Islam Tidak Membebankan

Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapatkan kesenangan (Syurga). (Al-Lail: 7)



Huraian

ISLAM sebagai agama yang syumul amat menitikberatkan keperluan dan kebajikan umatnya. Ajaran yang terkandung di dalamnya mudah dan tidak membebankan penganutnya untuk memahami dan mengamalkannya.

Kita sebagai orang Islam hanya perlu menurut segala suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya untuk mendapatkan kesenangan yang kekal abadi di akhirat nanti. Bagi mereka yang sentiasa reda dan ikhlas pula begitu merasai ketenangan walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran dalam menegakkan agama Allah itu.

Tiada kepayahan, kesusahan dan kesukaran dalam beribadat. Allah telah memfardukan ibadat dalam keadaan mudah bagi meringankan umatnya dan bersesuaian pula dengan keupayaan kita sebagai manusia.

Firman Allah yang bermaksud,..Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran… (al-Baqarah: 185)

Pelbagai kemudahan diberikan dengan mengadakan rukhsah dan kafarah bagi mereka yang tidak upaya beramal. Sebagai contoh, mereka yang tidak mampu berwuduk kerana faktor tertentu dibolehkan bertayamum. Begitu juga mereka yang bermusafir dibenarkan menunaikan solat secara jamak dan qasar.



Kesimpulan

ANGGAPAN sesetengah pihak yang mengatakan Islam itu membebankan adalah tidak benar, kerana ajaran Islam begitu mudah diikuti dan diamalkan. Walau bagaimanapun ia terpulang kepada kita untuk mengusahakannya.

Sekiranya kita memiliki jalan ketakwaan dan meninggalkan larangan-Nya, insya-Allah kita mendapat kemudahan untuk sampai ke syurga. Begitulah juga sebaliknya.









No comments: