Nanu Masih Menanti

ASYIK-ASYIK filem Shuhaimi Baba, tidak teringinkah Nanu Baharuddin, 38, membintangi filem yang dihasilkan pengarah lain?

Bukan sekali dua dia diajukan pertanyaan begitu namun apalah daya Nanu. Selain Cinta yang diarahkan Khabir Bhatia, hanya menerusi Shuhaimi saja dia memperoleh tawaran untuk berlakon di layar besar.

“Sebagaimana pelakon lain yang cukup serius menceburi bidang kerjaya seni ini, sudah tentu saya juga teringin untuk bekerja dengan pengarah lain.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Bukan setakat itu saja. Kalau boleh biarlah ia disertakan dengan skrip yang bagus serta karakter yang cukup berkesan. Namun hendak buat macam mana, selain Shuhaimi, tiada tawaran yang saya peroleh daripada penerbit mahu pun pengarah filem lain.

“Walhal saya juga hendak ‘merasa’ bekerja dengan pengarah filem lain yang tidak kurang hebatnya di negara kita. Misalnya, Ahmad Idham yang mengarahkan filem seram Jangan Pandang Belakang. Bagi saya, dia antara pengarah filem generasi muda hari ini yang cukup bagus serta memiliki daya kreativiti yang baik.



“Begitu juga Osman Ali menerusi Puaka Tebing Biru yang diarahkannya. Saya juga melihat dia sebagai pengarah filem generasi baru yang cukup berpotensi.

“Namun secara peribadi, saya rasa aspek lakonan yang ditonjolkan dalam kedua-dua filem itu masih boleh diperbaiki lagi kerana kebanyakan barisan pelakonnya daripada kalangan orang baru,” katanya jujur ketika ditemui, baru-baru ini.

Sekalipun sudah 16 tahun bergelumang sebagai anak wayang, Nanu mengakui dia tetap berasakan dirinya masih lagi terlalu ‘hijau’ dan ‘baru’ dalam bidang lakonan.

Barangkali hal itulah yang membuatkan anak Allahyarham seniwati Norainimuti ini masih lagi tidak yakin menjadi pengarah filem mahu pun drama.

“Berlakon pun tidak betul lagi, macam mana saya hendak jadi pengarah? Lagipun masih banyak benda yang mahu saya capai dalam bidang lakonan.



“Namun, ia tidak bererti yang saya ini langsung tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi pengarah. Hasrat itu memang ada tetapi saya rasa masih belum sampai masanya untuk saya berbuat demikian.

“Sebabnya, jika menjadi pengarah yang juga berlakon, kesannya akan membuatkan diri saya ini mementingkan kesempurnaan, khususnya dalam pelbagai aspek sesebuah produksi filem atau drama yang dikendalikan.

“Kalau pun saya sudah bersedia untuk jadi pengarah satu hari nanti, saya mungkin akan memulakannya menerusi produksi drama terlebih dulu,” katanya.

Pelakon yang masih kelihatan jelita seperti zaman anak daranya walaupun memiliki dua anak lelaki, Mohd Ikhwan, 20, dan Nur Iman, 7, akan muncul dengan filem terbaru Shuhaimi, Waris Jari Hantu. Filem yang turut dijayakan Maya Karin, Rusdi Ramli, Kavita Kaur, Azean Irdawaty, Liza Othman dan Zaidi Omar, mula ditayangkan di pawagam pada 31 Mei ini.

Memperkatakan lebih lanjut mengenai wataknya sebagai Kasmah dalam filem thriller dan drama sosial ini, Nanu berkata, cabarannya lebih terletak pada emosi dan permainan dalaman jiwanya apabila terpaksa menerima hakikat adik lelakinya, Ari (Rusdi) bukan lelaki sejati.


“Lebih merisaukan sekali apabila Ari bukan saja lelaki lembut dari segi luaran tetapi juga dalaman dan lebih terdorong melakukan kerja-kerja yang biasanya dilakukan wanita.

“Hal ini sangat bertentangan dengan diri Kasmah. Sebagai guru yang hidup dalam suasana kampung, dia sememangnya cukup mengambil berat keadaan Ari. Malah, dia sering mempertahankan Ari setiap kali dia menjadi mangsa ejekan atau cercaan pemuda kampung yang tidak gemar melihat sikap lembutnya itu.

“Namun, tiada apa yang mampu dilakukan Kasmah apabila melihat Ari bersungguh-sungguh mahu menjadi wanita tulen. Apabila Ari pulang dengan penampilan sebagai wanita, itulah kemuncak emosi paling hebat yang dirasai Kasmah.

“Dia bukan saja tidak dapat menerima keadaan Ari pada waktu itu tetapi hatinya terlalu hancur dan luluh apabila melihat Ari mengubah dirinya tanpa berbincang atau memberitahu dirinya.

“Sungguhpun begitu, saya akui babak itulah yang paling menarik dan paling memberi kepuasan kepada saya sebagai salah seorang pelakon filem ini,” katanya.



Nanu yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia menerusi Rimba Malam pada 1993, mempunyai pandangan tersendiri apabila memperkatakan mengenai golongan transeksual yang sememangnya wujud dalam komuniti masyarakat kita hari ini.

Katanya, adalah lebih baik seseorang itu tidak terus menghukum atau menjatuhkan hukum terhadap golongan transeksual sebegini.

“Apa yang nyata, mereka juga manusia biasa yang berhak mendiami dunia ini bersama-sama anggota masyarakat lain. Mereka juga punya perasaan seperti kita dan kita tidak tahu apakah sebab sebenar yang menjadikan mereka begitu.

“Jadi, seharusnya kita menerima mereka dengan seadanya dan bukan tugas kita untuk menghukum mereka. Tugas itu biarlah ditentukan yang di atas sana,” katanya.

Nanu berkata, Shuhaimi sudah melaksanakan tugasnya dengan begitu baik sekali apabila menangani isu permasalahan sosial masyarakat.



“Hasilnya, dia berjaya menyentuh emosi dan jiwa penonton dengan cara yang cukup bersahaja tetapi pada masa sama, meninggalkan persoalan yang cukup besar kepada kita.

“Apakah yang harus kita lakukan terhadap golongan transeksual ini? Bagaimana kita harus berhadapan dengan mereka? Akhirnya Shuhaimi menyedarkan kita bahawa nilai kasih sayang sesama manusia itulah yang paling besar ertinya,” katanya.

Selepas Waris Jari Hantu, Nanu juga baru saja selesai menjalani penggambaran filem terbaru arahan Shuhaimi, Hati Malaya 1957 yang dihasilkan khusus sempena menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-50.





Profil

Nama Pentas: Nanu Baharuddin

Nama Sebenar: Nanu Baharuddin

Usia: 38 tahun

Tarikh Lahir: Ipoh, Perak

Tempat Lahir: 19 November 1969

Profesion: Pelakon dan pengacara

Program TV: Bersamamu

Drama: Susuk, Kaizer & Simbiosis

Filem: Rimba Malam, Pontianak Harum Sundal Malam 1, Pontianak Harum Sundal Malam 2, Cinta, Waris Jari Hantu dan 1957

Kejayaan: Memenangi Anugerah Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia pada 1993 menerusi filem pertama, Rimba Malam.







Sumber : Harian Metro Edisi 18-05-2007




Kata Izalsyah; "Pun masih menanti...Menanti jodoh yang tak kunjung tiba." Huhuhuhu.




No comments: