Mencari Taraf Jihad Dalam Kerjaya

Menurut perspektif Islam, melakukan apa jua bentuk pekerjaan sebagai sumber mata pencarian hidup itu adalah kewajipan agama bagi setiap Muslim. Ia bermakna apabila seseorang Muslim memenuhi tanggungjawabnya dengan bekerja mencari rezeki halal, dia bukan hanya sekadar memenuhi tugasnya ke atas dirinya dan juga keluarganya, malah dia juga menjunjung perintah Allah.

Lebih jelas lagi, sesuatu pekerjaan yang baik lagi halal tidak kira sama ada bekerja sendiri, mahu pun bekerja makan gaji adalah amalan ibadat di sisi Allah. Oleh itu, Allah memberi ganjaran pahala kepada sesiapa melakukan pekerjaan halal demi menampung kehidupannya dan keluarganya seperti firman-Nya bermaksud: “Dan dikatakan lagi kepada mereka (ahli syurga): Inilah syurga diberikan kepada kamu untuk mewarisinya disebabkan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Zukhruf, ayat 72)

Dalam konteks ini, Islam tidak menentukan apakah jenis pekerjaan seharusnya dilakukan setiap Muslim, sebaliknya Islam mengharuskan sebarang jenis pekerjaan dilakukan asalkan pekerjaan itu baik dan diredai Allah.

Namun, taraf kemuliaan sesuatu pekerjaan itu meningkat ke taraf jihad jika pekerjaan dilakukan itu menuntut sebuah pengorbanan besar dari segi nyawa, harta, tenaga dan buah fikiran. Dalam erti kata lain, sesuatu pekerjaan menjadi satu perjuangan jihad jika hasil pekerjaannya itu memberikan sumbangan amat besar ertinya kepada agama, bangsa dan negara.

Keadaan ini selaras dengan kedudukan Islam itu sebagai pancaran rahmat Ilahi ke atas segala isi alam semesta yang bermatlamatkan wawasan mewujudkan negara kebajikan yang memantulkan nilai kehidupan yang baik kepada ummah sejagat.



Bagaimanapun, amat menyedihkan ada segelintir umat Islam tersalah faham mengenai konsep pekerjaan yang sebenarnya menurut Islam. Mereka rata-rata menggariskan matlamat utama mereka dalam melakukan sesuatu pekerjaan ialah untuk mengejar kemewahan dan mengumpul sebanyak mungkin harta kekayaan untuk kepentingan diri dan keluarga sehingga mengetepikan hak Allah yang wajib ditunaikan dan mengabaikan kewajipan sosial sesama masyarakat.

Dalam konteks ini, tidak salah bagi seseorang Muslim mencari harta kekayaan dalam hidupnya, tetapi perlulah diinsafi harta itu pada hakikatnya adalah amanah Allah kepadanya untuk digunakan dan dimanfaatkan megikut jalan yang diredai-Nya.

Sehubungan itu, Islam mensyariatkan kewajipan zakat supaya nikmat harta berkenaan dapat dikongsi dan diagihkan bersama orang lain demi kesejahteraan dan keharmonian hidup masyarakat, sekali gus ia satu pendekatan terbaik untuk membantu golongan lemah selain meningkatkan lagi taraf ekonomi masyarakat Islam.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Selain itu, Islam juga menggalakkan umatnya membelanjakan harta pada jalan Allah seperti memberi sedekah, mewakafkan harta, membantu anak yatim, fakir miskin, menderma kepada golongan lebih memerlukan dan sebagainya.





Inti Pati


Perspektif Islam mengenai pekerjaan

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Melakukan apa jua bentuk pekerjaan sebagai sumber mata pencarian hidup itu satu kewajipan agama bagi setiap Muslim.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Sesuatu pekerjaan yang baik lagi halal adalah amalan ibadat di sisi Allah.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Pekerjaan dilakukan seseorang Muslim bukan sekadar dianggap suatu kewajipan agama, tetapi berfungsi sebagai kewajipan sosial.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Taraf kemuliaan pekerjaan itu meningkat ke taraf jihad jika
pekerjaan dilakukan itu menuntut sebuah pengorbanan besar.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Seseorang Muslim boleh mencari harta kekayaan dalam hidupnya, tetapi perlu diinsafi harta itu adalah amanah Allah untuk digunakan mengikut jalan diredai-Nya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Persaingan dalam Islam sewajarnya diorientasikan untuk menuju ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.

Penulis adalah Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia.



No comments: