Heliza Tak Takut Aura Mawi

MENGAPA harus ditolak rezeki yang datang andai peluang itu mungkin hanya bertandang sekali dan tidak akan berulang kembali jika dilepaskan begitu saja? Bukankah bidang baru itu juga memberikan ruang untuk menimba pengalaman berbeza?

Memegang prinsip itu, pemenang tempat keempat Akademi Fantasia (AF) musim kelima, Nur Heliza Helmi tidak menolak apabila diajukan tawaran untuk mengacara sebuah program bercorak keislaman bersama Mawi.

Baginya, cabang ilmu ada di mana-mana. Tidak semestinya apabila beralih seketika tumpuan sebagai pengacara daripada bidang nyanyian yang memperkenalkan namanya, dia tidak akan mempelajari sesuatu yang baru.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Heliza tidak menolak untuk menjadi pengacara bersama Mawi.


Lebih akrab disapa Heliza, gadis manis berusia 21 tahun ini begitu teruja apabila diajak membicarakan perjalanan sebagai anak seni yang baru dilaluinya. Akuinya, proses menyesuaikan diri dengan suasana baru itu agak melelahkan.

Bagaimanapun, masih terselit kemanisan terutama apabila melihat ada tangan yang sentiasa ikhlas memanjatkan doa untuk melihatnya berjaya.



“Peminat menjadi tulang belakang kepada kekuatan Liza selama ini. Tanpa sokongan berterusan daripada mereka, tidak mungkin saya masih bertahan di sini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kelab peminatnya, Heliza Fan Club, baru-baru ini.

Berbalik kepada karier seninya yang lebih dua bulan dilalui selepas menamatkan pengajian di AF5, Heliza berkata, jadual sehariannya mula padat dengan pelbagai aktiviti. Beberapa jam sebelum bersama acara rasmi pelancaran kelab peminatnya disempurnakan, Heliza sempat menjayakan sesi promosi di sebuah kompleks beli belah.

Awal September pula, pemenang tempat keempat AF5 itu dijangka akan menjayakan sebuah program baru bersama juara AF3, Mawi.

“Idea itu baru saja dibincangkan. Apa yang Liza dapat tahu program itu berbentuk Islamik moden. Topiknya tidak terlalu berat, lebih berkisar kepada gaya hidup merangkumi kesihatan dan fesyen.

“Sukar untuk Liza bercerita lebih lanjut kerana idea penerbitan program itu baru saja dicetuskan. Secara peribadi Liza memang berminat untuk mengacara. Bukan senang peluang ini datang. Liza menerima kerana mahu mempelajari sesuatu yang baru,” kata gadis kelahiran Terengganu itu yang selesa membahasakan diri sebagai Liza apabila berbicara.



Digandingkan dengan artis lelaki popular yang sentiasa dihimpit kontroversi, langsung tidak menggerunkan Heliza. Baginya, kerjasama antara mereka hanya terbatas sebagai teman seni.

Andai mungkin nanti mencetuskan isu panas, Heliza hanya berserah. Pasrah kepada ketentuan takdir walaupun dia tidak pernah mengundang isu untuk diperdebatkan. Jujur kata Heliza, dia ingin meniti hari tenang tanpa gosip panas.

“Syukur kerana setakat ini Liza belum lagi berdepan gosip yang menyentuh perasaan. Harap semua itu tidak berlaku kerana seboleh mungkin Liza ingin mengelak daripada gosip yang mencalar maruah dan perasaan,” katanya.



Mengirai Kenangan

BERGENANG air jernih di tubir mata galak milik gadis petah ini apabila mengenang kesetiaan peminat yang ingin sekali melihat dia berjaya. Sejak menghuni AF5 hingga tamat pembelajaran, kesetiaan mereka tidak pernah berpaling.

Tatkala melancarkan kelab peminatnya, Helizafc, baru-baru ini, tidak tertahan sebak di dada artis bertudung ini apabila peminat yang datang jauh dari Singapura dan Brunei untuk menyatakan sokongan mereka terhadapnya.

Penantian yang sudah beberapa lama tertangguh akibat kesibukannya menyusun jadual persembahan. Difahamkan, Heliza ialah antara finalis AF5 yang mendapat permintaan tinggi daripada penganjur persembahan pentas.

“Semuanya Liza rasakan seperti mimpi tetapi kerana sokongan dan dorongan ramai terutama emak Liza mencuba juga. Alhamdulillah, apa yang Liza cita-citakan itu menjadi kenyataan,” katanya.

Barangkali tidak ramai yang tahu, sebelum menyertai AF5, Heliza pernah diterima untuk menyertai AF2. Bagaimanapun, peluang keemasan itu terpaksa dilepaskan apabila dia diwajibkan menyertai Program Latihan Khidmat Negara.



Namun, sokongan kuat daripada ibunya, Latifah Mohamad membuatkan Heliza tergerak untuk mencuba nasibnya di AF4. Sehingga jam 2 pagi dia menanti giliran, namun namanya tidak juga dipanggil.

Memikirkan keesokan hari dia terpaksa menduduki peperiksaan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hasrat untuk menguji kekuatan bakatnya terpaksa dibatalkan. Lalu, di AF5 dia mencuba sekali lagi.

Besar harapannya untuk memboloskan diri dalam senarai finalis, namun hatinya hancur apabila Ajai memberikan kad merah.

“Mujur itu hanya gurauan. Dan sekarang semua itu menjadi sejarah yang cukup berharga buat Liza. Disebabkan itu, Liza sangat menghargai apa yang dilakukan peminat untuk memastikan Liza memiliki ruang mencipta nama sebagai anak seni.

“Tegurlah jika ada kelemahan atau kesilapan sekiranya Liza alpa,” katanya yang bakal merakamkan semula lagu Cinta Di Lautan Lalang yang dinyanyikannya pada malam final AF5 tidak lama lagi.






Profil Nur Heliza Helmi


Umur: 21 tahun

Asal: Kuala Terengganu

Tarikh Lahir: 3 Februari 1986

Tinggi: 155sm

Berat: 42kg

Hobi: Menyanyi dan membeli-belah

Penyanyi Idola: Datuk Siti Nurhaliza


Pakej Web Jualan






No comments: