Teater Rumah Jimat Ruang

KESELESAAN dan kepuasan adalah perkara penting apabila memilih sistem teater rumah. Ia bukan sekadar aspek bunyi, tetapi paling utama ialah peralatan sistem teater rumah masa kini seharusnya mempunyai ciri kemudahan canggih dan menyenangkan pengguna.

Dalam kata lain, sistem teater rumah masa kini juga haruslah menepati keperluan ruang dan reka bentuk serta hiasan rumah moden yang kalau boleh mestilah meminimumkan penggunaan wayar yang berselerak serta menjimatkan ruang.

Justeru, produk teater rumah terbaru JVC mengambil kira semua faktor itu. Dikenali sebagai JVC Sophisti, rangkaian produk teater rumah itu yang didatangkan ke negara ini dalam dua model - Sophisti DD-8 dan Sophisti DD-3 - direka untuk melengkapi semua ciri berkenaan, di samping disesuaikan dengan televisyen skrin rata yang popular masa kini.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
SOPHISTI DD-8 tidak memerlukan pembesar suara di belakang dapat menjimatkan ruang.




JVC Sophisti DD-8 dan Sophisti DD-3 membolehkan pengguna memainkan format standard DVD dan CD dengan sistem Dolby Digital, DTS dan pemprosesan Pro Logic II, menggunakan sistem pembesar suara 3.1 yang menampilkan teknologi sekeliling depan JVC.

Sistem bunyi sekeliling canggih JVC Sophisti DD-8 dan Sophisti DD-3 tidak memerlukan pembesar suara di belakang, sekali gus menjimatkan ruang serta mengelakkan penggunaan wayar.



Kesan bunyi sekeliling itu menggunakan pembesar suara tengah dengan unit pembesar suara utama yang memaparkan diafram berkembar yang unik.

JVC mengatakan bahawa ia berupaya menghasilkan kesan bunyi lebih baik, dengan pendengar lebih mudah mengetahui dari mana arah bunyi datang, berserta bunyi secara menegak dan mendatar.

Kedua-dua sistem teater rumah JVC Sophisti itu dilengkapi hos USB, yang membolehkan pengguna mengakses terus kepada fail daripada pemain media mudah alih, pembaca kad USB dan kamera digital. Sistem Sophisti DD-8 dan Sophisti DD-3 juga menampilkan banyak ciri canggih menggunakan satu rangkaian pemain media.

Ini bermakna pengguna boleh mengakses atau muat turun fail daripada komputer peribadi, termasuk MP3, WMA, WAV, MPEG-4, JPEG dan format DivX. Pengguna juga boleh menyambungkan sistem itu terus ke komputer peribadi (PC) atau membuat sambungan LAN dan Router tanpa wayar atau adaptor Ethernet.

Sistem Sophisti DD-8 dan Sophisti DD-3 menampilkan sambungan digital HDMI dengan keupayaan sambungan digital yang boleh ditingkatkan kepada 720p, mampu meningkatkan kualiti imej tayangan DVD hingga hampir menyamai definisi tinggi.



Sistem itu menggunakan jenis pembesar suara yang berbeza untuk bunyi depan dan pembesar suara Sophisti DD-8 dibina secara melengkung dengan teknologi penghasilan bunyi, yang menghasilkan kualiti audio hi-fi hampir sama dengan muzik asal.

JVC Sophisti DD-8 dijual pada harga RM5,999, manakala Sophisti DD-3 pada harga RM3,999. Semua produk terbabit didatangkan dengan jaminan antarabangsa selama 12 bulan.





No comments: