Bong : Bagaikan Famili

RIUH dan kecoh sesi fotografi ini apabila ‘pakcik’ dan ‘anak buah’ bertemu. Sesekali usik mengusik dan pertengkaran kecil tercetus antara Aiman dan Cah seperti mana dalam siri Bong, di mana dua beradik ini kerap berselisih faham.

Aiman atau nama sebenarnya Shafimie Saidon yang baru berusia 9 tahun, agak manja orangnya. Sementara Cah yang nama sebenarnya Maisarah Syahfidzrien Nornairul Nizam, 8 tahun pula ada mood lebih-lebih lagi jika orang itu baru dikenali. Tetapi kata ‘abang dan kakaknya’ apabila sudah lama kenal Cah adalah orang yang paling banyak mulut.

Ketika sesi temu bual berlangsung, Cah asyik berkepit dengan Abang Joenya iaitu Mohd Hairey Azhar Abd Rahman atau Zoey, 22, pengacara program kanak-kanak Gerak Geri Gasing di Astro. Aiman pula lebih manja dengan Bong, lakonan Ikhwan Hot FM.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
MESRA: Beginilah akrabnya hubungan kekeluargaan pemegang watak
utama dalam siri Bong, dari kiri Talya dan Ikhwan mengangkat Shafimie, manakala Hairy mendukung Maisarah.



Begitulah apabila mereka berkumpul. seperti mereka di dalam set atau di luar, keakraban mereka memang terserlah bagaikan saudara kandung. Panggilan dalam drama juga sudah terbawa-bawa hingga ke luar, bukan setakat antara mereka sendiri sudah terbawa dengan nama di dalam siri Bong bahkan krew juga.

Siri Bong antara drama bersiri yang semakin popular di TV9. Ia menemui penonton setiap Jumaat jam 10 malam itu antara program yang mencatat jumlah penonton tertinggi di stesen yang terkenal dengan tagline Dekat Di Hati.



Selain Bong, Abang Joe, Aiman dan Cah, siri itu turut diserikan dengan kehadiran pendatang baru Nurul Aqilah Faiqah Md Noor Alias Alya, 17, yang memegang watak kakak sulung bernama Marlia.

Bukan saja mereka bagaikan sudah melekat dengan nama watak yang dipegang, malah ibu bapa mereka yang dilakonkan Mustafa Kamal dan Jasmin Hamid turut dipanggil papa dan mama. Mereka sering duduk bersantai bersama ibarat sebuah keluarga yang bahagia.

Bong musim pertama sudah hampir ke penghujungnya dan kini rakaman musim kedua itu sedang berlangsung. Di antara ramai pelakon dalam siri itu yang paling mendapat perhatian adalah lakonan Ikhwan dan Maisarah.

Kata Ikhwan dia mendapat tawaran berkenaan selepas berlakon dalam drama bersiri Kawan. Selesai saja Kawan terus dia disambar isteri pengarah terkenal Aziz M Osman iaitu Noraliah Lee Abdullah untuk berlakon dalam Bong.

“Karakter Bong berbeza dengan diri saya. Bong sukakan muzik rock tetapi saya tidak, namun saya cuba bawakan sebaik mungkin karakter yang diberikan,” kata Ikhwan mengenai karakternya.



Si kecil Cah atau Maisarah kala ditanya agak kurang berbicara. Sepatah yang ditanya sepatah pula yang dijawabnya, tapi jika melihat di kaca televisyen tentu ramai yang memuji lakonan hebatnya. Ditanya, bagaimana dia menghafal skrip. Kata Cah dia akan membaca skrip yang diberikan tapi kalau ada yang tidak faham dia akan bertanya.

Mengenai pelajaran pula, walaupun sering ketinggalan pelajaran dia tidak lupa meminta nota dan bertanya kepada rakan kerja sekolah yang perlu dibuat sama seperti yang dilakukan Aiman. Berbeza Cah, Aiman rancak berbicara kala soalan diajukan. Bong bukanlah drama pertama dibintangi Aiman yang sudah berlakon sejak usia enam tahun lagi. Wajahnya juga pernah menghiasi komersial TV seperti Kempen Keselamatan Jalan Raya dan biskut Tiger.

Zoey pula secara jujur mengakui dirinya masih terlalu baru dalam arena lakonan, malah dia tidak malu mengakui dua adiknya itu lebih hebat berlakon berbanding dirinya.

“Saya akui masih kayu lagi dalam dunia lakonan. Kadang-kadang saya ada merujuk juga pada pengarah kami jika ada kemusykilan,” kata Zoey.

Sementara Talya yang memegang watak sebagai kakak sulung bernama Marlia mungkin agak asing bagi pengikut drama Melayu. Gadis dari Sabah ini sebenarnya pernah membintangi drama Misi XX Ray cuma ketika itu wataknya tidak menonjol.

Diberi peluang membintangi Bong katanya dia cukup teruja dan seronok. Apa lagi hubungan antara mereka juga cukup rapat membuatkan dia tambah seronok.

“Saya memang seronok dapat berlakon dan tambah seronok lagi kerana saya dapat mengembangkan watak. Walaupun saya ada menerima tawaran lain tetapi saya tolak kerana Bong,” katanya yang turut bergelar model sambilan.




Profil Pelakon Bong

Mohd Khairul Ikhwan Rosli
Panggilan: Ikhwan
Tarikh Lahir: 6 Oktober 1983
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Adik Beradik: Anak ke 5 dari 6



Mohd Hairey Azhar Abd Rahman

Panggilan: Zoey
Tarikh Lahir: 3 Januari 1985
Tempat Lahir: Terengganu
Adik Beradik: Anak ke 4 dari 5



Nurul Aqilah Faiqah Mad Noor @ Talya

Panggilan: Talya
Tarikh Lahir: 25 Ogos 1990
Tempat Lahir: Sabah
Adik beradik: Anak bongsu dari lapan beradik



Shafimie Saidon

Tarikh Lahir: 13 Februari 1998
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Adik beradik: Anak bongsu dari 3



Maisarra Syahfidrien Nornairul Nizam

Tarikh Lahir: 4 Jun 1999
Tempat Lahir: Klang
Adik beradik: Anak ke 2 dari 5








1 comment:

Scha Sengal said...

crita nie mmg best!!!!! rugi klu x tgk crite nie!! lagi 2 pelakon yg bernama zoey , cute giler!!!!!!!