Anak Emas Shumi?

TERLALU acap kali benar mereka muncul di layar perak menerusi filem arahan sutradara wanita, Shuhaimi Baba. Selepas Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM) I dan II, kini mereka sekali beraksi di bawah pengarah berkaliber itu menerusi filem bercorak mistik, Waris Jari Hantu, yang bakal menemui penonton pada 31 Mei ini.

Maya Karin dan Nanu Baharudin umpama nama wajib bagi Shuhaimi atau lebih dikenali di kalangan rakan sebagai Shumi. Tidak cukup dengan tiga judul itu, kedua-duanya sekali lagi beraksi di bawah arahan pengarah ini menerusi filem 1957 - Hati Malaya yang baru saja menamatkan penggambaran.

“Saya amat menghargai Shumi. Banyak sekali jasanya kepada saya kerana dia menjadikan saya pelakon yang lebih baik. Saya juga mengaku, sudah dapat meneka apa yang diinginkan dan apa yang diharapkan apabila dia mengambil saya berlakon.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Maya Karin (kiri) dan Nanu Baharudin akui selesa bekerja di bawah Suhaimi Baba.


“Terus terang saya katakan, bukan mudah bekerja dengan Pesona Pictures atau Shumi. Tetapi, semua kesukaran itu cukup berbaloi apabila kita melihat hasilnya,” kata Maya yang memegang watak Tina dalam filem yang berkisar kepada persahabatan dua insan serta ilmu saka yang ingin diperturunkan.

Memang berbaloi apabila Maya sendiri pernah dinobat Pelakon Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-49 di Fukuoka, Jepun pada 2004, lewat filem yang menaikkan namanya, PHSM. Lalu, apakah penampilannya dalam Waris Jari Hantu sekali lagi menjanjikan anugerah untuk wanita jelita berusia 28 tahun ini?



“Mudah-mudahan. Bagi saya, lakonan yang diberikan dalam filem ini cukup memenatkan kerana ia membabitkan banyak permainan emosi. Saya perlu menunjukkan rasa suka, kecewa, marah dan sebagainya apabila memainkan watak Tina, gadis yang menyimpan impian untuk mengahwini lelaki lembut, Ari,” cerita Maya, yang mengambil sedikit waktu untuk menghayati watak itu.

Bagi menjayakan watak berkenaan juga Maya harus bekerja rapat dengan pelakon berbakat, Rusdi Ramli.

“Rusdi juga perlu bekerja keras untuk memegang watak Ari. Apatah lagi dia perlu beraksi sebagai lelaki lembut yang berperang dengan dilema sendiri. Saya dan Rusdi ialah kawan cukup akrab dalam filem ini.

“Saya juga ingin berkahwin dengannya walaupun dia sering diejek masyarakat. Jadi, watak saya sebenarnya kelihatan seperti wanita yang ‘buta’ dalam bab mengenal lelaki sejati. Dia tidak kisah dengan keadaan fizikal Ari dan tetap menyayanginya sepenuh hati.

“Lalu, menjadi impian saya untuk melihat hasil usaha kami kali ini dapat diterima ramai dan meninggalkan impak yang sama dengan PHSM. Di samping berhibur, saya juga amat berharap kita semua dapat belajar daripada kisah yang dikemukakan dalam filem ini - mengenai kasih sayang dan sikap toleransi,” katanya yang bakal muncul dengan tiga filem sepanjang tahun ini.



Sementara itu, Nanu pula memberitahu, dia banyak berlakon di bawah arahan Shumi kerana tidak ada tawaran yang diterima daripada produksi lain. Selain dua filem PHSM, Waris Jari Hantu dan 1957, Nanu pernah muncul dalam filem popular akhir tahun lalu, Cinta, arahan Kabir Bhatia untuk Grand Brilliance.

“Saya sebenarnya teringin juga bekerja dengan pengarah lain kerana saya tidak terikat dengan Pesona Pictures. Saya pelakon yang bebas. Jika ada pengarah dan skrip yang bagus, tentu saja saya tidak akan menolaknya. Pengarah seperti Ahmad Idham, umpamanya, mempunyai masa depan yang baik dalam industri perfileman negara ini. Saya teringin bekerja dengannya selepas ini,” akui Nanu.

Ditanya apakah selepas 16 tahun bergelar pelakon, Nanu tidak teringin untuk turut menduduki kerusi pengarah? Dia cepat-cepat berkata, belum masanya dia berbuat demikian.

“Saya rasa, belum tiba masanya saya bergelar pengarah. Saya belum mempunyai keyakinan yang tinggi untuk memikul beban sebesar ini. Tahu sajalah, saya seorang pelakon. Jika pelakon yang bertukar menjadi pengarah, saya tentu inginkan kesempurnaan,” katanya.





Sinopsis Waris Hari Hantu


TINA dan Ari ialah dua sahabat karib yang juga mempunyai pertalian saudara dengan Tok Wan Rimau, penjaga harimau saka keluarga Tina. Wanita tua itu kini mencari waris perempuan untuk memperturunkan ilmu sakanya. Tok Wan dan harimau saka melindungi keluarganya dan Pekan Mendekar daripada ancaman bahaya.

Ari sering diejek penduduk kampung dengan panggilan Mat Kepit atau Mat Patah, dek kelembutannya. Begitupun, Tina setia berada di sisi Ari. Bahkan dia menyimpan perasaan cinta mendalam terhadap lelaki ini. Dalam diam, dia menyimpan impian bergelar isteri Ari, suatu hari nanti.

Ari memendam rasa akibat ejekan berkenaan. Namun dia tetap bertahan, berselindung di sebalik persahabatannya dengan Tina. Tina pula menjadi pilihan Tok Wan untuk menerima ilmu saka, walaupun ditentang hebat oleh keluarga. Ari menawarkan diri untuk menjadi pengganti Tina, demi kasih sayangnya kepada wanita ini.







No comments: