Rahsia Hati Natasha Hudson

RAMAI yang mengenali dirinya hanya sebagai pelakon, pengacara mahu pun model terkenal. Rupanya, ada lagi bidang yang diteroka wanita cantik ini, selain tiga cabang seni terbabit. Natasha Hudson, bintang muda yang baru saja menemui penonton dengan filem Chermin dan Sumolah, ini turut bergelar penulis.

Dua buku pertamanya, masing-masing dalam bahasa Melayu dan Inggeris, akan dilancarkan pada 15 Jun ini. Menggunakan judul Puisi Si Pari-Pari dan My Heart My Soul My Passion, hasil tulisannya itu lebih berupa puisi yang hadir dengan konsep berbeza apabila ia turut menampilkan ilustrasi dan foto yang sesuai dengan penceritaannya.

“Umpamanya, bagi buku dalam bahasa Inggeris itu, saya masukkan sekali foto saya yang ada dalam simpanan, bagi menyesuaikannya dengan mood puisi yang terkandung di dalamnya,” kata Natasha.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Natasha Hudson Kini Bergelar Penulis Puisi.



Buku Inggeris terbabit mengandungi 41 puisi dan dilihatnya sebagai penulisan berbentuk pop kontemporari, manakala buku Melayu pula memuatkan kira-kira 20 puisi yang lebih panjang.

“Puisi Melayu saya karang lebih panjang dan bercerita mengenai dunia fantasi kanak-kanak. Namun begitu, dengan ilustrasi menarik, ia juga boleh dibaca orang dewasa,” kata wanita berkulit cerah ini mengenai penghasilan terbarunya yang diedarkan syarikat Midmodal Industries.



Sebahagian puisi Melayunya itu sebenarnya sudah cukup lama berada dalam simpanan, cuma baru-baru ini dia berani mengetengahkan idea kepada pihak penerbitan untuk menghasilkan buku ala karya Tim Burton itu.

Minatnya pada dunia puisi sudah bertapak dalam hati sekian lama. Sejak zaman kanak-kanaknya, dia sudah mula menggemari puisi dan menulisnya sebagai hobi. Rakan-rakan juga sering meminta dia menulis puisi untuk simpanan peribadi kerana terpikat dengan daya kreativiti wanita ini.

“Minat terhadap buku dan penulisan wujud dalam diri saya sejak dulu lagi. Dari kecil hingga sekarang, saya sentiasa berkepit dengan buku. Bahan bacaan saya pula tidak terikat kepada sesuatu jenis saja. Saya membaca segala bentuk tulisan, daripada buku cerita kepada motivasi dan autobiografi,” katanya yang memberitahu, dalam beg tangannya pasti terselit sebuah buku sebagai teman tatkala dia mempunyai masa senggang.

Belum pun dua bukunya itu menemui pembaca di pasaran, Natasha sudah mula mengumpul bahan yang baru untuk edisi seterusnya.

“Meskipun saya gemar mencurahkan idea ke kertas atau pun komputer, saya bukannya jenis penulis cerita. Sebaliknya saya lebih suka melihat diri saya sebagai penulis puisi. Tetapi, siapa tahu, saya akan beralih juga ke bidang penulisan novel suatu hari nanti,” katanya ketika berkunjung ke Balai Berita.



Baginya, puisi suatu karya yang amat penting untuk dinikmati semua orang, terutama dalam memperkayakan perbendaharaan kata.

“Antara matlamat saya menghasilkan buku ini adalah untuk menggalakkan orang ramai menyukai dunia penulisan. Tanyalah siapa saja, kita semua memang perlu menguasai penulisan kerana dalam apa saja yang kita lakukan, kita tidak terlepas daripada aktiviti menulis,” ujar artis yang kian mendapat tempat di hati peminat.

Penghasilan buku itu pula, menurut Natasha, diawasi sendiri olehnya sejak awal hingga akhir. Mengakui dirinya seorang yang sukakan kesempurnaan, wanita ini tidak mahu hasilnya nanti tidak mencapai piawaian yang dikehendaki. Baginya, semua perincian harus diambil kira bagi menghasilkan sesuatu yang menarik perhatian dan berkualiti.

Lebih penting, sebahagian kutipan jualan buku itu akan disalurkan kepada Persatuan Bantuan Kanak-Kanak Malaysia (Macas) yang disertainya baru-baru ini.

“Memang menjadi impian saya sejak sekian lama untuk membantu golongan kanak-kanak yang memerlukan. Lalu, dengan kesempatan yang ada ini, saya berharap sangat saya mampu melakukannya,” kata Natasha.


Menyentuh soal karier lakonannya pula, Natasha memberitahu, selain Chermin dan Sumolah, dia juga baru saja selesai menjalani penggambaran filem Tipu Kanan Tipu Kiri, arahan Sharad Sharan, bersama pelakon Hans Isaac, Sazzy Falak dan Fauzi Nawawi. Filem itu turut mengetengahkan pelakon Indonesia - Titi Kamal dan Christian Sugiono, serta aktor Madhavan dari India.

Menariknya mengenai filem komedi ini, katanya, dia diberikan peluang untuk menyanyikan kira-kira tujuh lagu. Lima daripada akan dimuatkan dalam filem berkenaan. Di samping itu, dia juga berkesempatan menari dengan tunjuk ajar pereka tari dari India. Pendek kata, dia cukup seronok menyudahkan filem hasil kerjasama Tarantella Pictures dan Nusantara Films Sdn Bhd

Selepas tiga judul terbabit, dia ada menerima beberapa tawaran lain yang sedang dipertimbangkan. Satu daripadanya ialah sebuah filem yang mungkin menyaksikan kerjasama antara dirinya bersama Afdlin Shauki.





Profil


Nama: Natasha Liana Hudson

Tarikh Lahir: 9 September 1982

Asal: Kuala Lumpur

Keturunan: Melayu / Indonesia / Australia

Profesion: Model, Pengacara, Pelakon

Filem: Chermin, Sumolah, Tipu Kanan Tipu Kiri

Drama: Pei Pan

Rancangan TV: Fesyen TV, Girls Club, Kediaman Idaman

Iklan: Nesquick, McDonald’s, Pantene, Ambi Pur, L’Oreal







Sumber : Berita Harian Edisi 23-05-2007




Kata Izalsyah; "Dengar macam best jer. Boleh la beli kot."





No comments: