabiat boros dalam berbelanja.

Akhirnya dia terpaksa berhutang dan meminta-minta ke sana ke mari. Jika kita merenungi hadis Rasulullah tadi, jelas dengan tegasnya baginda memarahi orang yang tidak merancang kewangannya. Bahkan untuk melakukan ibadat pun perlukan perancangan.



Betapa pentingnya umat Islam merancang kewangan dan mentadbir urus harta benda yang dimilikinya. Supaya umat Islam tidak jatuh ke dalam lembah kemiskinan dan selanjutnya menjadi umat yang lemah dan bergantung dengan orang-orang kafir.

Ada sebahagian orang Islam yang salah faham di dalam mengamalkan sifat tawakal dan zuhud. Mereka langsung tidak merancang dan mengurus kewangan peribadi dan keluarga.

Padahal Rasulullah dinyatakan bahawasanya baginda sentiasa menyimpan makanan untuk keluarganya buat masa setahun.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Pakej Web Jualan

Dedikasi, jujur dan amanah

Sistem perekonomian seimbang sewajarnya diamalkan oleh setiap pekerja Muslim yang-amat produktif. Seimbang dari segi keupayaan melipat gandakan keuntungan yang sifatnya materialistik dan moralistik berpaksikan pada iman dan takwa.

Setiap Muslim produktif hendaklah bermoral bersih dan bersifat amanah. Sabda Nabi yang bermaksud: “Peniaga yang amanah dan jujur akan dibangkitkan bersama-sama dengan orang yang mati syahid di hari kiamat nanti.” – (Ibnu Majah dan al-Hakim)

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak









No comments: