Lydia Ibtisam Jaga Disiplin

SUSAHNYA hendak mengatur pertemuan dengan gadis bertubuh kecil molek ini. Panggilan telefon tidak dijawab begitu juga dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar juga tidak dibalasnya.

Seketika teringat yang gadis berkulit hitam manis ini sedang membintangi drama bersiri Impian Illyana di TV3, lalu terlintas di fikiran meminta jasa baik pegawai perhubungan awam TV3 untuk menghubunginya.

Rakannya yang pernah membintangi drama bersiri Dunia Anita, Tam pernah memberitahu yang Lydia Ibtisam memang susah menjawab telefon. Tapi katanya cuba sajalah mana tahu ada rezeki.

Akhirnya Lydia atau nama sebenarnya Nur Lydia Ibtisam Abdul Wahab berjaya juga dijejaki. Bagaimanapun, dia tidak dapat memenuhi permintaan untuk sesi fotografi yang lebih teratur. Sesi fotografi ini pun diadakan ketika waktu rehat sebelum penggambaran Impian Illyana disambung selepas solat Jumaat.

Dalam kepenatan kerana sejak jam 6 pagi lagi dia sudah memulakan penggambaran, Lydia terpaksa juga melayan kehendak media.



“Waktu kerja saya memang tidak suka bercakap di telefon. Bagi saya kerja adalah kerja, selepas balik daripada penggambaran barulah saya akan periksa siapa yang menelefon dan mengirim SMS.

“Teman rapat pun faham dengan keadaan saya. Kalau mereka hendak berjumpa, mereka akan datang ke lokasi penggambaran. Ataupun kami akan berhubung melalui e-mel saja. Memang dulu mereka susah hendak faham tetapi sekarang mereka sudah tahu kerja saya,” kata gadis yang tidak pernah berasa sunyi kerana dia menganggap krew di set juga sebahagian daripada kawannya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Illyana atau Nur Lydia Ibtisam gadis kecil molek yang gigih bekerja.



Dalam bekerja, gadis yang berasal dari Pulau Pinang ini juga sangat komited. Dia memegang prinsip tidak akan menerima tawaran lain selagi satu tugas belum selesai. Katanya, dia lebih suka menyelesaikan satu persatu kerja sebelum menerima tawaran lain.

“Dari dulu lagi saya macam itu. Daripada awal saya membintangi Impian Illyana iaitu pada 2005, kemudian saya terima tawaran Dunia Anita selesai drama itu barulah saya teruskan dengan Natasha. Saya tidak mahu jadi kelam kabut kalau terima tawaran lain.

“Biasanya saya akan cakap yang saya sudah tanda tangani kontrak, saya tidak mahu apabila terima sana sini nanti orang cakap kita tidak ada disiplin,” katanya yang gemar menghabiskan masa dengan membaca novel.



Biarpun kepenatan selepas seharian menjalani penggambaran di luar, Lydia akan memastikan membaca buku sebelum tidur. Katanya dia baru saja menghabiskan novel berjudul The Kite Runner, kerana buku itu terlalu menarik dia terleka hingga jam empat pagi dan hanya dapat tidur beberapa jam saja.

Memandangkan banyak masanya dihabiskan di luar dengan waktu penggambaran yang bermula seawal pagi dan berakhir hingga lewat malam menyebabkan Lydia lebih gemar menghabiskan masanya di rumah yang didiami bersama ibu dan kakaknya.

Lydia graduan dalam bidang multimedia daripada Universiti Malaya berkata, dia bukan seorang pelakon yang memilih watak. Namun, akuinya watak yang ditawarkan padanya haruslah watak yang mampu dibawanya. Justeru, dia akan melihat skrip terlebih dulu.

Bukan soal memilih tetapi Lydia tidak mahu menerima apa saja watak yang diberikan tapi akhirnya dia sendiri yang tidak mampu untuk membawa peranan yang diberikan itu.



Bagaimanapun, katanya dia seronok dapat berlakon di dalam Impian Illyana yang mempunyai seramai enam pengarah. Bekerja dengan pengarah yang berbeza memberinya pelbagai pengalaman yang berbeza kerana setiap daripada mereka mempunyai cara kerja tersendiri.

Gadis yang memulakan kerjaya lakonannya pada 2000 menerusi drama bersiri Cyberjaya arahan Zulkifli M Osman ini juga pernah bergelar pengacara. Lydia pernah mengacarakan rancangan kanak-kanak Kids Studio 1 di RTM, ternyata antara lakonan dan pengacaraan namanya lebih menyerlah dalam bidang lakonan.

Oleh kerana tidak terikat dengan mana-mana syarikat pengurusan, Lydia bebas untuk berbuat apa saja terutama dalam hal mengatur kerjayanya dan memilih apa yang dia mahu dan tidak mahu lakukan.



Profil Nur Lydia Ibtisam Abdul Wahab

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Tarikh Lahir: 4 Oktober 1980

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Asal: Pulau Pinang

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Pendidikan: Sarjana Muda Komunikasi Multi Media, Universiti Malaya

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Drama: Dunia Anita, Natasha dan Impian Illyana








No comments: