Mila AF5 Mula Sibuk!

KETIKA ditemui Hip di Pusat Penyiaran Asia (Astro), Bukit Jalil, petang Isnin lalu, dia baru saja menyudahkan rakaman sebuah program televisyen. Selepas itu, dia perlu bergegas pula ke konti radio Era untuk sesi temu bual bersama Linda Onn selama dua jam. Sempat juga sementara menanti jarum jam menganjak angka empat, dia melapangkan masa untuk ditemubual.

“Saya masih lagi dalam proses menyesuaikan diri. Waktu tidur pun sudah lain, suasana juga semuanya baru. Saya cuba biasakan diri kerana ini jalan yang dipilih,” katanya membuka bicara.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
"Saya perlu berusaha keras kerana tidak mahu kemenangan pada malam itu dipertikai," - Mila, Juara Akademi Fantasia Musim Ke-5.


Lebih 10 minggu lalu, tiada siapa yang mempedulikan gadis bertubuh kecil molek ini. Seperti insan lain sebayanya, dia juga cuba mengukir mimpi indah.

Namun, Sabtu lalu seluruh hidupnya berubah. Gelaran juara musim kelima Akademi Fantasia (AF), selain peserta wanita pertama meraih gelaran tertinggi itu, Mila mengecap sesuatu yang paling indah ketika usianya melangkah 19 tahun. Apa dia masih lagi terkejut dengan kemenangan manis itu?

“Saat itu sudah berlalu. Saya memang terkejut tetapi cuma selepas diumumkan sebagai juara. Tetapi sekarang, apa yang bermain di fikiran saya ialah kerja dan terus bekerja. Peluang ini hanya datang sekali dan bukan masanya lagi untuk saya bergoyang kaki. Apatah lagi, ini kali pertama peserta wanita menjadi juara. Saya perlu berusaha keras kerana tidak mahu kemenangan pada malam itu dipertikai,” katanya penuh kematangan.



Sempat menyelak helaian akhbar yang terbentang di depan matanya, akui Mila, dia meniti pengalaman yang cukup menguji sepanjang 10 minggu berada di AF5.

Beberapa minggu pertama di AF5, semangat gadis yang mempunyai ketinggian 148 sentimeter itu cukup rapuh. Dia melangkah dengan tangan kosong, mengharap sokongan penonton untuk terus bertahan dalam pelayaran bakatnya.

Sekali lagi kata Mila, dia sangat bersyukur kerana gelaran juara menjadi miliknya apabila mendapat tahu dia sering berada pada kedudukan goyah di setiap permulaan konsert mingguan.

“Disebabkan itu, saya perlu berusaha membuktikan bakat. Saya bermula dengan serba kekurangan namun hasil tunjuk ajar tenaga pengajar, saya cuba memperbaiki kelemahan diri. Jika ada yang melihat saya sebagai juara yang dirancang, terserah kerana setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan pendapat masing-masing.

“Saya akan terus berusaha untuk mengubah pendirian mereka dan menukar persepsi itu dengan bakat yang saya miliki. Insya-Allah,” katanya bersemangat.



Akui Mila, ketika konsert final dia langsung tidak memikirkan soal kemenangan. Apa yang penting baginya ketika itu adalah menyempurnakan amanah besar yang diberikan oleh penyokongnya.

“Saban minggu apabila terselamat daripada penyingkiran, saya sematkan dalam hati untuk berusaha bersungguh-sungguh kerana tidak mahu mereka yang menghantar undian hampa dengan persembahan saya. Saya tidak kecewa jika gagal membawa pulang kemenangan pada malam itu. Ketika berdiri di pentas, saya cuba membuat yang terbaik untuk memuaskan hati semua. Syukur kerana usaha keras saya dibalas dengan kemenangan yang cukup manis ini,” katanya.

Usia perjalanannya di AF5, sesekali Mila tidak mampu membendung kerinduan saat dia bersama 14 peserta AF5 lain bertungkus lumus mengumpul ilmu untuk bergelar anak seni.

Malah katanya, pada minggu kesembilan, terasa tidak ingin meninggalkan akademi yang penuh kenangan itu kerana pengalaman yang dilaluinya itu cukup bermakna.

“Kami meniti dunia yang cukup menyeronokkan. Beberapa minggu pertama, saya agak bosan kerana terkurung daripada dunia luar. Tetapi, semua itu berubah kerana saban minggu tanggungjawab semakin berat. Tiada lagi masa untuk bermain-main dan disebabkan sibuk, saya terlupa kehidupan di luar akademi,” katanya.



Kata Mila, dia merancang untuk memberikan sesuatu kepada peminat yang selama ini menyokong perjuangannya di AF5 namun belum menetapkan tarikh tertentu kerana sibuk dengan jadual yang disusun pengurusannya.

“Saya dijadualkan akan pulang ke kampung pada 25 hingga 28 Mei ini untuk menjayakan promosi Gempak Selebriti Astro di Pulau Pinang. Andai menjadi kenyataan, saya paling seronok kerana sudah lama tidak berada di rumah sendiri,” katanya yang sempat bertemu keluarga Ahad lalu untuk menyelesaikan urusan perpindahan dari akademi.




Sepintas

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket BAPA Mila, Jirin Burhan, 45, merancang untuk mengadakan kenduri kesyukuran di kampung bintang baru AF5 itu di Pulau Pinang apabila Mila diberi cuti nanti.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket KATA Jirin, dia begitu berbangga dengan kejayaan Mila kerana percaya dengan bakat besar yang ada dalam diri anak perempuan sulungnya itu. Katanya: “Saya yakin Mila dapat melangkah ke final sejak dia menunjukkan peningkatan pada persembahan minggu ketiga”.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket SELEPAS menamatkan persekolahannya, Jirin mengizinkan Mila untuk menyanyi di lobi hotel bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggerisnya. Hanya sempat menimba pengalaman selama tiga bulan sebelum diterima masuk AF5.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket ANAK sulungnya itu seorang yang penyabar, sanggup menerima risiko dan agak manja. Dua adik beradik Mila yang lain ialah Nor Afifah, 14 tahun dan Nor Fadhlin Sakinah, 9.





Profil


Nama Penuh :Norsyarmilla Jirin

Umur :19 tahun

Asal :Pulau Pinang

Tarikh Lahir :23 Disember 1987

Tinggi :148sm

Berat :40kg

Hobi :Menyanyi, menari dan membaca novel

Penyanyi Idola: Anita Sarawak











No comments: