Hina Wanita: Shahrizat Mahu Jumpa Said, Mokhtar

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan menemui dua anggota parlimen Barisan Nasional (BN) yang dianggap telah mengeluarkan perkataan yang menghina kaum wanita semasa persidangan Dewan Rakyat.

Sambil menyatakan bahawa beliau telah diberi mandat oleh Kabinet untuk membuat susulan berhubung perkara tersebut, Shahrizat berkata pertemuan dengan Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin) dan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) akan diadakan di pejabatnya Jumaat ini.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Sekumpulan wanita mengadakan bantahan di depan kementerian wanita semalam, susulan kenyataan dua anggota parlimen.



"Kabinet telah memberi mandat kepada saya dan telah meminta untuk menyusul dan melihat perkara ini," kata Shahrizat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya hari ini.

Isu tersebut muncul semasa persidangan Dewan Rakyat Rabu lalu, ketika ahli-ahli dewan Barisan Nasional dan pembangkang hangat memperkatakan isu kebocoran siling bangunan Parlimen, Bung Mokhtar kedengaran berkata: "Mana ada bocor... Batu Gajah (merujuk kepada anggota parlimen Batu Gajah) tiap-tiap bulan pun bocor (datang haid) juga", yang dianggap sebagai berbaur seksis.

Berikutan itu beberapa badan bukan kerajaan dan politik seperti Sister in Islam, Pertubuhan Bantuan Wanita, Persatuan Tindakan Wanita, Wanita MCA, PAS dan Parti Keadilan Rakyat mendesak supaya anggota parlimen berkenaan memohon maaf secara terbuka.



Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan kedua-dua anggota parlimen terbabit, Bung Mokhtar dan Mohd Said akan menemui Shahrizat bagi menjelaskan perkara itu.

Nazri, yang bertanggungjawab terhadap Parlimen berkata perkara itu menjadi isu apabila diperbesar-besarkan oleh pihak media sehingga menjadi tidak terkawal.

"Biasalah ketika perbahasan, susah nak kawal apa yang diucapkan kerana kita semua manusia... kadangkala dalam keadaan marah dan tidak terkawal kita menyebut perkataan yang tidak disenangi oleh pihak lain... ini adalah perbahasan Parlimen dan bukannya perbincangan akademik.

"Saya juga pernah digelar 'Menteri Jamban' dan kalau kita asyik anggap sesuatu itu tidak boleh dilemparkan terhadap kita maka sudah tentu perbahasan terpaksa dihentikan banyak kali," katanya.

Nazri berkata beliau telah menghubungi kedua-dua anggota Parlimen terbabit dan mereka menafikan laporan dalam akhbar hari ini kononnya mereka telah memohon maaf kepada Fong.

Bagaimanapun, Nazri secara peribadi memohon maaf kepada semua kaum wanita di atas ketelanjuran kedua-dua anggota Dewan Rakyat itu tetapi tidak kepada DAP kerana ia berlaku ketika perbahasan.

Terkini; Said, Mokhtar Mohon Maaf.






No comments: