Islam Agama Realistik, Bukan Khayalan

REALISTIK mengikut Kamus Dewan ialah berhubungan dengan fahaman realisme, yang berkaitan dengan keadaan sebenar. Realisme pula bererti ‘fahaman atau ajaran berdasarkan kenyataan’. Ia berasal daripada kata realiti yang bermakna ‘sesuatu atau keadaan yang nyata (bukan khayalan), kenyataan’.

Islam adalah agama yang nyata bukan khayalan dengan pengertian bahawa semua ajaran akidah, akhlak dan amaliyyah berdasarkan kepada kenyataan atau realiti kehidupan manusia dan tidak berdasarkan kepada khayalan atau angan-angan. Pemahaman agama berdasarkan khayalan atau angan-angan yang berpunca daripada sangkaan sudah ditolak mentah-mentah oleh al-Quran dalam ayatnya bermaksud: “Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran (i’tiqad).” (Surah al-Najm: 28)

Islam mendorong manusia bersikap realistik dan menempatkan sikap realistik sebagai sikap yang istimewa. Seperti dijelaskan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi: “Sikap realistik adalah salah satu sifat umum Islam. Islam tidak ingin menempatkan ajarannya terawang di udara. Islam juga tidak menganggap manusia itu seperti malaikat tetapi sebagai makhluk yang dapat melakukan kebenaran dan kesalahan, dan manusia juga boleh istiqamah pada jalan yang lurus dan boleh juga tersesat. Islam mengakui kelemahan manusia, mengakui dalam diri manusia ada potensi kesalahan dan kejahatan. Islam mengajar manusia supaya dapat mengatur waktu. Jadi, Islam memberi motivasi dan peringatan, mewajibkan amar makruf dan nahi mungkar, mensyariatkan batas sekatan, membuka pintu taubat dan mempunyai hukum tersendiri dalam menghadapi keadaan darurat.” (Sanggahan Salah Tafsiran Islam)

Islam yang berdepan dengan kerenah manusia, itulah Islam yang sebenar bukan Islam yang lari daripada kerenah itu. Islam yang menyelesaikan permasalahan manusia, itulah Islam yang sebenar bukan Islam yang lepas tangan tidak mahu memberi penyelesaian masalah. Islam yang menerima kenyataan hidup manusia, itulah Islam yang sebenar bukan Islam yang menolak kenyataan hidup.

Islam adalah: “Engkau mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya” (Hadis riwayat Muslim).



Melaksanakan ajaran tauhid La ilaha illallah dalam diri Muslim itulah realistik akidah kerana kenyataannya memang tidak ada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan Allah. ‘ALLAH’ adalah nama Zat Yang Maha Esa pencipta semua makkhluk, ini adalah pegangan realistik dan tidak diterjemahkan dengan huruf ‘alif’ untuk tubuh manusia, ‘lam’ untuk nyawa Muhammad, ‘lam’ untuk hati Muhammad, dan ‘ha’ untuk rahsia Muhammad seperti dikhayalkan oleh ajaran sesat.

Mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam itulah realistik ibadah dalam menyembah Allah Ta’ala yang mencipta manusia dan menyiapkan segala sesuatu untuk mereka; mengeluarkan zakat mengikut kadar dan masa yang sudah ditetapkan Allah itulah realistik ibadah dalam hubungan manusia dengan manusia apabila Allah melebihkan rezeki hamba-Nya daripada hamba yang lain; puasa pada Ramadan itulah realistik ibadah dalam membina sahsiah Muslim yang unggul demi mengharungi kehidupannya daripada setahun ke setahun yang melambangkan perjalanan hidupnya; dan mengerjakan haji di Baitullah bagi yang mampu itulah realistik ibadah dalam perpaduan, persaudaraan dan kesetaraan ummah yang satu walaupun berbilang bangsa.

Kewajipan ummah untuk mengikuti dan mentaati ajaran Nabi Muhammad SAW adalah realistik agama kerana kepatuhan kita kepada al-Quran dan apabila kita menolaknya, suatu realiti azab pasti menimpa. Allah berfirman tafsirnya: “Dan (demikian juga) kaum (Nabi) Nuh, ketika mereka mendustakan rasul-rasul Kami, Kami tenggelamkan mereka, dan Kami jadikan mereka satu tanda (pengajaran yang menjadi contoh) bagi umat manusia. Kami menyediakan bagi sesiapa yang zalim azab yang pedih. Dan (demikian juga Kami telah binasakan) kaum ‘Ad, Thamud dan Ashab al-Rassi serta banyak lagi dalam zaman antara masa yang dinyatakan itu. Dan Kami jadikan bagai perumpamaan (yang mendatangkan i’tibar,) dan masing-masing Kami telah menghancurkan mereka sehancur-hancurnya.” (Surah al-Furqan 37-39)

Secara realistik, agar hidup kita teratur dan mengikuti lunas-lunas yang digariskan Allah maka kita diwajibkan taat kepada Allah, Rasul dan Waliyul Amr serta jika ada perbalahan di antara kita, kita merujuk Allah dan Rasul-Nya. Allah berfirman maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah al-Nisa: 59)

Adalah suatu realistik umat Islam ‘diposisikan’ bermazhab-mazhab. Mazhab daripada sudut bahasa bererti ‘jalan’ atau ‘the way of’. Dalam Islam, istilah mazhab secara umumnya digunakan untuk dua tujuan: dari sudut akidah dan dari sudut fiqh. Mazhab akidah ialah apa yang bersangkut-paut dengan soal keimanan, tauhid, qadar dan qada’, hal ghaib, kerasulan dan sebagainya. Antara contoh mazhab akidah Islam ialah Mazhab Syiah, Mazhab Khawarij, Mazhab Mutazilah dan Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Setiap daripada kumpulan mazhab akidah ini mempunyai mazhab fiqhnya yang tersendiri. Mazhab fiqh ialah apa yang berkaitan dengan soal hukum-hakam, halal-haram dan sebagainya. Contoh Mazhab fiqh bagi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah ialah Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab al-Syafie dan Mazhab Hambali.



Jika kita benar-benar menganalisis faktor kemunculan mazhab fiqh Islam, kita akan dapati ia wujud secara ‘terpaksa’ oleh suasana peredaran zaman dan politik. Imam mazhab yang empat, Abu Hanifah, Malik bin Anas, al-Syafie dan Ahmad bin Hambal hanya memiliki tujuan mengajar dan menyampaikan ajaran Islam yang sebenar kepada umat. Mereka berhijrah ke sana-sini semata-mata bagi mencari ilmu dan menyampaikan ilmu. Mereka mengumpul dan menulis ajaran Islam supaya ia tidak hilang dimakan masa, supaya umat terkemudian dapat merujuknya.

Tidaklah menjadi tujuan imam mazhab untuk sengaja mengelompokkan umat Islam ini kepada mazhab mereka saja. Tidaklah menjadi hasrat imam mazhab yang empat untuk memecah-belahkan umat ini kepada empat kumpulan. Sejarah dunia memaksa ajaran mereka menjadi terhad kepada sekian daerah dan sekian umat. Suasana politik yang menimbulkan suasana persaingan dengan sengaja menganjurkan debat sesama pengikut mereka. Suasana politik juga memaksa ajaran mazhab ditaati orang ramai tanpa persetujuan mereka.

Oleh itu, kita tidak boleh memandang serong dan menyalahkan imam mazhab sebagai sebab timbulnya mazhab Islam ini. Malah, jika diperhatikan, imam mazhab inilah yang banyak berjasa mengekal, menjaga dan menyebarkan ilmu Islam sebagaimana yang kita pelajari dan amalkan sekarang. Jasa imam mazhab ini boleh dirumuskan sebagai: tegas berusaha menjaga keaslian dan ketulenan ajaran agama daripada dicemari faktor politik; berusaha menghidupkan semula ajaran Islam yang ditinggalkan oleh peredaran zaman; menyusun dan membukukan ajaran Islam supaya ia dapat dipelajari oleh umat sepanjang masa; dan tidaklah menjadi tujuan imam mazhab untuk sengaja mengelompokkan umat Islam ini kepada mazhab mereka saja. (Lihat Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam)

Sudah menjadi kenyataan pada hari ini kandungan hadis Nabi mengenai tanda hari kiamat yang bermaksud: “Tanda-tandanya itu ialah bila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegak dan meninggi-ninggikan binaannya”. (Hadis riwayat Muslim). Ini adalah realistik keadaan umat manusia yang diberitakan Nabi pada 15 abad lalu, agar kita terselamat daripada ancaman dahsyatnya kejadian hari kiamat, secara realistiknya juga kita mesti melaksanakan dan mematuhi firman Allah bermaksud: “Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh; dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan. Dan sesiapa yang kufur ingkar, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita mengenai kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian Kami akan memberitahu kepada mereka mengenai apa yang mereka sudah kerjakan.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada. Kami akan berikan mereka menikmati kesenangan untuk sementara (di dunia), kemudian Kami akan memaksa mereka (dengan menyeretnya) ke dalam azab yang amat berat.” (Surah Luqman: 22-24)

Islam yang nyata atau realistik adalah Islam yang menghadapi kerenah manusia dengan penuh keadilan, kasih sayang, kesetaraan, kemudahan dan timbang rasa bukan menghadapinya dengan ketidakadilan, sikap benci dan dendam, perbezaan taraf, kesusahan atau kesulitan dan kekerasan sebagaimana yang digambarkan al-Quran mengenai diri Rasulullah sebagai pembawa Islam maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang yang beriman.” (Surah at-Taubah: 128) Wallahu a’lam.






No comments: