Harap Langkah Sumolah Panjang

SEJAK akhir-akhir ini, Afdlin Shauki kelihatan semakin jauh langkahnya dalam industri perfileman. Setelah membawa krew dan pelakon menjalani penggambaran filem Sumolah di Jepun, sutradara berbakat besar ini mengarah bersama filem Brave di Bangkok, Thailand.

Bahkan, filem Sumolah sendiri menampilkan pelakon antarabangsa seperti bintang Nang Nak, Inthira Charoenpura dan pelakon Phua Chu Kang, Gurmit Singh.

Lebih daripada itu, filem yang memasuki pawagam tempatan mulai 10 Mei ini sudah hampir pasti ditayangkan di Singapura, Jepun dan Thailand, manakala pihak pengedar di Australia dan New Zealand pula dikatakan cukup berminat untuk membawa filem itu ke sana.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
MAHAL: Filem Sumolah menjalani penggambaran di Jepun.



Kata Afdlin, permintaan untuk mengedarkannya di Los Angeles, Amerika Syarikat, turut diterima.

Ditanya, apakah Afdlin sememangnya mahu mengorak langkah ke peringkat antarabangsa, pengarah yang juga pelakon dan penyanyi terkenal ini memberitahu, menjadi impiannya untuk melihat cerita Melayu ditonton oleh kalangan masyarakat lebih besar, bukannya di tanah air sendiri semata-mata.



“Kita mahu menjadi seperti Thailand dan Indonesia yang boleh ditonton filem mereka di mana-mana saja. Lalu, kita perlu terus menghasilkan filem berbentuk komersial, yang sesuai untuk tontonan ramai,” katanya ketika ditemui selepas majlis pratonton filem berkenaan di GSC Mid Valley, baru-baru ini.

Mengenai kelewatan tayangan filem terbabit berikutan promosinya sudah pun bermula sejak beberapa bulan lalu, serta jadual asal tayangan yang dikatakan pada Februari atau Mac, Afdlin berkata, mereka gagal mendapatkan tarikh yang diingini pada Mac lalu berikutan slot untuk wajib tayang filem tempatan sudah pun penuh.

“Jika kita tayang juga pada Mac tanpa mengikut skim wajib tayang, ia mungkin akan mengacau tayangan filem Melayu lain. Kita satu keluarga. Nanti tidak sedap pula rasanya kalau kita mengganggu tarikh tayangan filem tempatan lain. Lalu, hendak tak hendak, ia dibawa ke Mei,” jelas Afdlin.

Bagaimanapun, pada awal Mei, filem blockbuster Spider-Man 3 turut berputar ligat di pawagam. Apakah Sumolah tidak takut bersaing dengan filem besar dari Hollywood itu?

“Bersaing dengan Spider-Man 3? Kita kena terima saja hakikat berkenaan. Pihak penerbitan filem Sumolah memang pernah duduk berbincang mengenai hal ini. Kita berasakan, selepas 10 hari tayangan filem superhero itu, pasti sudah ramai yang menontonnya. Lagipun, sekiranya panggung yang menayangkan filem itu penuh, kita berharap peminat yang sudah berada di pawagam akan memilih filem Sumolah,” ujarnya yang berkeyakinan, pasaran untuk filem Melayu tetap ada.



Dia juga berasakan, filem Melayu yang kuat tidak perlu bimbang untuk bersaing, malah persaingan dengan filem asing dilihat sebagai sesuatu yang sihat bagi industri perfileman tempatan.

Sumolah sendiri, katanya, ingin diperlihatkan sebagai sebuah filem yang mempunyai ciri-ciri antarabangsa. Justeru, promosi asas seperti poster juga perlu nampak menarik dan mempunyai ciri berkenaan sebagai umpan kepada penggemar filem.

“Sumolah ialah sebuah filem yang mengutamakan cerita. Ia mengisahkan kehidupan seorang lelaki biasa, yang melakukan sesuatu perkara lain daripada kebiasaannya. Ia seperti filem Full Monty, yang berkisar pada lelaki biasa yang cuba mencari peluang dengan menari bogel. Sumolah pula mengenai mat rempit yang berubah hidup dan menjadi seorang ahli gusti sumo. Ia sebuah kisah yang diharap mampu mengubah kehidupan seseorang,” ujar Afdlin yang tidak menolak kemungkinan mengarahkan sambungannya jika ia mendapat sambutan.

Selain Afdlin, Inthira dan Gurmit, filem yang dikira menarik ini turut mengetengahkan lakonan Awie, Radhi Khalid, Patrick Teoh, Kartina Aziz dan ramai lagi. Filem terbitan Silver Omega dan Vision Works ini diedarkan Columbia Pictures dan ditayangkan di 52 panggung seluruh negara.




No comments: