MotoRizr Z3

PENGGUNA telefon mudah alih masa kini bukan saja menitik beratkan tahap penggunaan teknologi pada peralatan telekomunikasi moden itu, malah turut memberikan penekanan terhadap reka lebih canggih serta menawan yang menepati cita rasa pengguna pelbagai.

Motorola Inc (Motorola), yang terkenal dengan reka bentuk telefon mudah alih boleh lipat sudah mula menampilkan peralatan telekomunikasi yang mengetengahkan aspek reka bentuk gelungsur keluar dan masuk menerusi model terkininya, MotoRizr Z3 (Rizr Z3).

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Dari segi penampilannya, MotoRizr Z3 itu kelihatan lebih anggun menerusi penggunaan lapisan luaran yang tahan lasak, padat dan warna gelap eksklusif.

Pada dimensi 45.5 milimeter(mm) x 105.5mm x 16mm dan seberat 115 gram, ia adalah antara model telefon mudah alih Motorola yang dihasilkan dengan rekaan kecil serta bergaya.

Sekali pandang, Rizr Z3 mungkin dianggap telefon mudah alih terkini yang hanya menekankan penggunaan teknologi asas bagi tujuan untuk membuat panggilan atau penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) saja.



Bagaimanapun, apabila ia dilihat dan digunakan dengan lebih dekat, pemiliknya pasti menghargai asas teknologi yang diperkenalkan pada produk telefon mudah alih Motorola itu yang turut menawarkan fungsi hiburan bertenaga.

Bagi fungsi hiburannya, ia dilengkapi aplikasi muzik dan video yang boleh disimpan di dalam kad memori luaran MicroSD pada kapasiti sehingga 2 Gigabait (Gb) serta memori dalaman berkapasiti 20 Megabait (Mb)

Untuk aplikasi muzik, ia didatangkan dengan aplikasi bersepadu yang mampu menyokong pemain muzik digital pelbagai format seperti mp3, AAC, AAC+ dan AAC+ dipertingkat.

Kualiti penyampaian bunyi bertenaga bagi telefon mudah alih Motorola itu diketengahkan menerusi ciri nada deringan polifonik, nada deringan bagi format mp3, pembesar suara bebas tangan dan pengesanan suara.

Aplikasi video yang dilengkapi pada Rizr Z3 itu pula mampu menyokong fail bagi format mpeg4, 3GPP atau H.263.



Penyampaian paparan yang jelas diperkukuhkan dengan sistem bunyi bermutu menjadikannya adalah antara produk telefon mudah alih Motorola yang dilengkapi asas teknologi bersepadu bagi aktiviti komunikasi dan hiburan.

Ciri teknologi kamera yang dilengkapi pada telefon mudah alih itu pula adalah termasuk kamera dua megapiksel, zoom digital lapan kali, ‘flash’ dan kekunci kamera khusus.

Rizr Z3 yang mempunyai fungsi kamera itu boleh mengambil gambar walaupun dalam keadaan persekitaran malap apabila ia dilengkapi flash untuk mempertingkatkan cahaya keliling yang rendah.

Skrin TFT yang besar bagi telefon mudah alih itu diukur pada 1.9 inci yang mampu memaparkan sehingga 262 k warna dengan resolusi piksel 176 x 220.

Ia juga berkeupayaan untuk memuat turunkan tema, paparan dinding, screensaver dan paparan pemanggil menerusi gambar.



Ciri sambungan multimedia yang dilengkapi pada telefon mudah alih Motorola itu termasuk dengan menggunakan kaedah sambungan Bluetooth, OTA dan MotoSync.

Selain itu, Rizr Z3 juga boleh digunakan bagi tujuan pelayaran internet dan penghantaran fail lagu menggunakan kabel USB untuk akses data serta muat turun fail.

Dilengkapi pelbagai ciri teknologi terkini, Rizr Z3 ditawarkan dengan bateri yang mampu bertahan sehingga 230 jam untuk tempoh berjaga-jaga manakala masa bercakap kira-kira tiga jam setengah.

Kesimpulannya, kepada pengguna yang mahu memiliki telefon pertama atau telefon kedua bagi tujuan sokongan, Rizr Z3 adalah model terkini yang bersesuaian dengan kehendak pelanggan seumpamanya apabila ia dilengkapi dengan teknologi terkini pada harga berpatutan.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

No comments: