Misha Omar Tidak Menduga

TIGA tahun tanpa album baru, Misha akur tempoh panjang itu sangat menduga. Jangka masa yang sangat menguji kerana apa saja kemungkinan boleh berlaku. Sesuatu yang Misha sendiri tidak pernah menduga, ada ketika dia menganggap ia sebagai keajaiban kerana tempoh itu langsung tidak menjarakkan dirinya dengan peminat.

“Saya berterima kasih kepada peminat kerana sehingga kini, mereka masih meletakkan saya pada kedudukan yang amat istimewa. Bukan bermakna saya sudah cukup selesa, sebenarnya saya bersyukur kerana permintaan masih ada.

“Setiap kali keluar bertemu peminat, mereka tidak pernah lupa bertanya bila album terbaru akan dipasarkan. Itu sudah cukup memberi petanda saya masih dihargai,” kata penyanyi Bunga-Bunga Cinta ini, cuba menyisih keraguan.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

"Saya berterima kasih kepada peminat kerana sehingga kini, mereka masih meletakkan saya pada kedudukan yang amat istimewa." - Misha Omar


Berulang pertanyaan mengenai album ketiganya diajukan, sesekali terbit rasa bersalah di hati penyanyi bersuara lunak ini. Bimbang berjanji, tetapi petang itu, nada kepastian sudah mula berlagu.

“Insya-Allah, menjelang Julai ini album terbaru saya akan menemui peminat. Saya sendiri sudah tidak tahu apa lagi yang perlu dijawab. Setiap kali ditanya, alasan sama diberikan. Saya cuma mampu berharap peminat tidak akan jemu menanti kerana mahu memberikan mereka produksi yang berkualiti. Memang saya boleh mengejar kuantiti tetapi untuk apa?


“Saya mahu memberikan produksi yang mampu memberi kepuasan bukan saja kepada peminat, tetapi saya sendiri sebagai penyanyi,” katanya yang sudah merakamkan enam lagu setakat ini.

Sesekali Misha memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana tanpa album terbaru dia masih mampu menghirup udara seni yang menghadiahkan pelbagai pengalaman untuknya. Saat namanya menurun, Misha tidak berdiam diri.

Projek khas bersama album runut bunyi serta single, Nafas Cahaya banyak membantu Misha untuk bertahan dalam ingatan peminat. Saat ini, popularitinya digilap semula apabila syarikat rakamannya memperkenalkan single kedua, Sembunyi duet bersama Andy Flop Poppy.

“Saya juga harus berterima kasih kepada media yang tidak pernah jemu mendapatkan perkembangan terbaru. Namun, saya percaya kunci kepada semua itu adalah kesan perjalanan awal saya dalam bidang seni.

“Pencapaian awal saya yang cukup manis, serta hubungan yang akrab dengan pihak media membantu saya untuk terus dekat di hati peminat,” katanya.



Serasi Dengan Jaclyn Victor

PERSAHABATAN yang akrab dengan bintang Malaysian Idol, Jaclyn Victor terutama selepas menjalin kerjasama menerusi lagu Cinta, menerbitkan idea menarik buat mereka berdua.

Barangkali peminat sendiri teruja menanti jika kedua-dua penyanyi yang memiliki vokal hebat ini bersatu dalam sebuah album duet. Mungkin ketika ini ia hanya impian, namun siapa tahu akan menjadi kenyataan nanti.

“Apa pun saya perlu menyiapkan album ketiga dulu. Nanti marah pula syarikat rakaman,” katanya.

Selain berkawan rapat, perjalanan dunia seni yang hampir sama mendekatkan lagi mereka berdua.

“Masing-masing ada kekuatan vokal dan gaya penyampaian tersendiri. Lagi pun belum ada yang menghasilkan kolaborasi album seperti ini. Justeru, idea ini bagi saya cukup menarik.



“Sejak merakamkan Cinta dan mendapat sambutan yang memberangsangkan, kami pernah terfikir mengapa tidak usaha ini diteruskan. Tetapi, ini hanya cakap-cakap kosong antara kami berdua,” katanya.


Rindu Terubat

TAHUN lalu, namanya tersisih daripada senarai artis yang membuat persembahan untuk Minggu Setiausaha. Bagaimanapun,

tahun ini Misha kembali apabila dia menjalin kerjasama dengan Bostonwen Academy Sdn Bhd.

Secretaries Glam Lunch yang dijayakan bersama AC Mizal akan berlangsung di JW Marriott Hotel Kuala Lumpur pada 25 April ini.

Lebih bermakna apabila lima peratus daripada penjualan tiket akan disalurkan kepada Majlis Kanser Nasional (Makna).



“Kepercayaan ini memberi saya semangat apatah lagi tahun lalu saya berehat kerana pada tahun sebelumnya begitu sibuk dengan persembahan Minggu Setiausaha. Saya sendiri tidak sabar untuk menjayakannya, apatah lagi persembahan ini menguji daya kekuatan untuk membuat tetamu bertahan dengan persembahan kita.

“Bimbang juga kerana persembahan seperti ini memerlukan tenaga yang banyak. Kebelakangan ini saya sudah mula bersenam di gimnasium, malah tanggungjawab menghafal lagu juga tidak diambil ringan.

“Besar harapan saya persembahan ini dapat menerbitkan benih positif sekali gus mendorong orang ramai untuk menyumbang kepada Makna,” katanya.

Tempahan meja berharga RM4,000, RM5,500 dan RM6,500 untuk 10 tempat duduk boleh dibuat dengan menghubungi 03-27113744.



No comments: